"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan PRN akan jadi penentu sokongan kepada kerajaan perpaduan

Azril Annuar

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri akan datang akan menentukan sama ada dua pakatan pemerintah di Malaysia Timur akan terus menyokong kerajaan perpaduan atau membentuk pakatan dengan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Zaini Othman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu FMT, berdasarkan strategi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, ia mungkin akan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.

Pendekatan sedemikian adalah praktikal dan pragmatik, katanya.

“GPS hanya akan bertindak balas, memberi respon dan mengambil langkah yang akan menguntungkan Sarawak.

“Jadi, keputusan GPS untuk ‘kekal atau lompat’ bergantung kepada kepentingan Sarawak dahulu,” katanya.

Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut senada dengan pandangan itu, sambil berkata sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam PRN, kedua-dua GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan akan menilai semula kedudukan mereka.

Bagaimanapun katanya, tidak mungkin berlaku lompat parti secara en bloc kerana PN tidak mempunyai jumlah diperlukan buat masa ini.

Sukar untuk pembangkang berkuasa tanpa pilihan raya, kata Azizuddin.

“Saya tidak rasa mereka (GPS dan GRS) mahu menjadi sebahagian daripada pentadbiran majoriti yang lebih kecil,” katanya merujuk kepada 148 Ahli Parlimen kerajaan perpaduan di Dewan Rakyat.

“Dan saya meragui jika Umno akan berpaling tadah secara en bloc, kerana mereka akan menjadi minoriti dalam gabungan itu. Mereka mungkin tidak diberikan jawatan timbalan perdana menteri.”

Jika 10 Ahli Parlimen BN serta GRS dan GPS menyertai PN, pentadbiran persekutuan baharu hanya akan mempunyai 113 Ahli Parlimen.

Awal minggu ini, Ketua Whip Parlimen GPS Fadillah Yusof menafikan dakwaan gabungan itu bercadang untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar Ibrahim, sambil berkata ia memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan kesejahteraan awam dan bukannya berpolitik.

Ketua MCA Wee Ka Siong juga menafikan khabar angin bahawa beliau dan Wee Jeck Seng merancang untuk menggulingkan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata jika 10 Ahli Parlimen BN memutuskan untuk berpaling tadah, ia boleh mempengaruhi GRS dan GPS untuk melompat secara en bloc.

Katanya, Ahli Parlimen terbabit hanya perlu mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi menyokong Anwar tanpa meninggalkan parti masing-masing.

Bagaimanapun, Azizuddin dan Zaini tidak bersetuju, berkata pembelotan hanya boleh dilakukan secara en bloc jika parti memutuskan untuk berbuat demikian.

Azizuddin berkata tidak mungkin Ahli Parlimen BN mahu berpaling tadah.

“Mereka secara automatik akan kehilangan kerusi dan pilihan raya kecil akan diadakan. Mereka mungkin tidak memenangi pilihan raya kecil itu, memandangkan pengundi secara umumnya mengundi parti itu,” katanya.

Tiada ulasan: