"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Adun PH tak gentar tindak balas pengundi

Dineskumar Ragu
Khaliq Mehtad Ishaq, Zulkifli Ibrahim dan Dr Afif Bahardin dilucutkan daripada DUN Pulau Pinang pada Mac di bawah undang-undang anti-lompat parti Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM: Bekas Adun Pakatan Harapan tidak gentar dengan dakwaan akan berlaku tindak balas terhadap mereka jika bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang.

Khaliq Mehtab Ishaq, Zulkifli Ibrahim dan Dr Afif Bahardin dipilih sebagai Adun Pulau Pinang atas tiket PH pada 2018. Mereka telah dilucutkan daripada DUN pada Mac lalu.

Khaliq, yang juga bekas Adun Bertam, berkata beliau tidak kisah dengan tindak balas pengundi kerana telah melakukan yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada pengundinya.

“Ya, saya menang menggunakan logo PKR dan seterusnya menyertai PN. Tetapi yang paling penting ialah komitmen saya terhadap kerja yang dilakukan di kawasan saya,” katanya kepada FMT.

Di bawah undang-undang anti-lompat negeri, ketiga-tiga mereka dianggap “hilang” kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH.

Zulkifli, bekas Adun Sungai Acheh, juga berkata pengundi boleh menilai beliau berdasarkan prestasi lepas.

Katanya, beliau antara Adun pertama yang menggerakkan penghantaran bakul makanan kepada isi rumah yang terjejas semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama Covid-19 pada 2020.

Walaupun ketiga-tiganya telah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRN kali ini, namun mereka berkata keputusan itu terletak pada pucuk pimpinan PN.

Afif yang merupakan bekas Adun Seberang Jaya berkata, beliau telah terlibat dalam beberapa perbincangan dengan Bersatu.

“Saya percaya PN akan meletakkan calon terbaik dan boleh menang untuk semua kerusi yang akan ditandingi pada PRN akan datang,” katanya.

Beliau juga yakin PN akan mampu memenangi Seberang Jaya, dan kerusi DUN lain dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh seperti Penanti dan Permatang Pasir.

Khaliq berkata PN berkemungkinan menang DUN Bertam, memandangkan kawasan itu majoritinya Melayu.

Bagaimanapun, bekas Adun Teluk Bahang Zolkifly Md Lazim yang turut disingkirkan bersama ketiga-tiga mereka belum memberikan maklum balas sama ada beliau akan bertanding atau sebaliknya.

Tiada ulasan: