"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cerita oghe Kelate

Mohsin Abdullah

Sebenarnya Ahmad Yakob, menteri besar Kelantan, tidak perlu seru anak Kelantan di perantauan pulang mempertahankan kemenangan PAS dan Perikatan Nasional pada PRN tidak lama lagi. Sebab itulah yang mereka lakukan selama ini. Kepulangan anak perantauan Kelantan beramai-ramai membolehkan PAS kekal memerintah Kelantan sejak PRU8 pada 1990.

Anak Kelantan di luar Kelantan akan pasti pulang lagi apabila PRN diadakan kali ini. Persoalannya adakah mereka akan mempertahankan kerajaan PAS sekali lagi? Bagi saya, jawapannya ‘ya’.

Penganalisis politik Sivamurugan Pandian juga dipetik Berita Harian semalam 25 april 2023 bahawa beliau menjangka PAS mengekalkan kuasa di Kelantan, juga di Terengganu dan Kedah. Sivamurugan menghuraikan kenapa tetapi tidak perlu saya ulangi. Tidak juga akan saya cakap mengenai Terengganu dan Kedah kerana seperti tertera di tajuk artikel, ini mengenai Kelantan.

PAS akan kekal memerintah Kelantan walaupun berdepan masalah. Masalah utama bekalan air bersih. Yang ada air berkarat. Sebelum saya tulis artikel ini saya terima hantaran TikTok mengenai air warna merah siap dengan komentar loghat Kelantan. Pendekkan cerita. Masalah air di Kelantan berlarutan. Penyelesaian belum kelihatan.

“Balik Kelantan sambut raya. Tiga perkara yang merimaskan. Airnya perlahan dan kualitinya teruk. Jalannya sempit dan berlubang. Sampah berlonggok di merata tempat dan kotor,” kata anak kelahiran Kelantan, Agus Yusoff, di Facebook menjelang 1 Syawal.

Beliau ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-KOM, maksudnya ‘orang kerajaan perpaduan’ yang mungkin menyindir kerajaan PAS masih gagal menyelesaikan masalah kemudahan asas rakyat. Tetapi adakah apa yang beliau kata itu betul? Hanya rakyat Kelantan atau orang yang pernah ke negeri itu yang boleh jawab.

Untuk sekian lama kerajaan PAS merungut mereka tidak dapat membawa pembangunan kerana Kelantan dinafikan hak royalti minyak oleh kerajaan persekutuan sejak dahulu lagi. Alasan itu masih digunakan. Sedikit sebanyak ada logiknya. Bagaimanapun, kata Zaid Ibrahim, juga anak Kelantan yang terkenal sebagai ahli politik dan peguam: “Royalti ini berasas kepada perjanjian antara pusat dan Kelantan pada 1975 yang sahih. Sebab itu kita tidak faham mengapa PAS menarik balik tuntutan ini daripada dibicarakan di mahkamah hanya kerana kerajaan pusat memberi RM400 juta sedangkan hak kita lebih daripada itu.” Kata-kata beliau disuarakan menerusi kenyataan pada 3 Feb 2022. Jelas isu royalti minyak akan terus dibincangkan.

Selain minyak, ada lagi masalah yang dihadapi Kelantan. Kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah mencatat jumlah tinggi, seperti yang didaftarkan di Kelantan tahun lalu. Ini butiran yang diberi Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berdasar fakta dan jumlah kes di mahkamah. Beliau juga pada 14 Mac lalu meluahkan kebimbangan kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang didaftarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. Menurut Tengku Maimun, sepanjang tahun lalu 59 kes membabitkan kesalahan seksual kanak kanak dilaporkan. Beliau juga orang Kelantan. Dilahirkan di Kota Bharu.

Satu lagi isu yang kerap timbul penghijrahan anak muda dari Kelantan ke negeri lain kerana tiada peluang pekerjaan di negeri sendiri. Diakui ini benar tetapi perlu diakui juga ini sudah berlaku sejak lama dahulu yakni waktu Kelantan diperintah Perikatan dan kemudian BN.

Bagi saya orang Kelantan “are a very enterprising lot”. Lihat sahaja Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Wanita berniaga dengan cekap malah anak Kelantan ramai yang berjaya dalam pelbagai bidang. Banyak nama terkenal asal Kelantan. Maka masalah yang menimpa seperti disebut tadi sememangnya menyedihkan. Kelantan bagi saya tidak dapat “fulfill its true potential”. Pada 1990-an ada sekumpulan cendiakawan anak Kelantan yang menubuhkan kumpulan untuk melakukan sesuatu malangnya tidak berhasil dan kumpulan itu bubar dengan sendirinya.

Selain soal pembangunan, gejala sosial yang dihuraikan ketua hakim negara amat membingungkan. Mengapa ia boleh terjadi sedangkan Kelantan ditadbir mengikut cara Islam, kalau ikut kata pemerintahnya sejak 33 tahun lalu.

Semasa meminta anak Kelantan di perantauan pulang menyokong kerajaan pada PRN akan datang, menteri besar berkata “Kita mahu terus menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran di bumi serambi Mekah ini.” Kerana Islam lah anak Kelantan di luar Kelantan pulang setiap pilihan raya sejak 1990 untuk memastikan Islam berkuasa. Saya sendiri ada seorang kawan pakar IT di Cyberjaya yang mengambil cuti panjang untuk membantu PAS berkempen secara sukarela walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Kata beliau, ini dilakukan kerana Islam.

Yang membingungkan saya ialah di mana silapnya ada banyak kes dadah dan seksual kanak-kanak ketika Islam didakwa dijadikan asas pentadbiran? Kita tidak mahu kegagalan manusia dikaitkan dengan Islam, pada hal yang gagal bukan Islam tetapi pemerintah yang mendakwa memerintah cara Islam.

Menurut seorang rakan, undi untuk PAS daripada pengundi tradisi yakni golongan dewasa dan warga emas berkurangan pada PRU15 namun maklumat ini tidak dapat disahkan. Oleh itu tidak pasti sama ada golongan lama sudah meragui kerajaan PAS pada waktu pengundi muda menyokong.

Pada suatu majlis moreh Ramadan lalu, saya kesempatan berbual dengan seorang pengusaha yang berjaya. Beliau anak jati Kelantan tetapi bermastautin di Shah Alam. Saya memberitahu beliau saya berpendapat anak muda Kelantan di perantauan mengundi PAS kerana mereka mahu Islam.

“Ya, mereka mahu Islam tetapi duduk di luar Kelantan. Mereka dapat bermacam nikmat di negeri mereka duduk tetapi tidak mahu Kelantan berubah. Selepas pilihan raya mereka tinggalkan ibu bapa, adik beradik mereka terus hidup dengan air kotor, sampah, dan macam-macam lagi masalah.”

Saya cuma capai kuih akok yang dihidang tanpa kata apa-apa. Saya bukan orang Kelantan.

Tiada ulasan: