"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulasan Mahathir ni nampak macam kecewa halang Anwar jadi PM je

Tiada apa nak dibangga 100 hari Anwar jadi PM, kata Mahathir

Faiz Zainudin dan Shahrul Shahabudin

PUTRAJAYA: Tiada sebarang perubahan yang boleh dibangga mampu ditonjolkan sepanjang 100 hari Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan menerajui negara, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, Anwar hanya menabur janji sahaja untuk melakukan perubahan tetapi hasilnya belum nampak, termasuklah dalam isu pemulihan ekonomi dan menyelesaikan masalah orang Melayu.

“Perdana menteri buat kenyataan tiap-tiap hari, macam-macam nak buat tetapi keadaan tak bertukar, kita masih menghadapi kemelesetan ekonomi, masalah Orang Melayu tak ditangani, masalah politik yang tak stabil dan sebagainya.

“Selain daripada itu kita dapati janji yang dibuatnya belum nampak ditunaikan, cakap sahaja, kita lihat apa juga disebut perdana menteri ialah untuk sokongan orang ramai kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Dialog ‘sepentas perjuangan yang hilang’ yang turut disertai bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Mengulas keputusan beliau menyertai Putra, Mahathir berkata penyertaan ke dalam parti itu hanya sekadar dijadikan platform untuk memperjuangkan orang Melayu.

“Kita pilih Putra sebagai platform sahaja, kita tak memihak semata-mata kepada parti, kalau hanya fikir tentang parti nak bagi menang parti akhirnya orang Melayu macam sekarang hilang kuasa. Saya ingat itu bukan perjuangan yang baik.

“Perjuangan yang baik sekarang ini ialah kita ketepikan kepentingan diri, kepentingan parti dan utamakan kepentingan Melayu, kita berada dalam keadaan cukup bahaya, kita tak pernah kuasai ekonomi dan sekarang ini kuasa politik pun sudah hilang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya keputusan Pejuang yang dipimpin anaknya Mukhriz Mahathir untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), beliau berkata terpulang kepada parti lamanya itu kerana beliau bukan lagi ahli.

“Kita bebas dan negara kita demokrasi , hendak buat apa-apa pun buatlah. Sama ada disambut atau tidak itu soal lain. Saya tidak terlibat dengan Mukhriz sekarang ini sebab beliau Pejuang dan saya sudah keluar Pejuang,” katanya.

Tiada ulasan: