"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parti tak bergerak, pimpinan Bersatu masih ‘bulan madu’

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Bersatu ketika ini seperti tidak bergerak kerana pimpinan tertinggi masih “berbulan madu”, dakwa seorang pemimpin akar umbi Perak.

Enggan dinamakan, pemimpin itu berkata walaupun rating Perikatan Nasional (PN) melonjak selepas PRU 2022 dan pada PRN enam negeri, “Bersatu kekal tidak bergerak berbanding PAS dari sudut keahlian, aktiviti, dan program, selain memperkukuh akar umbi.”

Katanya: “Dalam erti lain, parti tidak mengambil penuh peluang situasi itu, manakala PAS bergerak sangat pantas.” Bagaimanapun, beliau tidak menganggap PAS menjadi ancaman memandangkan parti berkenaan membuat apa yang perlu demi perkembangannya.

“Namun, Bersatu masih lagi dalam tempoh ‘berbulan madu’. Kita masih bergembira dan memikirkan semua orang akan menyokong kita secara organik tanpa perlu ada strategi sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bulan lalu, tumpuan utama parti dalam tempoh tiga ke empat tahun mendatang adalah menguatkan populariti dalam kalangan pengundi Melayu.

Muhyiddin berkata, parti mahu memperkukuh sokongan orang Melayu diterima pada PRN enam negeri, sambil mendakwa undi Melayu kepada Bersatu dan PN meningkat 70% hingga 80%.

Seorang lagi pemimpin akar umbi Selangor berkata, ahli akar umbi tidak memahami struktur politik dan parti walaupun ramai pimpinan Bersatu berpengalaman dalam urus tadbir.

“Ramai (ahli akar umbi) kali pertama (jadi ahli parti politik) atau amatur. Kefahaman pengurusan etika parti dan berpersatuan masih rendah,” katanya.

Katanya, pimpinan tertinggi parti sepatutnya bekerja keras membina jalinan di bawah terutama dalam hubungan dengan akar umbi. “Jika pemimpin masih ‘berbulan madu’, lebih ramai akar umbi ketinggalan. Pimpinan kena bekerja menambah ahli dan membina sokongan Melayu. Mereka tidak boleh bersenang-senang sangat,” katanya.

Katanya, parti hanya membuang masa apabila kepimpinan bertelingkah antara satu sama lain, mengambil kira pemukiman Bersatu minggu lalu telah mendepani kebanyakan isu yang timbul.

“Mungkin satu atau dua lagi isu yang perlu perhatian, seperti struktur parti ke hadapan dan siapa yang akan memegang jawatan mana,” katanya.

Tiada ulasan: