"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MCA bakal tinggalkan BN?

B Nantha Kumar

Beberapa pihak memberi bayangan, akan tiba masanya untuk salah sebuah parti komponen BN meninggalkan gabungan itu di sebalik sejarah panjang yang terbina antara mereka.

Menurut sumber ahli "akar umbi" MCA kini tidak lagi gembira dengan kedudukan parti terbabit dalam BN selepas menyertai gabungan tersebut sejak 72 tahun lalu.

Bahkan, langkah tersebut diperkirakan wajar dibuat sebelum terlambat.

"Akar umbi sedang memberi tekanan dari dalam agar pucuk pimpinan MCA membuat keputusan keluar dari BN.

"Mereka menganggap BN yang kini diketuai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, tidak lagi relevan kepada MCA kerana diketepikan dalam kerajaan.

"Bagaimanapun pucuk pimpinan MCA masih belum membuat sebarang keputusan," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi Presiden MCA Wee Ka Siong sejak minggu lalu untuk mendapatkan pandangannya, namun setakat ini belum menerima sebarang maklum balas.

Tambah sumber terbabit, tekanan kepada pucuk pimpinan MCA untuk membuat keputusan drastik bertambah kuat setelah Ahmad Zahid membuat kenyataan yang menyatakan BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU ke-16.

Sumber MCA itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu tidak disambut baik dalam kalangan pemimpin dan ahli parti berkenaan.

Katabnya sebab utama ahli akar umbi MCA tidak setuju kerjasama BN dan PH diteruskan ialah kerana tidak wujud keserasian dalam beberapa isu termasuk pengagihan kerusi.

"Bagi Umno, mereka ada 26 kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-15 dan masih boleh dapat pembahagian yang besar daripada 73 kerusi parlimen dimenangi PN.

"Tetapi kami hanya menang dua kerusi parlimen (pada 2022) dan kemungkinan perlu bertikam lidah dengan PKR dan DAP untuk mendapatkan kerusi lain daripada kedua-dua parti berkenaan sebagai tempat bertanding pada masa depan," katanya.

Sokong hingga penggal berakhir

Untuk rekod melalui PRU ke-15 yang berlangsung pada Nov 2022, MCA terus mencatatkan keputusan yang buruk apabila hanya memenangi dua kerusi parlimen iaitu Air Hitam dan Tanjung Piai.

Wee merupakan ahli parlimen Air Hitam, manakala Tanjung Piai diwakili Wee Jeck Seng.

Apabila pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada tahun lalu, MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding selepas gagal menyelesaikan isu pengagihan kerusi bersama PH.

Sumber juga memberitahu Malaysiakini beberapa keputusan kerajaan mengetepikan MCA daripada pemberian jawatan penting dalam kerajaan turut memberi kesan kepada sikap ahli parti.

"Kami seolah-olah menjadi anak tiri dalam kerajaan hari ini.

"Namun yang lebih penting, dalam keadaan sekarang kebanyakan ahli MCA yakin jenama BN tidak boleh lagi 'dijual' kepada pengundi," katanya.

Ketika ditanya apakah rancangan lanjut jika MCA benar-benar keluar dari BN, sumber itu berkata, ia masih tidak dapat disahkan namun yakin sikap parti itu ialah tetap menyokong kerajaan perpaduan sehingga parlimen dibubarkan semula untuk PRU ke-16.

"Sokongan kepada kerajaan ialah janji MCA kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. Maka, kalau kami meninggalkan BN, kami akan tetap sokong kerajaan," katanya.

Pun begitu sumber itu memberi bayangan sikap mereka apabila menghadapi PRU akan datang akan berbeza.

"Mungkin pada ketika itu MCA akan bekerjasama dengan PN tanpa perlu menjadi sebahagian atau parti komponen mereka," katanya.

Sementara itu, satu lagi parti komponen BN, MIC, juga dilihat mempunyai kemungkinan untuk mengambil langkah yang sama seperti MCA.

Sumber MIC memberitahu situasi parti mereka dalam BN adalah lebih kurang sama saja dengan MCA iaitu isu pengagihan kerusi serta dianaktirikan dalam kerajaan.

Katanya, kedudukan dalam Dewan Negara - yang didakwa dijanjikan sebelum ini - juga masih belum ditunaikan.

"Saya tidak akan terkejut sekiranya MIC mengambil langkah yang sama seperti MCA iaitu meninggalkan," katanya.

Presiden MIC SA Vigneswaran yang dihubungi Malaysiakini bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Tiada ulasan: