"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penumpang cemas, kereta api rempuh penghadang

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
KEADAAN jentera Lokomotif yang terlanggar penghadang di hujung landasan di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN jentera Lokomotif yang terlanggar penghadang di hujung landasan di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
Kota Kinabalu: Penumpang dan kakitangan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah berdepan detik cemas selepas sebuah lokomotif merempuh penghadang di hujung landasan dan dinding pagar Stesen Sembulan, di sini, hari ini.

Kejadian jam 7.08 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang dan kakitangan yang bertugas.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kejadian berlaku membabitkan kereta api PU201 yang membawa penumpang dari Beaufort ke Sembulan dengan formasi terdiri daripada sebuah lokomotif dan empat gerabak penumpang.

"Ketika menghampiri ke Stesen Sembulan, Jentera Lokomotif 7001 mengalami masalah teknikal iaitu sistem angin mengalami kerosakan dengan tiba-tiba menyebabkan sistem brek Jentera Lokomotif 7001 tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Keadaan ini mengakibatkan jentera berkenaan merempuh penghadang (Bumper Stopper) di hujung landasan kereta api dan dinding pagar di Stesen Sembulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, insiden bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang kerosakan kepada empat gerabak penumpang dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang dan kakitangan yang bertugas.

"Empat gerabak ini sudah ditarik menggunakan lokomotif lain dan meneruskan perjalanan untuk perkhidmatan lain yang dijadualkan dan kejadian ini juga tidak menjejaskan perkhidmatan lain dalam jabatan.

"Kejadian bagaimanapun menyebabkan lokomotif 7001 terkeluar daripada landasan, serta mengalami kerosakan pada komponen bogie, sistem brek dan buffer, serta komponen lain yang akan dikenal pasti selepas pemeriksaan lanjut dilakukan," katanya.

Tiada ulasan: