"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Diarah berhenti, pembonceng maut dirempuh Proton Wira

MASTURAH SURADI
SEORANG remaja maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta ketika kerja-kerja membaiki jalan sedang dilakukan di Kilometer 50 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi awal pagi tadi.
KOTA TINGGI – Seorang pembonceng motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta ketika kerja-kerja membaiki jalan sedang dilakukan di Kilometer 50 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan insiden itu pada pukul 4.15 pagi yang meragut nyawa mangsa seorang remaja berusia 17 tahun.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal jenis K-Light 202 serta Yamaha Y15ZR yang semuanya datang dari arah yang sama.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa bersama rakannya yang kedua-duanya berusia 17 tahun menunggang dan membonceng K-LIGHT 202 tiba di lokasi kejadian sebelum diarahkan berhenti oleh seorang pekerja warga Bangladesh, 37, yang bekerja di situ.

“Mereka diarahkan berhenti bagi membolehkan kenderaan dari laluan bertentangan meneruskan perjalanan terlebih dahulu.

“Semasa dua remaja berkenaan menanti giliran untuk laluan mereka dibuka, datang Proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun dari arah belakang dan melanggar motosikal mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat pelanggaran itu, remaja berkenaan yang membonceng K-Light 202 cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala semua mangsa lain yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: