"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerana kita bangsa sorga

Al-Abror Mohd Yusuf

Minggu lepas ada satu 'permainan' yang mengasyikkan. Entah siapa yang memulakan gerakan mempromosi tujuh kulit luar buku selama seminggu itu.

Setiap seorang akan menanda (tag) rakan masing-masing dalam Facebook dan - tanpa ada sebarang kemestian yang mengikat - individu terbabit perlu memuat naik muka depan apa saja buku dimahukan.

Untuk setiap hari individu itu memuat naik muka depan buku, dia juga perlu menanda seorang rakan lain untuk 'memaksa' dia mengikut langkah yang sama.

Bayangkan kalau setiap individu yang ditanda berasa memegang amanah yang besar lalu menyebarkan amalan tersebut setiap hari tanpa gagal.

Dari satu segi, amalan berkenaan kira-kira sama dengan sistem pemasaran pelbagai peringkat yang selalu membuat bangsa saya menjadi kaya-raya dengan angin dan angan-angan.

Kempen berkenaan sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada surat-surat berantai yang wujud lama sebelum adanya media sosial. Kira-kira 40 tahun silam beredar salinan fotostat senarai barangan yang 'haram' kerana pelbagai alasan.

Biasanya didakwa mengandungi bahan daripada babi. Waima pen mata bulat jenama tertentu pun dikatakan haram digunakan kerana mengandungi bahan babi.

Pelbagai kerenah

Kemudian ada pula surat berantai mengenai wasiat seorang alim ulama yang bermimpi sekian sekian tentang dunia ini dan masa depannya. Di akhir surat itu dinyatakan bahawa sesiapa yang tidak menyebarkannya akan ditimpa bencana.

Surat itu - walaupun berisi ancaman bala - nampak macam baik. Ia menyarankan umat Islam mentaati Allah dan rasul-Nya. Ia sempat beredar dengan meluas sebelum kemudian ada ulama lain memberi amaran pula akan bahaya surat berantai itu kepada akidah.

Baru-baru ini seorang 'pilot' darat, Noor Azam Aziz, meminta pendapat mengenai isu semasa politik berdasarkan sekeping gambar Anwar Ibrahim sedang menabur bunga di depan potret Mahatma Gandhi.

Tidak ada penjelasan diberikan. Yang ada cuma sepotong ayat al-Quran yang memberi amaran tentang kekufuran. Langsung tidak ada maklumat mengenai gambar tersebut.

Bersama datangnya gambar itu ialah ajakan supaya bersatu di bawah dua parti yang kita tahu sedang gigih berzikir tentang Melayu, Melayu dan Melayu.

Justeru apabila ditanda untuk kempen memuat naik muka depan buku itu daripada seorang wartawan lain, sebagai Melayu bermaruah, saya menyambutnya dengan senang hati.

Setiap hari saya memuat naik satu gambar muka depan buku yang ada dalam koleksi peribadi, dan di hujung hantaran itu saya menandakan seorang rakan berbeza sehingga lengkap tujuh hari.

Bermacam-macam kerenah yang dilihat. Ketika sebahagian daripada mereka melayan 'permainan' tersebut, sebahagian yang lain pula langsung tidak mengendahkannya.

Ada juga seorang yang menyatakan dia tidak akan menunjukkan muka depan buku yang dimiliki, tetapi mahu menunjukkan buku limanya saja. Kesudahannya, muka depan buku entah ke mana, buku lima dia pun entah ke mana. Masalah orang lanjut usia yang gersang, barangkali.

'Kempen' menyuburkan minat membaca itu menjelaskan bagaimana surat berantai - untuk zaman dulu - dan mesej jahat berantai - untuk zaman sekarang - boleh terus bernafas berkembang demi memberi semangat kepada ramai orang untuk terus hidup.

Kalau mengikut istilah haraki semasa, sesiapa yang menyebarkan apa saja maklumat, gambar/imej, pesanan atau khabar angin sebaik saya menerimanya adalah bangsa Melayu yang bermaruah.

Memang sekarang maruah tidak lagi perlu diukur daripada kejayaan mencipta kejayaan hasil daripada kecerdasan akal mencerakin maklumat sebelum membuat pendirian, tetapi wajib ditentukan daripada ketebalan walak dan bertaklid secara total.

Menjadi 'spesial'

Maruah Melayu kini terletak pada siapa ketua yang kita mahu berikan walak. Itulah hakikatnya. Dan dalam keadaan tertentu, mungkin boleh diukur kepada di mana kita berada: sama ada dalam kumpulan kambing buta atau beruk 'tepok' misalnya.

Selain daripada dua kumpulan yang sesuai dengan selera kita, itu adalah tidak bermaruah.

Seseorang pernah menyarankan bahawa Melayu gagal bermaruah kerana silapnya sebahagian besar bangsa itu - termasuk para pemimpinnya, dan kini sebahagian ulamanya - mentafsirkan makna "istimewa".

Menjadi Melayu itu 'spesial'. Berbangsa Melayu itu ada haknya yang lebih tinggi dan utama berbanding bangsa lain. Sekurang-kurangnya di bumi yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu ini.

Paling kurang pun, mereka menekankan tentang kontrak sosial. Maka menjadi Melayu di tanah ini bermaksud menjadi 'kontraktor'. Tetapi itu pandangan yang sesat lagi menyesatkan.

Sebab itu kalau ada tanah terbiar dan tidak diusahakan - walaupun subur - ia tetaplah wajar dibiar dan berladangkan lalang. Kalau mahu dikerjakan, cukup ala kadar saja. Kaedah terbaik ialah, tanam dan terus tinggal. Apabila sampai masa untuk mengutip hasil, barulah datang semula.

Kerana, mana mungkin bangsa 'tuan' layak bermandi peluh jadi pengusaha dibakar matahari, kan?

Kalau berniaga, harga barang mahal banyak daripada orang lain, biarkan saja kerana sebagai 'tuan' dia berhak kaya segera. Biar usaha sedikit, tapi untung dan bercakap kena banyak.

Kedai biar lewat dibuka sebab sebagai 'tuan' taukenya boleh tentukan bila masa dia mahu berniaga, manakala pelanggan mesti sanggup menunggu.

Tugas orang Melayu

Pada masa sama orang lain yang tidak istimewa, lantaklah mereka mahu meneruskan hidup macam mana pun. Kalau mereka bekerja bersungguh-sungguh, berikan perkhidmatan yang baik, banyak bersabar, mengalah dan memberikan harga sedikit murah, biarkan.

Mereka bukan bangsa yang istimewa. Mereka bukan tuan. Maka bangsa bukan tuan tidak ada hak untuk bersenang-lenang, bermalas-malasan dan merungut di kedai kopi dari pagi sampai petang.

Orang bukan bangsa tuan di tanah ini mesti bekerja membanting tulang betul-betul. Dan jangan izinkan mereka berjaya.

Menjadi bangsa Melayu dan Muslim harus berada pada laluan yang mudah dan senang. Itu definisi "istimewa" walaupun ia bukanlah satu-satunya makna yang ada.

Istimewa itu sesuatu yang ganjil, berbeza dan terasing daripada kebiasaan. Berdiri di luar kelompok lazim. Maksudnya, harus berusaha lebih gigih mencari kejayaan, menunjukkan adab yang tinggi, menjaga kata-kata lebih daripada bangsa lain, juga bermakna istimewa.

Tetapi Melayu di tanah ini tidak akan bermaruah dengan "istimewa" yang sebegitu. Salah satu sebabnya, ia susah dan mencabar untuk dilakukan. Dan sebagai tuan, bukan tugas orang Melayu untuk rajin, berakhlak baik, menjaga tutur kata dan berdikari kalau mahu berjaya.

Bukankah melangkah masuk ke syurga itu sangat mudah?

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta (al-Ankabut 2-3).

Bangsa Melayu memang akan berjaya tanpa bersusah-susah. Kita akan sama-sama masuk sorga tanpa perlu diuji apa pun.

Apa yang perlu dibuat ialah terus menyebarkan mesej berantai yang tidak ketahuan asas dan puncanya. Kemudian galakkan kebencian atas nama bangsa.

Kerana kita bangsa mulia dan tuan, kan?

Tiada ulasan: