"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majlis Penasihat Kerajaan tak paksa Nazir lepas jawatan CIMB

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) tidak memaksa sekiranya Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak mahu berhenti awal sebelum kontraknya berakhir Ogos 2019.

Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin berkata, keputusan meletak jawatan terpulang sepenuhnya kepada Nazir.

“Terpulang kepada dialah, masing-masing ada kontrak. Kalau dia nak berhenti awal terpulang kepada dia,” katanya ringkas mengulas status Nazir selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Aishah Ghani Srikandi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad (KJMWB) dan logo barunya hari ini.

Sementara itu, Nazir dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau belum memutuskan sama ada akan melanjutkan tempoh kontraknya yang akan berakhir tahun depan, namun akan mengundur diri sekiranya Lembaga Pengarah CIMB, pemegang saham serta Bank Negara mahu beliau meletak jawatan lebih awal.

Terdahulu, pada majlis itu, Pengerusi KJMWB, Armi Zainudin berkata, buku terbitan koperasi itu mengisahkan perjuangan tokoh wanita Tan Sri Aishah Ghani dalam mengendalikan KJMWB sejak penubuhannya pada 1974 sehingga menjadi sebuah koperasi wanita Melayu yang berjaya dan paling lama di Malaysia.

Menurutnya, pengenalan logo baru koperasi itu sejajar usaha menarik ahli baru menjadi tenaga pelapis, di samping tampil lebih dinamik, segar dan menggambarkan kemantapan yang ingin dibentuk.

“KJMWB bertekad untuk memesatkan lagi aktiviti pembangunan sosio ekonominya, jadi kami perlu membuat persiapan memasuki fasa pertumbuhan lebih mencabar melalui suntikan modal, idea bernas dan tenaga pelapis yang komited.”

Turut hadir Pengerusi Yayasan Suara Wanita (Yusnita), Tan Sri Zaleha Ismail; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Tiada ulasan: