"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada pilihan ketiga atau bersendirian, kata Adun Pas

ARIF ATAN
Dr Syed Azman Syed Ahmad bersama Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berarak menuju ke perkarangan Kedutaan Amerika Syarikat petang tadi.

Pemimpin Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad terus konsisten mengulangi pendiriannya bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah medan jelas Pakatan Harapan menentang rejim korup Umno-BN.

Beliau yang ditemui Malaysia Dateline selepas menghadiri perhimpunan membantah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di ibu negara hari ini berkata, hanya dua blok itu sahaja untuk rakyat pilih pada pilihan raya akan datang.

“Jelas dari awal lagi untuk PRU-14, rakyat hanya mempunyai dua pilihan iaitu bersama kleptokrasi Umno-BN atau kita memberi sokongan dan dokongan kepada Pakatan Harapan.

“Tiada pilihan ketiga. Masih mahu bersama Umno-BN atau memilih bersama mereka yang akan membuat perubahan iaitu Pakatan Harapan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok itu.

Komponen Pakatan Harapan terdiri daripada gabungan empat parti pembangkang iaitu AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR sebaliknya Pas pula mengambil sikap untuk bersendirian sebelum menggelarkan dirinya sebagai Blok Ketiga melalui Gagasan Sejahtera.

Menurut Dr Syed Azman, pengalaman politik pilihan raya di negara ini menyaksikan tiada tempat untuk mana-mana pihak selesa untuk bersendirian jika benar bertekad mahu menumbangkan Umno-BN.

“Kita mesti bersama bila bercakap tentang usaha untuk menentang Umno-BN. Walaupun ada perbezaan fahaman politik, sepatutnya ketepikan dulu untuk mengalahkan Umno-BN,” katanya.

Ditanya tentang kemungkinan beliau mengisytiharkan diri untuk keluar dari Pas menjelang PRU-14 ini, beliau sekadar menjawab sokongan padunya kepada Pakatan Harapan tidak pernah berubah.

“Saya akan terus memberi dokongan serta berkempen memberi sokongan kepada Pakatan Harapan,” ujarnya lagi sambil tersenyum.
Peserta anak muda turut membawa drum sepanjang perarakan.

Tiada ulasan: