"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MoU PH dan kerajaan demi nyawa dan mata pencarian rakyat

MALAYSIA DATELINE

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat pada hari ini untuk membincangkan sebuah memorandum persefahaman di antara Pakatan Harapan dan pihak Kerajaan, di mana Pakatan Harapan telah memberi pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumum Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Memorandum persefahaman (MoU) ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.

Siri pertemuan di antara wakil Pakatan Harapan dan wakil Perdana Menteri petang tadi  terdiri daripada lima orang wakil Perdana Menteri iaitu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)  Datuk  Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan  Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,.

Manakala lima wakil daripada Pakatan Harapan turut bersama dalam perbincangan itu, iaitu Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP  Gobind Singh Deo,  Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan  Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Dalam kenyataan bersama  Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng berkata, pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik COVID-19.

Selain itu, katanya, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan.

Pakatan Harapan berpendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dibuat kepada Dana COVID-19 RM65 bilion yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion untuk menangani pandemik COVID-19 dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat.

Di samping itu, perlunya ada pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank untuk golongan B40 dan M40.

Majlis Presiden turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum tersebut, seperti memperkasakan pelaksanaan Undi 18 sekarang, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman, antara lain. Wakil-wakil turut telah membincangkan isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini.

Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik COVID-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita. 

Tiada ulasan: