"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wang simpanan KWSP lesap dilarikan teman wanita, duda mengalami tekanan perasaan

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang duda bukan sahaja terpaksa berputih mata malah mengalami tekanan perasaan yang serius apabila wang simpanan untuk persaraan, lebur akibat ditipu teman wanitanya.

Setelah sekian lama menduda, lelaki itu dikatakan berkenalan dengan seorang wanita sehinggalah mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, bukan sahaja pelamin impian yang dirancang tidak kesampaian, malah wanita itu turut membawa lari wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) lelaki itu yang dicarum selama puluhan tahun.

Kisah malang dialami lelaki itu didedahkan oleh seorang pengamal perubatan Islam, Hasnan Rili menerusi satu hantaran di Facebook, baru-baru ini.

Menurut Hasnan, lelaki itu mengalami tekanan perasaan selepas wang simpanan KWSP miliknya lesap dalam masa satu hari selepas termakan pujukan teman wanitanya untuk memindahkan wang itu ke akaun simpanannya.

"Tekanan perasaan duit KWSP kena 'kapur'. Kerja berpuluh tahun, dalam masa sehari duit simpanan KWSP habis lesap angkara teman wanita.

"Duit sebanyak-banyak itu teman wanita suruh masukkan dalam akaun kononnya dia nak jaga simpanan lepas kahwin nanti," katanya.

Menurut Hasnan, sebaik wang itu dipindahkan ke akaunnya, wanita itu turut 'lesap' dan gagal dikesan sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun tidak didedahkan berapakah jumlah kerugian yang dialami oleh lelaki itu.
Lelaki itu turut dikatakan mengalami tekanan yang teruk hingga terpaksa berjumpa pakar psikiatri setiap bulan selain bergantung kepada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupan.
Selain itu, duda berkenaan kini berikhtiar dengan kaedah perubatan Islam.

"Sekarang tekanan perasaan, setiap bulan jumpa psikiatri. Makan ubat penenang memikirkan nasib selepas pencen dengan duit habuk satu sen tak ada.

"Hati-hati semua, sekarang banyak kes 'love scam'. Jangan lepas licin (wang simpanan), baru nak menyesal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menasihatkan mana-mana individu yang terjebak dalam situasi sebegini untuk segera tampil membuat laporan polis.

"Mangsa perlu buat laporan polis bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kerana dalam kes sebegini, ada elemen pemerdayaan.

"Sepatutnya lebih ramai lelaki yang terpedaya sedemikian juga turut melaporkan kepada pihak polis untuk tujuan pembanterasan serta pencegahan," katanya kepada BH, hari ini.

Rekod JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 792 kes love scam dicatatkan pada 2022 dengan nilai kerugian RM56.2 juta.

Pada 2023, jumlah kes meningkat kepada 935 kes dengan nilai kerugian RM43.9 juta manakala bagi tahun ini sehingga Jun lalu, sejumlah 349 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM12.8 juta.

Tiada ulasan: