"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Doktor ditahan ‘kantoi’ rakam pembantu wanita dalam tandas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang doktor lelaki ditahan selepas disyaki merakam pembantu wanita yang ketika itu berada di dalam sebuah tandas di sebuah klinik swasta di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata perbuatan itu disedari mangsa yang berusia 30 tahun selepas ternampak satu telefon bimbit berada dalam kedudukan tinggi.

Katanya, mangsa mendakwa telefon bimbit itu berada dalam keadaan aplikasi kamera terpasang ketika dia masuk ke tandas berkenaan dan kemudiannya mengambil peranti berkenaan sebelum terus keluar daripada klinik berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa yang mahu keluar daripada klinik secara tergesa-gesa itu disedari oleh suspek dan lelaki itu bertindak menghalangnya.

“Suspek kemudian meminta mangsa memulangkan semula telefon itu dan berjanji akan menghapuskan rakaman berkenaan di hadapannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Fakhrudin berkata, mangsa bersetuju menyerahkan telefon bimbit itu kembali kepada suspek sebelum doktor lelaki itu menunjukkan dia memadam rakaman di hadapan mangsa.

Tambah beliau, bagaimanapun mangsa tidak nampak kandungan rakaman yang dipadam suspek dan bertindak membuat laporan polis pada 2.30 petang, semalam.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa, suspek yang berusia 46 tahun ditahan di sebuah lokasi di sini kira-kira 7.30 malam tadi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tiada ulasan: