"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Nik Amar bukti Pas lemah sedang cari ‘dahan berpaut’

MALAYSIA DATELINE

AMANAH Bukit Bintang menyifatkan Pas ialah sebuah parti yang tidak ada pendirian tetap, ia hanya sebuah parti yang dianggap sebagai melukut di tepi gantang.

Ketuanya Ahmad Asri Talib berkata, apabila Pas rasa lemah ia akan mencari dahan untuk berpaut, asalkan parti tersebut dapat hidup walaupun dengan apa cara sekalipun

“Walau ia melanggar prinsip demokrasi bersekongkol dengan para pengkhianat mentadbir negara melalui langkah Sheraton.

“Sedangkan jalan itu sendiri melanggari etika agama kerana tidak jujur dalam mendapat kuasa,” kata beliau dalam kenyataan.

Kini Pas bersedia untuk menerima Parti AMANAH menyertai Muafakat Nasional (MN) sekiranya parti itu tidak bersama dengan DAP dalam Pakatan Harapan.

Kenyataan Datuk Nik Amar Abdullah selaku Naib Presiden Pas sebagai menyahut cabaran Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang membangkitkan penyatuan antara Pas dan Amanah.

Asri berkata, Islam yang dicanang oleh Pas retorik semata-mata, sepanjang Pas berada dalam kerajaan PN mahu pun BN, langsung tiada sehabuk perubahan pun yang dilakukan sebagaimana dilaung-laungkan semasa sebelum berada dalam kerajaan.

“Misalnya isu arak masih lagi tidak dapat dihalang malah pemberian lesen kepada jenama ‘TIMAH’ berlaku, cabutan khas judi asalnya 22 kali setahun, telah dikurangkan oleh kerajaan PH kepada 11 kali pada 2019 dan hanya 8 kali pada tahun 2020, tetapi dinaikkan kembali oleh kerajaan yang keberadaan Pas dalamnya kepada 22 kali.

“Isu penutupan aurat yang amat lantang diperkatakan oleh Pas juga tidak ada apa-apa hasil, malahan kemenangan ratu cantik Malaysia (Miss Grand International 2021) dengan pakaian menjolok mata dan tayangan filem gay pertama di Malaysia juga berlaku,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Pas beriya-iya mempelawa AMANAH menyertai PN dan menolak DAP, kelihatannya Pas ingin penyatuan akrab antara AMANAH dan Dap berpecah.

“AMANAH menjadi sebuah parti yang dipercayai oleh kaum Cina terutama mereka yang menyokong DAP, agenda menjadikan Dap sebagai hantu telah dimainkan sejak Pas keluar dari gabungan Pakatan Rakyat.

“Prestasi cemerlang pentadbiran Dap di Pulau Pinang menjadi igauan kepada Pas, BN dan PN. Namun Dap terus tidak mengira kaum, agama untuk mereka bantu dan tadbir dengan baik di Pulau Mutiara.

Justeru kata beliau, pelawaan Pas itu hanya sebuah angan-angan selagi parti itu masih mengekalkan sikap hipokrit dan menagih simpati AMANAH yang sememangnya menjadi sekutu Dap.

“Sikap tiada keikhlasan yang ditunjukkan oleh Pas sebagaimana ia lakukan sejak Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan MN menjadi ia sebuah parti suka bercerai berai,” kata beliau.

Sebelum ini atas alasan perbezaan fahaman punca Pas dan AMANAH tidak boleh menjalinkan kerjasama, kini Pas dikatakan boleh terima AMANAH atas perpaduan ummah tetapi dengan syarat tidak ada kerjasama dengan DAP

Tiada ulasan: