"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 ditahan bergaduh tak puas hati perlawanan bola sepak

Bernama
Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, Siti Noor Salawati Saad berkata pergaduhan berlaku semasa kejohanan bola sepak peringkat liga kawasan Bagan.
BUTTERWORTH: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan yang membabitkan sekumpulan individu selepas perlawanan bola sepak, yang video insiden berkenaan menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, Siti Noor Salawati Saad berkata tiga lelaki berumur 30 hingga 40-an itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu di Balai Polis Butterworth Ahad lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan keputusan pengadil serta beberapa provokasi antara penyokong, dan polis sedang giat mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai terlibat dengan kejadian.

Katanya, seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat Nursyahirah Sarahani di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Siti Noor Salawati berkata polis juga meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan video kejadian itu dan mensensasikannya sehingga menimbulkan persepsi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Kejadian itu dipercayai berlaku semasa kejohanan bola sepak peringkat liga kawasan Bagan dan pergaduhan berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di situ.

Tiada ulasan: