"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini berlaku di negeri yang pemimpinnya kuat memperjuangkan Islam?

Kutip besi buruk, selongkar tong sampah demi sesuap nasi

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
MOHAMAD Yaacob mengumpul besi buruk yang dikutipnya di rumah orang serta tong sampah dan diangkut menggunakan motosikal roda tiga sebelum dikumpul di rumahnya di Kampung Serkong, Pengkalan Kubor. FOTO Siti Rohana Idris
MOHAMAD Yaacob mengumpul besi buruk yang dikutipnya di rumah orang serta tong sampah dan diangkut menggunakan motosikal roda tiga sebelum dikumpul di rumahnya di Kampung Serkong, Pengkalan Kubor. FOTO Siti Rohana Idris
Tumpat: Pasangan suami isteri dari Kampung Serkong, Pengkalan Kubor, di sini, sanggup keluar mencari besi buruk hingga ke malam demi menyara lima anak serta ibu mentuanya yang sakit.

Sudah tiga tahun Mohamad Yaacob Hamid, 39, melakukan pekerjaan hakiki itu dan ada kalanya dibantu isteri, Masitah Jusoh, 40, semata-mata untuk mencari sesuap nasi, selain menampung perbelanjaan ibu mentuanya yang menghidap angin ahmar.

Mohamad Yaacob berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah resort di Pulau Perhentian, Terengganu dan diberhentikan kerja ketika wabak Covid-19 melanda dan terus pulang serta menetap di kampung halaman.

"Apabila keadaan (wabak) sudah pulih, saya terus menetap di kampung kerana ibu mentua saya menghidap sakit saraf sebelum diserang angin ahmar sebulan lalu dan agak sukar untuk saya meninggalkan isteri serta anak.

"Disebabkan tiada kerja lain yang sesuai dengan kekangan situasi kami, saya memilih untuk mengutip besi di sekitar Tumpat dan secara puratanya memperoleh sekitar RM500 sahaja sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Mohamad Yaacob berkata, dengan menggunakan motosikal roda tiga, dia mencari besi di rumah kediaman pada waktu siang manakala malamnya pula menyelongkar tong sampah.

Isterinya, Masitah mengakui pendapatan suaminya tidak mencukupi untuk perbelanjaan mereka sekeluarga meskipun ibunya, Siti Mariam Derahman, 77, menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang digunakan sepenuhnya untuk membeli susu khas serta lampin pakai buang.

"Untuk perbelanjaan harian pula, memang tidak cukup tapi kami bertahan walau ada kalanya terpaksa menebalkan muka meminjam wang dari sanak-saudara dan kenalan demi kelangsungan hidup.

"Sebelum emak diserang angin ahmar, saya menjaja ikan dengan menunggang motosikal roda tiga milik kami tapi sejak sebulan lalu kerja itu terpaksa dihentikan kerana keadaan kesihatan emak semakin merosot," katanya.

Masitah berkata, kesempitan hidup yang mereka alami menyebabkan kediaman mereka hampir dipotong bekalan elektrik kerana tidak mampu membayar tunggakan yang mencecah ribuan ringgit sebelum mereka mencari ikhtiar membayarnya sedikit demi sedikit.

Menurutnya, persiapan buka sekolah untuk dua anaknya yang berusia sembilan dan 13 tahun masih belum dibuat dan mereka hanya reda jika terpaksa memakai seragam serta kelengkapan lama yang sudah lusuh.

"Yuran persekolahan anak kedua yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga masih belum dilangsaikan dan kami memang buntu memikirkan macam mana lagi cara untuk kami mencari wang," katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman, yang hadir menyampaikan wang zakat dan lampin pakai buang untuk kegunaan Siti Mariam.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Masitah di talian 01136695354.

Tiada ulasan: