"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di sebalik percubaan bunuh Trump

Zin Mahmud

Ketika peristiwa percubaan membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada pagi Sabtu lalu tentu timbul banyak tanda tanya, spekulasi dan teori konspirasi yang menarik tumpuan seluruh dunia. Pada hari itu, semua alat media massa menjadikannya berita utama, dan ulasan-ulasannya dibuat berulang kali kerana tiada maklumat baharu.

Media massa Amerika Syarikat adalah paling besar dan luas serta mempengaruhi seluruh dunia. Daripada rangkaian televisyen kepada akhbar mereka  kini ditambah-tambah lagi apabila ia dapat disebar melalui media sosial dengan pemahaman bahasa Inggeris semakin mendalam.

Tetapi lebih berpengaruh dan mendalam ialah industri perfileman mereka. Hollywood, sepanjang abad ke-20 telah menguasai minda dunia dan ia bertambah meluas pada abad ke-21 apabila Kesatuan Soviet tumbang. Filem Amerika juga menembusi China dan Vietnam susulan kemunculan pasaran terbuka di sana. Hanya Korea Utara masih menutup sempadan.

Setelah kira-kira satu abad budaya Hollywood, penonton sedunia sudah biasa dengan filem-filem berlatar politik Amerika. Kisah-kisah fiksyen mengenai presiden dan Rumah Putih sering ditayangkan. Begitu juga dengan kisah-kisah politik Amerika. Bukan itu saja, ia juga berkait dengan kisah ketenteraan dan perang Amerika. Sepanjang Perang Dingin, perisikan membabitkan FBI dan CIA menarik tontonan dunia. Filem-filem itu dibuat untuk rakyat Amerika tetapi ia ditonton oleh rakyat semua negara. Hollywood seolah-olah menganggap semua manusia di dunia adalah rakyat Amerika.

FBI atau Biro Siasatan Persekutuan menyiasat jenayah-jenayah dalam negara. Ada kalanya melibatkan usaha melawan gangster, pengedar dadah atau mafia. Tetapi tidak kurang juga bagi melawan pengganas dan terorisme, yang tentunya melibatkan politik berkaitan dengan musuh Amerika, kalau dahulu Soviet, kemudian Al-Qaeda dan kini kembali kepada Rusia.

CIA lagi terkenal. Agensi Siasatan Pusat adalah seperti FBI tetapi ia adalah untuk operasi di luar Amerika. Sememangnya FBI merupakan agensi kerajaan persekutuan yang boleh beroperasi ke semua negeri-negeri yang tertakluk dalam kedaulatan Amerika tetapi CIA bergerak di negara-negara asing. Maknanya CIA bergerak tanpa diketahui umum kerana ia beroperasi tidak menurut undang-undang negara yang ia berada. Ini menjadikannya lebih menarik. 

Filem Hollywood berhubung FBI, CIA serta Perkhidmatan Rahsia (Secret Services) yang menjaga keselamatan presiden dan bekas presiden  dikaitkan dengan politik Amerika sememangnya banyak. Ada antaranya berbentuk fiksyen sains. Gambaran dan imej mereka dalam filem tentulah tidak menepati realiti. Tetapi di seluruh dunia, penonton-penonton filem Hollywood sudah membentuk pemahaman mengenai dunia perisikan dan keselamatan Amerika. Daripada apa yang dipaparkan itu tentulah tersemai kepercayaan bahawa banyak perkara yang di luar kemungkinan boleh berlaku. Bukan itu saja. Di sebalik apa yang berlaku, ia boleh dispekulasi perkara-perkara lain termasuk teori konspirasi.

Teori konspirasi

Apa yang dimaksudkan dengan teori konspirasi adalah kemungkinan-kemungkinan lain daripada apa yang ada dalam laporan berita. Umpamanya kemungkinan ada konspirasi tersembunyi yang menyebabkan sesuatu itu berlaku untuk tujuan-tujuan tertentu tanpa diketahui umum.

Contohnya, apabila berlaku percubaan membunuh Trump, maka di satu segi, sebagai suatu peristiwa ia mengejutkan.Tetapi di suatu segi, ia tidak mengejutkan kerana inilah Amerika. Di negara itu seseorang bebas membeli, memiliki dan menggunakan senjata api walaupun setiap negeri mempunyai undang-undangnya sendiri. Sementara peristiwa menembak ke atas pelajar-pelajar sekolah berlaku dari masa ke masa. Walaupun peristiwa percubaan membunuh presiden hanya berlaku paling akhir pada tahun 1981, iaitu ke atas Ronald Reagan. Maka percubaan membunuh Trump tidaklah sesuatu yang mengejutkan.

FBI belum selesai siasatannya tetapi dunia tidak akan terkejut jika biro itu tidak menemui hasil yang memuaskan. Penembak itu, Michael Thomas Crooks setakat ini didapati tidak sakit mental. Apa yang tidak dikenal pasti ialah motif Crooks mahu menembak Trump. Dia adalah penyokong dan pengundi parti Republikan. Maka tidak ada sebab dia wajar menembak Trump. Walau apapun FBI dan kerajaan Amerika mengumumkan hasil siasatan, dunia tetap akan mendengar spekulasi dan teori konspirasi yang berpanjangan. 

Dalam hal ini, ada suatu keadaan yang mana dunia kini tidak mempercayai apa yang dilaporkan oleh sumber rasmi dan media massa. Ini kerana seperti apa yang dipaparkan oleh Hollywood menunjukkan bahawa apa yang berlaku di dunia mempunyai perkara-perkara di sebaliknya. Dari segi psikologi sememangnya minda manusia tertarik dengan perkara-perkara misteri atau apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir. Inilah juga apa yang menggerakkan industri hiburan termasuk Hollywood. Media popular ini bukan saja berbentuk filem tetapi disalurkan dalam bentuk novel. Ada yang asalnya novel dijadikan filem. Apa yang pasti ada novelis popular yang menulis fiksyen politik menjadi jutawan.

Tetapi bukan saja fiksyen. Spekulasi dan teori konspirasi ini juga ditulis dalam bentuk fakta. Walaupun ia menjadi bahan jurnalisme pseudo atau akademik pseudo, tetapi ia tetap dipaparkan sebagai fakta. Ini termasuklah spekulasi dan teori konspirasi. Dalam genre ini muncul buku-buku sains pseudo dan sejarah pseudo. Ia popular dan dijual laris tetapi sebenarnya tidak benar. Maka terhadap politik dan isu semasa, di situlah terletaknya spekulasi dan teori konspirasi. Kalau untuk filem, ia diterbitkan sebagai dokumentari. Ada pula dibuat seperti filem fiksyen tetapi berasaskan pada spekulasi.

Maka tidak menghairankan, dalam waktu terdekat sudah ada usaha untuk membuat filem mengenai percubaan membunuh Trump ini. Mungkin ia berbentuk filem Hollywood atau dokumentari. Penerbit filem pun memulakan kerjanya. Penulis-penulis skrin juga memulakan penulisannya. Sama ada Trump menang atau kalah pilihan raya presiden, filem ini tetap menarik. Lebih menarik ialah jika ia berbentuk spekulatif dan penuh dengan teori konspirasi.

Jika melihat peristiwa pembunuhan Presiden John F Kennedy, orang ramai seperti tidak berpuas hati dengan naratif rasmi. Beratus-ratus buku diterbitkan mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 1963 itu. Begitu juga dengan banyak filem, baik berbentuk cerita mahupun dokumentari. Malah ada juga yang mempersoalkan naratif rasmi seperti filem JFK.

Makin banyak modal, makin tinggi kebebasan

Amerika mempunyai sistem yang bebas dari segi media massa dan media popular seperti filem. Tetapi tentulah dalam sistem yang berasaskan modal itu memberikan ruang dan peluang besar bagi mereka yang mempunyai modal. Maknanya kebebasan itu terletak di atas modal. Siapa ada banyak modal, maka tinggilah kebebasannya. 

Maka umumnya rakyat Amerika percaya sistem mereka adalah terbaik, terutamanya golongan yang memperoleh manfaat daripada sistem ini, iaitu yang mempunyai modal. Bagi  yang tidak memiliki modal, mereka perlu menggunakan “modal” mereka sedia ada seperti kepandaian dan kemahiran untuk berkembang.

Secara semula jadi, media massa dan media hiburan akan mempertahankan sistem ini. Maka tidak menghairankan bahawa industri perfileman muncul seperti “alat propaganda” Amerika. Ia merupakan senjata dalam medan perang kebudayaan. Sebelum ini, senjata budaya telah memberikan kejayaan kepada Amerika mengalahkan Soviet Union. Melalui industri hiburan Amerika. warga Soviet teruja dengan sistem Amerika dan akhirnya menjatuhkan sistem negara mereka.

Pastinya ada kesedaran tentang kekuatan senjata kebudayaan ini. Kini senjata ini digunakan ke atas Iran, China dan Rusia.

Maka selain rancangan sebenar untuk menggunakan “alat propaganda” ini, terdapat komitmen pengkarya Hollywood sendiri untuk berkhidmat bagi berasa mereka. Mungkin ia datang dari semangat patriotik secara sedar ataupun tidak. Tetapi hasil dalam bentuk kewangan yang boleh menambah modal masing-masing sudah cukup untuk menggerakkannya.

Kempen pilihan raya presiden yang berlangsung sekarang boleh menunjukkan bahawa sistem demokrasi di Amerika sedang berjalan. Tetapi apa yang mereka tidak boleh sembunyikan ialah peristiwa percubaan membunuh Trump menjejaskan Amerika sebagai negara bertamadun.

Peristiwa itu juga pula menaikkan imej Trump kerana ia menunjukkan kekuatan dan semangat untuk kembali menjadi presiden. Namun tidak ada sesiapa boleh menyembunyikan hakikat bahasa kedua-dua Trump dan Joe Biden adalah calon-calon yang tidak bermutu. Pada dunia, Amerika sebagai sebuah negara bebas dan maju tetapi gagal menyediakan calon presiden yang segar dan meyakinkan.

Tiada ulasan: