"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sumbangan besar Pas naikkan semula para “koruptur”

 
ZAKARIA MUSA
 
Umno sudah berada hanya setapak lagi untuk berkuasa mutlak seperti era sebelum Mei 2018.

Mungkin pemimpin Umno sendiri kaget dan takjub dengan pencapaian yang luar biasa itu. Hanya tidak sampai dua tahun Umno berada di posisi pembangkang.

Tidak sempat serasi, apatah lagi sehingga dapat menghayati asam garam kehidupan sebagai pembangkang.

Mulanya, dengan pengkhianatan sebahagian ahli-ahli parlimen PKR dan Bersatu, juga sokongan bulat daripada Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), maka Umno berpeluang masuk balik dalam kerajaan pintu belakang.

Majoriti pemimpin PKR dan Bersatu itu asalnya pun daripada spesis Umno-BN juga. Tapi yang menakjubkan adalah sikap Pas. Bermati-matian Pas berjuang untuk menjatuhkan Umno sejak awal ditubuhkan 70 tahun lalu. Berani berdepan pelbagai risiko dan penindasan sehingga ada ahli dan pemimpinnya yang terkorban, tapi akhir-akhirnya berdakapan mesra dengan Umno.

Lebih tragis, Pas telah membantu mendukung Umno semula untuk menjadi teraju utama kerajaan. Umno dengan rupa bentuk dan semangatnya yang asal. Umno yang mengasaskan budaya politik jelik, sarat dengan korupsi, salahguna kuasa, kronisme.

Presiden Pas menandatangani akuan bersama Bersatu dan Umno semasa kemelut pelantikan Menteri Besar Perak, Disember tahun lalu.

Bermain mata

Sikap politik Pas ini mula dikesan sekitar 2015 lagi. Kumpulan pemimpinnya yang rapat dengan Presiden Pas, bermain mata dengan perdana menteri, sang kleptokrat Najib Razak.
 
Pas waktu itu tidak lagi serasi dengan parti-parti pembangkang yang lain, PKR dan DAP. Ada-ada sahaja isu yang mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap parti sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Pas lebih cenderung menggunakan dalih berunsur perkauman; Pas sudah bermesra-mesra dengan elemen asobiyah yang ditentang kuat sejak bermulanya era kepimpinan ulamak.

Sedang Najib berdepan isu paling kontroversi mencuri berbilion ringgit dana awam, anehnya Pas mengambil sikap cukup lunak. Bertiup kencang gosip politik bahawa Pas juga menerima “suapan” lumayan daripada Umno, termasuk bertujuan untuk menyingkirkan kelompok yang dilabel “Anwarinas, jebon, anti-ulamak” dan sebagainya.

Malah, ada pendedahan menjelang PRU-14, yang disertakan bukti slip transaksi bank, perpindahan wang berjuta ringgit daripada pemimpin Umno ke dalam akaun Pas.

Tentu sekali Pas menafikannya dan menyifatkan pendedahan itu sebagai fitnah semata-mata. Dan reaksi majoriti ahli-ahli Pas pastinya “kami dengar dan kami patuh” dengan apa jua sikap pemimpin. Namun, penafian Pas itu cukup longgar; sekadar berkata-kata dengan lidah tidak bertulang.

Talam dua muka

Dalam banyak keadaan pun, Pas juga mengakui ia terpaksa bercakap tidak benar (berbohong) demi kepentingan dan survival parti. Maknanya, menerima duit atau bantuan Umno itu adalah keperluan strategik Pas dan bagi pemimpinnya ia langsung tidak memberi walaupun sedikit kudis buat imej parti Islam itu.

Berdepan pengundi yang rata-ratanya cukup marah dan muak dengan rejim Najib-BN ketika itu, Pas bermati-matian menafikan ia sedang bermukah dengan Umno.

Maknanya, sokongan yang Pas raih dalam PRU-14, sehingga mampu menguasai Kelantan dan Terengganu, dan meraih jumlah kerusi yang besar dalam Dun Kedah-Pahang, juga 18 kerusi Parlimen adalah berpunca daripada gelombang besar penolakan kepada Umno-BN.

Sesungguhnya, Pas nampak tidak rasa bersalah pun atas sikap talam dua muka itu. Pendirian politiknya bagai flip-flop dengan dalih strategi atau pendekatan boleh berubah mengikut keperluan semasa.

Walhal, apa yang dilakukannya itu adalah pendustaan, yakni berbohong kepada pengundi. Lebih buruk lagi, sikap Pas seolah-olah menerima jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melampau.

Sudahlah Pas juga bersekongkol dan menjayakan komplot pengkhianatan yang merampas mandat rakyat dalam PRU-14. Tanpa sokongan Pas, Umno masih berada di posisi pembangkang dan agenda reformasi masih boleh dilaksanakan.

Sementara Umno belum pun serik dihukum pengundi, ia bingkas menduduki takhta kuasa, bermula sebagai rakan kongsi Perikatan Nasional (PN) dan 17 bulan selepas itu, menjadi perdana menteri. Di Malaysia, kerusi PM begitu “powerfull” sekali, manakala mekanisme semak-imbang tidak berfungsi dengan berkesan.

Kini, Umno tidak lagi tunduk malu kesipuan. Umno kini mampu berdada dan “tegak kepala” dengan megahnya. Umno sudah memperolehi apa yang dihajatinya.

Malah dunia antarabangsa — melalui laporan media asing — mengesahkan bahawa rejim kleptokrasi Malaysia sudah kembali berkuasa. Dan Pas tentunya boleh tumpang berbangga akan sumbangan besarnya menaikkan gerombolan para koruptur itu!

Tiada ulasan: