"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 individu bertengkar sebelum terbakar

Bernama
Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan kereta dan motosikal hingga menyebabkan dua individu melecur dalam kejadian di Ipoh, pagi tadi. (Gambar PDRM)
IPOH: Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki warga emas dan wanita yang melecur dalam kebakaran dua kenderaan dipercayai selepas bertengkar di kawasan perumahan di Taman Utama Bercham, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah kereta dan motosikal serta dua mangsa berusia 67 dan 54 tahun pada kira-kira 10.18 pagi.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat telah pergi ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati terdapat sebuah kereta dan sebuah motosikal dalam keadaan hangus terbakar di hadapan rumah.

“Sebelum kebakaran berlaku, seorang saksi mendengar pertengkaran di antara kedua-dua mangsa dan apabila keluar dari rumah, dapati kebakaran telah berlaku dan kedua-dua mangsa sudah terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan kesan lecur dan dalam keadaan tidak sedarkan diri di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan keterangan saksi-saksi terlibat akan dirakam percakapan bagi siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Ipoh, ASP Fadli Ahmad dengan menghubungi talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya tiba di lokasi pada 10.28 pagi dan mengambil masa selama lima minit untuk memadamkan kebakaran yang membabitkan kedua-dua kenderaan.

Katanya, punca kejadian masih belum dikenal pasti namun kedua-dua mangsa yang melecur hampir keseluruhan badan berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan.

Tiada ulasan: