"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zin Mahmud: Melihat pilihan raya Perancis, Britain dan Iran Zin Mahmud

Zin Mahmud

Sepanjang minggu lalu, Perancis, Britain dan Iran mengadakan pilihan raya. Selasa lalu diumumkan bahawa blok kiri Perancis berjaya meraup kerusi terbanyak. Walaupun tidak mencapai majoriti tetapi ia berjaya menghalang blok kanan daripada berkuasa.

Terdahulu, pada hari Khamis, pilihan raya umum di Britain menyaksikan kemenangan besar Parti Buruh mengalahkan Parti Konservatif yang membawa kepada pelantikan Perdana Menteri Keir Starmer.

Pada Ahad lalu, pilihan raya presiden Iran pula memberi kemenangan kepada Dr Massoud Pezeshkian yang mengalahkan calon konservatif, Saeed Jalili.

Keputusan pilihan raya legislatif Perancis itu menyebabkan “parlimen tergantung” kerana tidak ada pihak yang memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan. Semua pihak perlu berunding sesama sendiri untuk membentuk kerajaan.

Tetapi apa yang jelas gabungan Ensemble (Together) yang mendukung Macron tidak akan memerintah secara bersendirian. Macron terpaksa berhadapan dengan perdana menteri yang bukan dari partinya.

Namun begitu, pilihan raya ini mendatangkan rasa puas hati blok kiri dan Macron kerana mereka dapat menghalang kemaraan pihak kanan, National Rally yang dibimbangi oleh banyak pihak di dunia Barat kerana bernada neofasisme dan antiimigran.

Keadaan di Britain pula jelas. Keputusan pilihan raya membolehkan Parti Buruh membentuk kerajaan tanpa penyertaan pihak lain. Pada Sabtu lalu, kabinet pun ditubuhkan dan urusan pemerintahan telah bermula. Antara urusan pertama ialah memansuhkan dasar menghantar pulang imigran dari Rwanda yang dibuat oleh kerajaan Parti Konservatif sebelum ini.

Walaupun sebagai seorang Yahudi, pelantikan Starmer tidak menjadi isu tetapi pendiriannya yang pro-Israel merupakan suatu masalah untuk diterima oleh sebahagian rakyat Britain terutama yang giat berkempen menentang genosid di Gaza.

Dalan pada itu, bekas calon perdana menteri dari Parti Buruh dalam pilihan raya 2019, Jeremy Corbyn yang kali ini bertanding sebagai calon bebas menang di kawasannya. Beliau terkenal sebagai pro-Palestin. Malah kekalahanan Parti Buruh senelum ini dikaitkan dengan kempen Parti Konservatif untuk memburukkan Corbyn sebagai anti-semit.

Pilihan raya presiden di Iran pula tidak dianggap “demokratik” oleh kalangan di Barat. Iran disifatkan sebagai berbentuk dwipemerintahan, iaitu pemerintahan ulama yang dipegang oleh Ayatullah Khamenei. Ketua pemerintahan awam pula barulah disandang oleh presiden.

Keputusan-keputusan penting dasar luar dan pertahanan dipegang oleh Pemimpin Teringgi, Ayatullah Khamenei. Pelantikan pemimpin tertinggi dilakukan oleh majlis ulama. Dalam sejarah Republik Islam Iran yang ditubuhkan pada tahun 1979, terdapat hanya ada dua pemimpin tertinggi iaitu Ayatullah Khomeini yang memimpin revolusi dan Ayatullah Ali Khamenei. Khamenei sendiri pernah menyandang jawatan presiden di bawah Khomeini.

Calon yang hendak bertanding untuk pilihan raya presiden mesti dapat kelulusan majlis ulama. Walaupun majlis itu boleh menyokong mana-mana calon presiden tetapi sehingga ini tiada halangan bagi calon-calon lain untuk bertanding. Dari sinilah timbul istilah “sederhana atau reformis” lawan “konservatif atau garis keras (hardline)”. Konservatif di Iran merujuk pada mereka yang lebih hampir pendiriannya dengan para ulama arus perdana negara itu.

Dari suatu sudut pandangan, semua negara mempunyai dwipemerintahan atau lebih. Perancis menganggotai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Anggota EU mempunyai parlimen dan kerajaan di Brussels, Belgium. Sebahagian daripada dasar-dasar negara anggota EU turut diputuskan di situ.

Pilihan raya legislatif yang diadakan secara mengejut oleh Macron ini adalah kerana didapati sokongan parti-parti kanan telah meningkat dengan besar pada pilihan raya untuk Parlimen Eropah. Malah, untuk perwakilan bagi Perancis, National Rally telah mengatasi parti-parti yang menyokong Macron.

Terdapat beberapa perundangan yang diletakkan di bawah Parlimen Eropah dan sudah tidak berada di bawah kekuasaan negara anggota. Tetapi dalam soal pertahanan, dasar negaranya terkait dengan Amerika Syarikat. Dalam hal ini, pilihan raya presiden Amerika akan memberi kesan kepada Perancis.

Britain juga antara salah satu daripada 32 negara Nato. Bersama Perancis, ia adalah negara pengasas Nato ketika ditubuhkan pada 1949 ekoran dunia menghadapi Perang Dingin. Tujuan ketara Nato ialah untuk berdepan dengan Soviet Union. Kini Soviet Union sudah tiada. Rusia pula muncul sebagai sasarannya.

Pada suatu masa dahulu, Britain juga adalah negara anggota EU. Sentimen rakyat menolak pihak luar akhirnya membawa Britain meninggalkan EU. Akibatnya, EU didominasi oleh Perancis dan Jerman. Ketika Britain ada, terdapat imbangan tiga pasak kuasa: Britain-Perancis-Jerman.

Tidak seperti terhadap Iran yang disifatkan sebagai mengamalkan dwipemerintahan dengan ulama yang mendominasi, tiada siapa yang boleh mempertikaikan demokrasi Britain. Lebih-lebih lagi parlimen mereka dianggap sebagai “Bonda Parlimen Dunia” (Mother of parliaments). Namun begitu, Britain masih mempunyai House of Lords yang ahlinya tidak dipilih oleh rakyat tetapi mempunyai kuasa menolak rang undang-undang yang diajukan oleh House of Commons. House of Lords mempertahankan jati diri negara Britain yang sekaligus menjaga kelas atasan.

Begitu juga di Iran. Apa yang disebut sebagai dwipemerintahan adalah suatu sistem yang memberi ruang dan struktur bagi mempertahankan jati diri negara. Republik Islam Iran lahir daripada Revolusi Islam. Setelah berjaya menjatuhkan Shah Iran, Reza Pahlavi dan sistem monarki, para revolusioner menubuhkan sebuah negara berjati diri baru berasaskan nilai-nilai Revolusi Islam. Maka lahirlah Republik Islam Iran yang perlembagaannya menetapkan kekuasaan dominan para ulama.

Satu nilai utama revolusi itu ialah antiimperialisme yang merujuk kepada melawan Amerika. Ini kerana pada zaman Shah, Iran adalah sekutu Amerika. Bukan itu saja, Iran juga mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Sistem monarki di Iran adalah autokrasi, tiada parti politik dan pilihan raya. Hubungan Amerika-Iran itu bukan sekadar sekutu tetapi seperti imperialis dengan negara klien (client state).

Pada tahun 1955, Amerika menubuhkan Pertubuhan Perjanjian Timur Tengah (Meto) yang turut dikenali sebagai Pakatan Baghdad (Baghdad Pact). Ia umpama Nato bagi negara-negara Asia Barat. Anggotanya ialah Amerika, Britain, Iran, Iraq, Turki dan Pakistan.

Setelah berlaku Revolusi 14 Julai dan Raja Faisal II digulingkan pada tahun 1959, Iraq keluar daripada pertubuhan itu dan Meto bertukar menjadi Cento, iatu Pertubuhan Perjanjian Pusat. Apabila berlaku Revolusi Islam Iran pada tahun 1979, pertubuhan itu dibubarkan.

Selepas Amerika dan disertai Britain menakluk Iraq serta menggulingkan kerajaan Saddam Hussein pada tahun 2003 hingga 2011, negara itu kembali sebagai sahabat Amerika seperti mana sebelum Revolusi 14 Julai 1955.

Perlu juga disebut bahawa untuk Asia Tenggara, Amerika menubuhkan Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (Seato) pada tahun 1954 yang dianggotai oleh Amerika, Britain, Perancis, Australia, New Zealand, Pakistan, Filipina dan Thailand. Ia dibubarkan pada tahun 1977.

Amerika dan sekutu-sekutunya seperti Britain dan Perancis kini melihat Iran sebagai ancaman kepada kepentingan mereka. Sebab itu mereka memerhati segala perkembangan politik Iran dari sudut itu. Dari segi perang maklumat, mereka mengkritik sistem politik Iran sebagai tidak “demokratik “ Mereka juga mengharapkan ada calon presiden yang mungkin bersikap “sederhana” atau “reformis,” dan mengubah dasar-dasar luar republic itu. Tetapi mereka juga sedar bahawa sama ada “sederhana” atau “konservatif”, Iran akan tetap menyokong Palestin.

Amerika, Britain dan Perancis adalah negara Barat yang sentiasa tegas menyokong Israel. Tidak kiralah sama ada Parti Demokratik atau Parti Republikan di Amerika, dan Parti Buruh atau Parti Konservatif di Britain. Lobi Zionis kelihatannya mendominasi Barat.

Begitu juga dengan Perancis, sama ada New Popular Front, Essemble (Together) atau National Rally, mereka akan sentiasa menyebelahi Israel.

New Popular Front adalah blok kiri. Perkataan “popular” merujuk pada istilah Latin “populi” bermaksud “people” atau rakyat.

Semenangnya isu utama di Perancis dan EU adalah kehadiran begitu banyak imigran yang bilangannya terus meningkat. Parti-parti kanan mahukan bukan saja imigran ini dihalang tetapi dihantar ke negara asal.

Sikap ini bernada rasisme, neofasisme yang turut meliputi xenofobia (takut pada orang asing) dan Islamofobia (takut pada orang Islam). Dalam semangat ini, mereka tidak akan menyebelahi Palestin.

Maka umumnya pihak yang boleh menyokong Palestin adalah dari kalangan kiri.

Sifat fahaman kiri adalah menentang imperialisme dan penjajahan. Israel adalah penjajah dan mereka tidak dapat menyokong imperialisme. Israel dianggap projek imperialisme Amerika.

Maka di Britain walaupun Keir Starmer tegas menyokong Israel, penyokong-penyokong Jeremy Corbyn masih ramai dan berpengaruh. Tentunya ada banyak penyokong Parti Buruh yang juga pro-Palestin.

Begitu juga di kalangan blok kiri Perancis. New Popular Front dianggotai antaranya La France Insoumise, Parti Sosialis, Parti Ekologi, Parti Komunis Perancis, Generation.s dan Place Publique serta sekutu-sekutunya, baik di kalangan parti politik mahu pun pertubuhan masyarakat. Mereka umumnya lebih pro-Palestin walaupun banyak orang Yahudi cenderung pada ideologi kiri.

Tiada ulasan: