"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Ketua Ayahanda Harimau Kumbang, 4 ahli didakwa anggotai pertubuhan haram

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Dungun: Dua beranak dan tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengurus dan menganggotai sebuah pertubuhan haram.

Mereka membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, Husin Hassan, 40, didakwa mengurus dan mengambil bahagian dalam pertubuhan haram (Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Harimau Kumbang) di Kampung Sura Jeti Dungun, 1.40 pagi pada 20 Januari tahun lalu.

Husin didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966.

Bagi pertuduhan kedua, Husin didakwa mengikut Seksyen 6 (2) akta sama kerana mengambil bahagian dalam pertubuhan kebajikan berkenaan tanpa kebenaran bertulis yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak Husin, Muhammad Aieril Amirul, 20, didakwa menganggotai pertubuhan haram berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun, 3.15 pagi pada 20 Januari tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
HUSIN (dua dari kiri) dan Muhammad Aieril Amirul (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Dungun. FOTO Rosli Ilham
HUSIN (dua dari kiri) dan Muhammad Aieril Amirul (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Dungun. FOTO Rosli Ilham
Seorang lagi tertuduh iaitu adik kepada Husin, Mohamad Hassan, 39, yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 43 akta sama didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bunga Raya Dungun, 1.45 pagi pada 20 Januari tahun lalu.

Dua lagi tertuduh iaitu Mohd Syamin Abdul Rahim, 39, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 6 (3) dan Seksyen 43 akta yang sama manakala Hilmy Ibrahim, 50, yang juga pemandu ambulans didakwa mengikut Seksyen 43 akta yang sama.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM3,000 hingga RM9,000 dan menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed dan Nohabibah Norulalzahar.

Tiada ulasan: