"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Macam tak sayang nyawa

Zaid Salim
am@hmetro.com.my
POLIS memeriksa penunggang motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan dilakukan Op Selamat 20 di Kampung Binjai Rendah. FOTO Ihsan Polis.
POLIS memeriksa penunggang motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan dilakukan Op Selamat 20 di Kampung Binjai Rendah. FOTO Ihsan Polis.
Marang: Gara-gara melakukan aksi 'wheelie' dan 'superman', lima remaja terpaksa beraya tanpa kenderaan apabila motosikal milik mereka disita, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata semua remaja lelaki berusia antara 15 hingga 21 tahun itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan dilakukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini.

"Operasi sempena Op Selamat 20 itu dilakukan selama dua hari pada Khamis dan Jumaat bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi.

"Lima remaja terbabit dikesan menunggang secara berbahaya sesama mereka dengan melakukan aksi 'wheelie' dan 'superman' ketika rondaan di kawasan Kampung Binjai Rendah, Jalan Kuala Terengganu- Kuala Berang, di sini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, semua remaja terbabit ditahan untuk dokumentasi sebelum dibebaskan dengan jamin polis sebelum dituduh mahkamah manakala motosikal disita untuk siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

"Jika sabit kesalahan, mereka (remaja terbabit) boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen selama lima tahun," katanya.

Mohd Zain menegaskan, pihaknya akan meningkatkan rondaan terutama sepanjang tempoh Op Selamat 20 yang dijalankan selama tujuh hari bermula Khamis lalu bagi mengekang aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu keselesaan pengguna jalan raya lain di daerah ini.

Katanya, sepanjang tempoh perayaan, pihaknya juga melakukan rondaan cegah jenayah dengan memberi penekanan terhadap jenayah pecah rumah.

Dalam masa sama, pihaknya turut melaksanakan Op Lancar bagi memastikan aliran trafik sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri di daerah ini lancar.

"Di Marang, kesesakan pada musim perayaan biasanya berlaku di persimpangan lampu isyarat dan jambatan Marang dan kita akan memberi tumpuan di kawasan berkenaan bagi mengelak kesesakan," katanya.

Tiada ulasan: