"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 calon senator daripada Amanah Kelantan, Terengganu - Mat Sabu

Bernama
KUALA TERENGGANU: Presiden Amanah Mohamad Sabu mengesahkan parti itu menghantar senarai nama calon termasuk dari Kelantan dan Terengganu untuk dilantik sebagai senator.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan secara terperinci jumlah sebenar calon yang dicadangkan tetapi menyatakan sekurang-kurangnya 5 pemimpin parti itu disenaraikan.

Katanya senarai nama tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan kerana parti lain daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) turut menghantar senarai calon masing-masing.

“Calon daripada Kelantan dan Terengganu jika hendak dilantik dalam barisan Kabinet hendaklah dilantik sebagai senator terlebih dahulu. Selepas itu barulah mereka boleh dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

“Kita syorkan beberapa nama. Terserah kepada Tun Dr Mahathir untuk memilih dan kita juga tidak tahu bila Dr Mahathir akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis sambutan Hari Raya Amanah Terengganu, hari ini.

Setakat ini, keanggotaan dalam Kabinet masih berbaki 3untuk menjadikannya 29 orang dan menurut Dr Mahathir mereka akan dilantik sebagai senator bagi mengisi kekosongan berkenaan.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata Amanah bukan lagi “parti nyamuk” seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini dengan sokongan kepada parti semakin meningkat selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Katanya, Amanah berjaya membuktikan pemimpin daripada parti itu diterima rakyat dan kini 5 pemimpinnya dilantik sebagai menteri manakala 4 lagi sebagai timbalan menteri.

Mohamad turut mengesa semua pihak untuk berpandangan terbuka dan tidak lagi berada dalam kelompok mereka yang tidak matang dalam berpolitik hingga sanggup mengelak menghadiri majlis kenduri mahupun kematian hanya kerana tidak sehaluan dalam menyokong parti.

Pengerusi PH Terengganu yang juga Pengerusi Amanah negeri Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pula berkata sehingga kini parti tersebut mempunyai 3,000 anggota berdaftar di Terengganu dan menurutnya jumlah itu bertambah selepas pilihan raya umum lepas dan masih dalam proses pengiraan.

Beliau berkata pemimpin parti gabungan PH mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya 2 bulan sekali untuk merancang pelbagai perkara bagi membela nasib rakyat di Terengganu.

Tiada ulasan: