"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa bunuh dikerat 6 pakai loket tulisan ‘Allah’

Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menemui loket dengan tulisan “Allah” dalam huruf jawi dan seutas rantai leher pada mayat seorang wanita mangsa pembunuhan kejam.

Mayat wanita yang dikerat 6 itu ditemui dalam 2 beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak, 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata selain loket dan rantai berkenaan, segugus anak kunci turut dijumpai bersama beg yang mengandungi kepala mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dipercayai beragama Islam dan bukan warganegara Malaysia serta disyaki dibunuh di tempat lain, sebelum dicampak ke lokasi mayat dijumpai.

“Polis belum mengenal pasti identiti sebenar mangsa. Tiada kesan suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemui pada bahu mangsa.

“Kewarganegaraan dan keturunan mangsa belum dikenal pasti buat masa ini dan seramai 7 saksi awam yang berada berhampiran lokasi kejadian dirakam percakapan mereka,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah luka hirisan di leher yang dipercayai menggunakan senjata tajam dan berat, serta mangsa dikenal pasti sudah meninggal dunia melebihi 24 jam hingga 60 jam sebelum waktu bedah siasat dilakukan.

Beliau berkata, polis sudah mendapatkan cap jari daripada lapisan kulit tapak tangan dan semua jari mangsa.

Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang gelandangan wanita yang tinggal berhampiran lokasi penemuan mayat itu membuat laporan di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian mencurigakan.

Susulan laporan itu polis menemui anggota manusia yang dibungkus dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada 2 beg pakaian berjenama “Power Polo” dan USA Polo” pada jarak kira-kira 20.6m.

Menurutnya, polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis berdekatan untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: