"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasat kaitan Muhyiddin dengan 1BestariNet, Ahli Parlimen beritahu SPRM

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dan menyiasat bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa ada kaitan dengan YTL Communications Sdn Bhd, khasnya berhubung projek 1BestariNet.

Gesaan Ahli Parlimen DAP itu dibuat selepas Maszlee Malik mendakwa semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin mendesak bekas menteri pendidikan itu meletak jawatan berhubung isu kontrak dengan YTL.

Santiago memberitahu FMT, projek itu mendapat banyak kritikan, dengan rakyat mempersoalkan sama ada ia bermanfaat dan jika ia diberikan kepada orang yang salah.

Katanya, pendedahan Maszlee menunjukkan wujud kepentingan peribadi dan Muhyiddin, yang ketika itu menteri dalam negeri, harus tahu beliau tidak boleh mewakili perniagaan atau menjadikannya alasan untuk mendesak rakan Kabinetnya meletak jawatan.

“Jika dakwaan Maszlee benar yang Muhyiddin mendesak (Perdana Menteri ketika itu, Dr) Mahathir (Mohamad) memecat atau menyingkirkan beliau (Maszlee) sebagai menteri pendidikan, maka ia menunjukkan hubungan kukuh antara Muhyiddin dan YTL.

“Juga, kenapa Mahathir mendengar cakap Muhyiddin? Tun ialah perdana menteri, beliau boleh mengatakan beliau mempercayai menterinya. Beliau sepatutnya merujuk perkara itu kepada SPRM untuk disiasat.

“Jelas ini tidak berlaku, jadi banyak persoalan timbul. Satu daripadanya mengenai tabdir urus negara ketika itu dan satu lagi mengenai hubungan antara perniagaan dan politik.

“Ini perlu difikirkan dengan teliti dan disiasat secara mendalam oleh SPRM. Ada cadangan salah laku,” katanya sambil menambah Mahathir perlu bertindak balas terhadap sesetengah isu yang dibangkitkan juga.

Maszlee menerusi buku baharunya bertajuk “Memori Bukan Memoir” berkata, beliau dipanggil menemui Mahathir lima kali berhubung keputusan tidak melanjutkan kontrak YTL untuk projek 1BestariNet.

Dalam dua pertemuan itu, kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan turut bersamanya menjelaskan keputusan tidak menyambung kontrak YTL sebagai penyedia perkhidmatan projek itu, yang dimulakan Muhyiddin pada 2011 ketika beliau menjadi menteri pendidikan.

Katanya, beliau diberitahu Mahathir yang Muhyiddin “amat marah” dengannya kerana isu itu dan mahu Maszlee menyambung kontrak itu berdasarkan kehendak YTL, bukannya mengikut keputusan beliau sendiri.

Dalam respons terhadap dakwaan Maszlee, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menggesa jawatankuasa khas atau suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kes itu kerana tiada penutupan mengenainya buat sekian lama.

Santiago berkata, RCI mungkin tidak perlu dibentuk walaupun projek itu menelan kos berbilion ringgit, tetapi ia memerlukan siasatan SPRM.

Tiada ulasan: