"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayi menggelupur kepanasan, isteri melecur, disimbah minyak panas

PETALING JAYA: Seorang pemotong ayam dipercayai sanggup menyimbah minyak panas terhadap isteri dan bayi perempuannya yang berusia empat bulan akibat cemburu kononnya pasangannya itu mempunyai hubungan sulit.

Dalam kejadian pada petang Jumaat, di Semabok, Melaka Tengah, lelaki berkenaan bagaimanapun ditahan serta direman empat hari, bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Lim Meng Seah, berkata kesan perbuatan lelaki itu, isterinya mengalami kesan melecur di bahagian paha kiri, manakala bayinya yang menggelupur kepanasan melecur di bahagian belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki kiri dan kanan.

Beliau berkata suspek berusia 24 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana cemburu kononnya isteri yang sudah dikahwini hampir tujuh tahun itu didakwa mempunyai hubungan sulit.

“Semasa kejadian, wanita berkenaan sedang menggoreng ayam sambil mendukung anak bongsunya sebelum suspek tiba-tiba datang dan mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga berlaku pertengkaran mulut.

“Mangsa ketika itu menjelaskan pada suspek tentang hubungannya dengan lelaki tersebut dan pada masa yang sama anak bongsunya (bayi) menangis.

“Suspek bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan telah bertindak mengangkat kuali di dapur serta terus menyimbah minyak panas ke arah isteri serta anak bongsunya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, akibat tindakan suspek itu, isterinya yang berusia 22 tahun serta bayi perempuan yang juga anak keempat mereka melecur di beberapa anggota badan.

“Akibat perbuatan suspek itu bayi mereka menangis dan menggelupur kepanasan sebelum ibu suspek datang dan membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Melaka,” katanya.

Tiada ulasan: