"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri maut dilanggar suami ketika undur kereta

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
KERETA Proton Saga yang dipandu lelaki terlanggar isterinya yang sedang berjalan kaki ketika pemandu berkenaan mengundur kenderaan di Taman Selasih. FOTO Ihsan Pembaca
KERETA Proton Saga yang dipandu lelaki terlanggar isterinya yang sedang berjalan kaki ketika pemandu berkenaan mengundur kenderaan di Taman Selasih. FOTO Ihsan Pembaca
Kulim: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu suaminya terlanggar mangsa di Taman Selasih, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7 petang hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 60-an dipercayai terlanggar isterinya sebelum melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang sedang parkir di hadapan rumah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang sebelum itu berada dalam kereta Proton Saga itu dan keluar kerana tertinggal barang di dalam rumah.

"Suami mangsa yang ketika itu sedang mengundur kereta berkenaan tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri dan terlanggar kereta yang sedang parkir di hadapan rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, pemandu kereta Proton Saga itu tidak mengalami kecederaan manakala isterinya yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat.

"Pemandu kereta itu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Tiada ulasan: