"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saman fitnah 'terima dana DAP' - Husam dapat ganti rugi RM200,000

N Faizal Ghazali

Anggota Dewan Negara Senator Husam Musa berjaya mendapat bayaran ganti rugi setimpal atas dakwaan palsu “menerima dana daripada tauke judi DAP” yang dibuat bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Wan Zawawi Wan Ismail.

Peguamnya Hisham Fauzi dan Alawi Abdul Rashid memaklumkan, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Roslan Abu Bakar, memutuskan agar Wan Zawawi membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 dan bayaran kos RM6,000.

Menurut Hisham, mahkamah menetapkan keputusan itu selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan bertulis kedua-dua pihak.

"Berdasarkan pertimbangan yang dibuat, mahkamah berpendapat ganti rugi global yang ditetap dalam keputusan sebelum ini adalah rendah dan tidak setimpal dengan kesan fitnah itu kepada Husam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sebagai rekod Malaysiakini pada 26 Jun 2019 melaporkan bekas exco kerajaan Kelantan itu berjaya dalam saman fitnahnya terhadap Wan Zawawi.

Saman itu berkenaan kenyataan di laman Facebook Wan Zawawi yang mendakwa Amanah Kelantan menerima dana daripada DAP untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

Wan Zawawi di dalam status facebooknya menuduh Amanah Kelantan menerima duit daripada seorang tauke judi dari DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dengan gambar Husam bersama tulisan tersebut.

Dalam keputusan terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Husam selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.

Dia kemudian memerintahkan Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan diputuskan mahkamah nanti.

Sementara itu Husam yang turut memaklumkan perkembangan kes itu di Facebook, hari ini, menyatakan kesyukuran susulan keputusan terbabit.

Tiada ulasan: