"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Pahang disaman peguam sendiri

Dua peguam terkemuka, Manjeet Singh Dhillon dan Americk Singh mengemukakan saman terhadap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berikutan kegagalan menjelaskan bayaran guaman kepada mereka.

Kedua-dua peguam itu memfailkan saman pada Januari lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Perbicaraan ditetapkan pada 26 April ini.

Dalam tuntutan mereka, dua peguam berkenaan menuntut RM214,825 sebagai yuran guaman bagi mewakili menteri besar itu dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap akhbar milik Umno, Utusan Malaysia tahun lepas.

Adnan dalam pernyataan pembelaannya berkata beliau mampu membayar jumlah berkenaan dan telah membayar yuran guaman kepada dua peguam itu sebanyak RM210,000 tahun lepas.

Americk dan Manjeet, yang merupakan bekas presiden Badan Peguam Malaysia, berkata mereka dilantik oleh Adnan pada 11 Nov 2014 untuk mewakilinya di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Di Mahkamah Tinggi, permohonan Utusan Malaysia untuk membatalkan saman itu gagal tetapi berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Adnan tidak boleh memfailkan saman atas kapasiti rasmi sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, di Mahkamah Persekutuan, hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengembalikan semula saman itu dan mengarahkan kes itu dibawa ke perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi.

Dilaporkan Adnan telah menyelesaikan saman terhadap Utusan pada bulan Ogos berhubung satu artikel yang diterbitkan dalam akhbar harian Melayu itu bertajuk "Hebat sangatkah Adnan" yang diterbitkan pada tahun 2014.

Tiada ulasan: