"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu akui dah 'pinang' KJ namun status Shahidan masih 'kabur'

Haspaizi Zain

Bersatu mengesahkan mereka sudah 'melamar' bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) atas tiket PN.

Bagaimana status bekas Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim, yang dikatakan akan bertanding di Selangor pada PRN akan datang masih menimbulkan tanda tanya.

Menurut sumber Bersatu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sememangnya mempelawa Khairy - yang juga bekas menteri kesihatan - untuk bertanding dalam PRN mewakili PN.

Bagaimanapun belum ada keputusan muktamad dicapai mereka.

"Spekulasi Khairy akan bertanding dalam PRN di Selangor mewakili PN belum muktamad lagi. Khairy tidak memberikan sebarang komitmen.

"Muhyiddin memang ada mengemukakan pelawaan kepada Khairy, tapi ahli Parlimen Rembau itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat dulu.

"Begitu juga dengan khabar angin Shahidan akan bertanding PRN di Selangor juga masih di peringkat awal, belum ada kata putus dan masih kabur," katanya kepada Malaysiakini.

Asalkan boleh beri kemenangan

Terdahulu media semalam melaporkan Khairy disebut-sebut bakal diletakkan bertanding di salah satu kerusi DUN dalam kawasan parlimen Sungai Buloh sekiranya dia menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti itu menjelang PRN akan datang.

Untuk rekod dalam PRU ke-15 lalu Khairy diketepikan dari kerusi selamat buat Umno di Rembau dan bertanding di Sungai Buloh yang dianggap kubu kuat PKR-PH.

Walaupun gagal merampas kerusi parlimen Sungai Buloh, Khairy berjaya mengurangkan - dengan ketara - jumlah majoriti yang diperolehi calon PH di situ, R Ramanan.

Seorang pemimpin kanan PAS Selangor dilaporkan berkata nama Khairy tidak termasuk dalam senarai parti berkenaan untuk dicalonkan apabila tiba masanya.

Justeru dia menganggap tidak ada masalah jika Khairy memilih untuk bertanding sebagai calon Bersatu.

Pada masa sama pemimpin PAS terbabit tetap bersikap terbuka jika ada arahan daripada pimpinan atasan untuk mengambil mana-mana tokoh untuk dijadikan calon.

"Lagipun kami memang menerima baik mana-mana pihak luar yang ingin bertanding mewakili PN dan boleh memberi kemenangan kepada kami.

"Malah, jika ada arahan daripada pimpinan pusat untuk 'menarik' pihak luar untuk bertanding dan memberi kemenangan, PAS juga tidak ada masalah untuk itu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mengesahkan bahawa terdapat pelawaan daripada partinya kepada Khairy untuk bertanding dalam PRN.

Bagaimana dia tidak pasti sama ada pelawaan itu dibuat secara rasmi ataupun sebaliknya.

"Saya pun agak kabur dalam hal ini kerana tiada kenyataan rasmi daripada kedua-dua belah pihak, tapi yang pasti Bersatu terbuka untuk Khairy menyertai kami atau parti komponen PN," katanya.

Tiada ulasan: