"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Siang hidup Melayu, malam jual tanah Melayu” bergema di Slim

BORHAN AHMAD

Walaupun hanya calon bebas berlogokan pokok bertanding di Slim, program kempen untuk Amir Khusyari mendapat sambutan beribu-ribu orang malam tadi.

Khemah yang disediakan penuh sesak dengan orang ramai khasnya di kalangan wanita.

Ia berlaku mungkin kerana Amir adalah calon dari Parti Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini turut disokong penuh oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Wanita antara yang ramai menyertai ceramah kempen untuk Amir malam tadi.

Malam tadi, selain Tun Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor dari PKR, Datuk Seri Amiruddin Saari juga datang berkempen untuk Amir.

Tun Dr Mahathir walaupun sudah 95 tahun, memberikan ucapan yang mendapat tepukan gemuruh ribuan orang yang memenuhi khemah ceramah malam tadi.

“Mula-mula saya nak jelaskan kenapa saya hadir malam ini. Saya nak dengar ucapan dari Abang Mat (Mohamad Sabu),” kata bekas Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali itu berseloroh ketika mula memberikan ucapan.

Mahathir menjelaskan, dia menjadi Presiden Umno selama 22 tahun tetapi malam tadi dia datang untuk menjatuhkan calon Umno.

“Parti hanya alat. Kalau dia lari dari matlamatnya, takkan kita nak ikat diri kita juga,” kata Mahathir.

Dalam ceramahnya, Mohamad sentiasa menjadikan Pas yang kini menjadi rakan utama Umno sebagai sasarannya.

Yang paling teruk kena serang adalah Naib Presiden yang juga pemimpin Pas dari Perak, Ustaz Idris Ahmad selepas beliau menjadi tukang baca doa semasa calon Umno diperkenalkan sebelum ini.

“Dulu apa yang dia tak kata kat Umno.

“Umno ni, siang hidup Melayu, malam jual tanah Melayu,” kata Mohamad dalam ceramahnya malam tadi.

Pengundi Slim akan keluar mengundi Sabtu 29 Ogos ini.

Tiga calon yang bertanding selain Amir Khushairi adalah Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, menjadi calon BN dan seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 44.

Tiada ulasan: