"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas Sultan Selangor berdukacita, Pas serah Hadi untuk jawab

AKMAL MANAF

Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi menyelesaikan isu perutusan surat oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap beliau.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu tidak wajar dilibatkan dalam polemik itu memandangkan kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi adalah pandangan peribadi dan tidak merujuk pendirian parti secara keseluruhan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta semua pihak mendapat rujukan balas daripada pejabat presiden Pas sendiri dalam merungkai penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

”Kenyataan tuan guru (Abdul Hadi) adalah bersifat peribadi. Justeru media kena rujuk dengan pejabat presiden Pas atau tuan guru sendiri.

”Saya kira kenyataan tersebut bukan merujuk pendirian Pas secara keseluruhan.

”Jadi Pas tidak boleh memberi sebarang komen lanjut,” ujar beliau dipetik Sinar Harian.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Februari lalu itu, disiarkan di portal berita pas.org.my.

Susulan kenyataan kontroversi dikeluarkan Ahli Parlimen Marang itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya masih belum merakam percakapan Abdul Hadi atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan pada masa ini.

Tiada ulasan: