"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lari daripada pemeriksaan polis, 4 cedera kereta terbabas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki antara empat yang cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada polis di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Putra Heights awal pagi tadi.

Kejadian pada 1.05 pagi itu menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan 20-an hingga 30-an parah serta tidak sedarkan diri, manakala seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera ringan.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata sebelum kejadian, kereta peronda polis terserempak Proton Satria dinaiki empat individu dalam keadaan mencurigakan di USJ, Subang.

“Anggota mengekori kereta itu sambil membunyikan siren dan menyalakan lampu biru untuk mengarahkan mereka berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Namun, pemandu enggan berhenti dan melarikan diri sehingga melanggar palang di Plaza Tol Seafield.

“Semasa di persimpangan keluar Putra Heights, kereta suspek membelok secara agresif dan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, empat individu itu dibawa ke Hospital Putrajaya dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana kereta digunakan dilaporkan hilang di kawasan Shah Alam,” katanya sambil menambah tiga suspek dewasa mempunyai rekod jenayah lampau, dengan seorang daripadanya dikehendaki bersabit kes dadah di Hulu Selangor.

Buat masa ini, katanya, semua individu itu belum ditahan kerana masih tidak sedarkan diri dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang 03-78627100.

Tiada ulasan: