"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Minta dijauhi PAS memerintah Selangor

Dahlan Maamor

PAS memang handal dalam mencari salah orang tapi tidak cermin diri bila berkata-kata. Hanya untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang, parti itu sanggup menggunakan apa saja isu walaupun menyimpang dari fakta sebenar. 

Rakyat bahagia di Selangor dengan kemudahan dan keprihatinan kerajaan negeri kecuali orang PAS saja yang merasa sangat bahagia di Kelantan walaupun terpaksa bermandi dan meminum air keruh.

Terima kasih PAS kerana mengiktiraf Selangor sebuah negeri kaya. Namun lain pula keadaannya di Kelantan yang terus mundur dengan rakyatnya dibelenggu hingga hari ini dengan masalah  bekalan air bersih dan kemiskinan tegar.

Biar saya kongsikan pengalaman saya yang pernah bermastautin di Kelantan. Derita air memang tidak tertahan dan ia berlaku sekitar 90an namun hingga ke hari ini masalah itu gagal di atasi namun PAS terus diberi kepercayaan menjadi kerajaan negeri hanya kerana laungan “negeri serambi Mekah”.

Justeru, bukan Selangor, tetapi sepatutnya pentadbiran Kelantan yang perlu diubah. PAS mesti disingkirkan untuk memberi ruang perubahan lebih baik. Saya yakin selagi PAS bertapak di bumi Kelantan maka rakyat akan terus minum “teh tarik” percuma yang keluar melalui kepala paip di setiap rumah.

Saya pernah merasai kesusahan bekan air ini dan pernah menggunakan air bukit dan air sungai di perkampungan Rancangan Pemulihan Tanah RPT Chenulang, Sungai Durian Kuala Krai sebelum ini. Bukan setakat susah untuk dapatkan bekalan air minum, membasuh pakaian malah untuk mandi wajib pun sukar kerana air sering tiada.

Orang kampung RPT Chenulang berkongsi belanja untuk menyiapkan saluran air dari bukit berdekatan untuk mendapat punca air. Itu dulu tapi rasanya tidak jauh beza juga dengan keadaan hari ini. Kenapa mereka diam setiap kali rakyat memberontak dan membangkitkan tentang isu air?

Jawapan yang selalu diberi,”air belanar di sungai belake rumah, gi minum sampai kembong perut” maksudnya air banyak di dalam sungai belakang rumah, pergilah minum sampai kenyang. Itu jawapan yang pernah kita dengar dan ia melambangkan tahap pemikiran pemimpin PAS.

Pada perkiraan saya, PAS tak perlu sibuk dengan Selangor kononnya rakyat negeri itu susah walaupun negeri kaya seperti yang ditulis oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir dalam Harakahdaily kerana dia sepatutnya perlu sibuk dengan Kelantan dan Terengganu dan kini melarat ke Kedah kerana masalah air.

Rakyat menjadi susah kerana pulang kampung berhari raya namun untuk mandi pun terpaksa ke sungai. 

Tentu sedihkan bila kita tidak menggunakan cermin untuk melihat muka sendiri dan tulisan Roslan ini seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Jangan biarkan diri anda “buta” kerana semua rakyat Selangor mengiktiraf perkara baik yang dilakukan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari. Rakyat Selangor celik tak seperti Pas Selangor yang dijangka tersungkur teruk di PRN Selangor Jun ini.

PAS Selangor menyebut tentang jalan, perparitan yang daif, pengurusan sisa pepejal cukup lemah di kawasan menteri besar, rasa seperti mahu tergelak besar mendengar hujah ini. Kata dulang paku serpih. Cakap tidak serupa bikin atau bikin tak serupa cakap.

Sekolah agama terperosok, tak terurus kata PAS Selangor. Seronoknya bila menulis tanpa melihat negeri yang kamu perintah. Tanya orang Kedah di luar bandar dan tanya orang Kelantan yang terpaksa menanggung kesusahan kerana terperangkap dengan ceramah dan tulisan yang bertujuan untuk menang pilihan raya.

Saya yakin semakin PAS Selangor bersuara semakin terbuka niat mereka semata-mata mahu dapatkan kuasa. Minta dijauhi PAS memerintah Selangor kerana bimbang Selangor akan kembali mundur dan masalah air akan terus menghantui seperti apa yang berlaku di Kelantan.

Minta dijauhi.

Isu SJKC dibangkitkan dengan niat membakar isu keserasian dan semangat setiakawan di Selangor untuk meraih laba politik.

Bukan rasis katanya tapi itulah PAS yang sikap mereka semua rakyat maklum. Lempar batu sembunyi tangan.

Bila habis modal PAS akan main isu anak tempatan, anak Selangor perlu urus kesusahan rakyat Selangor tapi PAS lupa bahawa setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan - orang mana dan menjadi wakil rakyat di mana? Tidakkah ada orang Kota Baharu yang boleh memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Cukup satu contoh banyak lagi kita simpan dulu.

PAS sekali lagi cakap tak serupa bikin.

Kepada rakyat Selangor buatlah penilaian bijak dan jangan termakan dengan propaganda murahan yang akhirnya kita akan mundur dan dirundung kesusahan seperti negeri di bawah pemerintahan PAS.

Kepada PAS Selangor teruskan berkarya kerana rakyat akan menilai dengan bijak dan siapa PAS selama ini

Tiada ulasan: