"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pengawal keselamatan bunuh anak rakan terlepas tali gantung

Malaysiakini 

Seorang bekas pengawal keselamatan hari ini terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan penjara 40 tahun bagi kesalahan membunuh anak perempuan rakannya pada 13 tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan D Kalaiselvan, 59.

Tengku Maimun - yang bersidang di Johor Bahru bersama hakim Mahkamah Persekutuan Nordin Hassan, dan hakim Mahkamah Rayuan Hanipah Farikullah, memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh Kalaiselvan ditangkap iaitu pada 3 Julai 2011.

Dia didapati bersalah membunuh Nur Rahayu Qomarudin, 16, di Ladang Kelapa Sawit Sungai Masai dekat Johor Bahru antara jam 2.30 pagi dan 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Tetralina Ahmed Fauzi memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati Kalaiselvan kerana mangsa - yang ketika kejadian masih kanak-kanak - dibunuh dengan kejam iaitu dipukul, ditikam di leher selain dibakar.

Peguam Kharen Jit Kaur yang mewakili tertuduh pula memohon agar permohonan semakan dibenarkan.

Kalaiselvan dijatuhi hukuman mati pada 26 Dis 2012 dan rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 18 Mac 2014.

Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya pada 25 Ogos 2015 pula turut mengekalkan hukuman mati ke atas tertuduh.

Bunuh kekasih hamil

Panel sama hari ini turut mengetepikan hukuman mati Habin Noor Sulaiman, 56, yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, pada 2010.

Mangsa maut selepas ditikam sebanyak 19 kali selain kepalanya disimbah cuka getah oleh Habin Noor.

Mangsa meninggal dunia 21 hari kemudian semasa dirawat di hospital.

Hukuman mati tertuduh diganti dengan penjara 38 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Dis 2010.

Tetralina memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati Habin Noor kerana ketika kejadian, mangsa mengandung dan menjadikan tertuduh meragut dua nyawa.

Peguam Muhammad Abd Kadir pula berkata tertuduh telah mengakui perbuatannya dan menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram selepas kejadian berkenaan dilaporkan oleh ahli keluarga mangsa.

Pada 3 Jan 2011, Habin Noor dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh mahkamah sesyen selepas mengaku cuba membunuh Nur Ain Ashikin dengan sebilah pisau, dan hukuman penjara 17 tahun kerana menyimbah cuka getah sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Jalan Cemara 2, Kampung Baru Sungai Redan, Kota Tinggi pada jam 9.15 pagi 16 Dis 2010.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan meminda pertuduhan terhadap Habin Noir kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dijatuhi hukuman mati dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 22 Mac 2016.

Sementara itu, bekas anggota polis berpangkat korporal, Muhammad Faizal Salim, 47, turut terlepas tali gantung selepas hukuman mati terhadapnya diganti dengan penjara 40 tahun dengan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh kekasihnya, Norzielawati Akmar Afandi, 35, yang sedang mengandung.

Panel itu memerintahkan Muhammad Faizal menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu 13 April 2015.

Dia dituduh membunuh mangsa di taman rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik, Mersing antara jam 11 malam dan 12.30 tengah malam pada 12 April 2015.

Tetralina memohon agar hukuman mati dikekalkan kerana laporan bedah siasat mendapati punca kematian Norzielawati ialah hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala mangsa.

Wanita terbabit juga mengalami 47 kecederaan lain di badan seperti kesan lebam, luka serta kelupasan.

“Bayi dalam kandungan juga sudah berusia enam bulan, jadi pemohon telah membunuh dua nyawa dan saksi juga turut mendengar mangsa telah merayu agar tidak dipukul namun tidak diendahkan pemohon,” katanya.

Peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili Muhammad Faizal berkata, anak guamnya ada berniat untuk menghantar mangsa mendapatkan rawatan.

Pada 21 Mei 2018, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap Muhammad Faizal dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

- Bernama

Tiada ulasan: