"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buruh binaan mengaku ceroboh, rogol penjawat awam

Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my

Ipoh: Buruh binaan mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menceroboh rumah penjawat awam dan rogol pada minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Hassan Ahmad, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh itu didakwa merogol mangsa berusia 38 tahun dan meletakkannya pada ketakutan kepada kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kuarters Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang terletak di Jalan Kamarudin Isa, Fair Park di sini, antara 10 malam 17 April hingga 1.47 pagi 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa merogol mangsa pada 18 April lalu antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi di tempat yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dihukum dengan sebatan.

HASSAN (tengah) mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menceroboh rumah penjawat awam dan rogol pada minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L.Manimaran
HASSAN (tengah) mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menceroboh rumah penjawat awam dan rogol pada minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L.Manimaran
Bagi pertuduhan menceroboh, tertuduh yang juga seorang duda dan mempunyai seorang anak perempuan itu didakwa menceroboh masuk dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di rumah mangsa pada 10 malam 17 April hingga 9 pagi 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Evangelin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh tidak mempunyai alamat tetap serta mengetahui tempat tinggal mangsa.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mei untuk keputusan.

Sebelum ini, media melaporkan wanita itu sempat melarikan diri dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Polis kemudian menahan lelaki itu di rumah mangsa dan merampas beberapa senjata termasuk gunting, pisau dan kuku keluli.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh mempunyai rekod dadah lampau dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Tiada ulasan: