"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesuruhjaya PAS Perlis bantah Kenyataan Ketua Dewan Ulama

Faiz Zainudin

Ahmad Ali berkata, Ahmad Adnan Fadzil keluar pandangan tentang kemelut politik Perlis tanpa rujuk pucuk pimpinan.
Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali nasihati semua ahli dan pemimpin PAS Perlis supaya bertenang dan fokus jalan tugas diamanahkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali berkata, kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS negeri Ahmad Adnan Fadzil, bahawa kemelut politik di negeri itu berpunca daripada kegagalan laksana tanggungjawab dengan baik, hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili parti.

Ahmad berkata, Adnan mengeluarkan pandangan sedemikian tanpa merujuk pucuk pimpinan, walaupun sebelum ini ahli PAS telah dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan individu bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Sebenarnya, kenyataan yang dibuat oleh ketua Dewan Ulama PAS Perlis itu nampaknya adalah pandangan peribadinya sendiri, bukan mewakili parti atau pimpinan PAS Perlis,” katanya kepada FMT.

“Sebelum ini saya telah keluarkan nasihat kepada ahli PAS, terutama pimpinan di Perlis (agar) tidak buat kenyataan mengikut pandangan sendiri, perlu rujuk dahulu kepada saya, pucuk pimpinan negeri atau PAS pusat.”

Sehubungan itu, Ahmad sekali lagi menasihati semua ahli dan pemimpin PAS Perlis supaya bertenang dan fokus menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Semua perlu patuh kepada arahan parti, mudah-mudahan kita dapat capai keputusan harmoni untuk parti, hentikan tuduh menuduh yang tidak menguntungkan parti.

“Saya juga yakin kesatuan PAS Perlis bersama pimpinan PN negeri akan kembali kuat selepas ini,” katanya sambil memaklumkan, pihaknya juga menunggu arahan pimpinan pusat mengenai langkah selanjutnya.

Terdahulu, lima Adun Bersatu dan tiga daripada PAS dilaporkan menarik sokongan terhadap menteri besar Perlis ketika itu, Shukri Ramli daripada PAS.

Susulan itu, tiga Adun PAS itu dihentikan keahlian oleh parti, seterusnya hilang jawatan wakil rakyat.

Shukri kemudian meletak jawatan menteri besar pada 25 Dis atas faktor kesihatan dan beliau digantikan oleh Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu, yang mengangkat sumpah Ahad lepas.

Awal hari ini, Adnan mendakwa kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan baik menjadi punca utama kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih kepada Bersatu.

Adnan berkata, beliau dimaklumkan bahawa ‘pada saat-saat terakhir’, Raja Perlis masih membuka peluang untuk PAS mencalonkan menteri besar, namun ‘pihak yang sepatutnya berperanan melaksanakan tanggungjawab dengan baik’ gagal berunding secara berkesan bagi pihak parti.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa melibatkan kepimpinan PAS Perlis, dan Bersatu tidak boleh disalahkan secara keseluruhan.

Guru mengaku amang seksual terhadap dua murid

Malaysiakini 

Seorang guru hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid lelaki.

Kumpul, 40, yang merupakan warga Indonesia, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah rendah agama di Wangsa Maju di sini antara April 2024 dan November 2025 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan minimum dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Pervinah Mohamad Yusof tidak menawarkan jaminan kerana semakan Imigresen mendapati maklumat pasport tidak sama dengan tertuduh, dan terdapat risiko untuknya melarikan diri selain memohon tarikh lain untuk memaklumkan fakta kes serta hukuman.

Hakim Noridah Adam tidak membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin dan menetapkan 5 dan 21 Jan depan untuk fakta kes serta hukuman.

- Bernama

Isteri maut, rumah dirempuh kereta suami

KOSMO
Mayat mangsa ditemukan rentung di dalam tab mandi selepas suaminya merempuh dan membakar rumah mereka. - New York Post
SAN DIEGO, CALIFORNIA – Seorang wanita di negeri California ditemukan maut selepas suaminya merempuh rumah mereka menggunakan trak pikap sehingga mencetuskan kebakaran, lapor akhbar New York Post. 

Kejadian berlaku di kejiranan Bay Park, bandar San Diego kelmarin. 

Mangsa bernama Monica Coates, 61, menghubungi talian kecemasan sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) untuk melaporkan suaminya yang merempuh rumah mereka dengan kenderaan jenis Toyota Tacoma. 

“Suspek yang dikenali sebagai Stephen, 62, membakar rumah tersebut selepas merempuhnya. 

Dia dikenakan perintah sekatan sementara beberapa minggu lalu susulan tingkah lakunya,” kata polis. 

Mayat Monica ditemukan rentung di dalam tab mandi selepas pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran, manakala suspek ditemui di bilik mandi dengan kesan lecur. 

Suspek segera dibawa ke pusat perubatan University of California San Diego. 

“Dia akan disoal siasat selepas pulih. Pasukan perubatan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kematian isterinya,” kata polis. – AGENSI

Banjir belum pulih terkini Aceh digegarkan dengan gempa bumi

BuleTinTV3 
Aceh dilanda 11 gempa bumi dengan kekuatan sehingga 4.4 magnitud
BANDA ACEH: Aceh digegarkan sebanyak 11 kali gempa bumi sejak awal pagi hingga 11.10 WIB hari ini, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Stesen Geofisika Aceh Besar.

Kepala BMKG, Andi Azhar Rusdin, berkata gempa pertama berlaku pukul 00.13 WIB di Pidie Jaya dengan magnitud 2.2 dan kedalaman 5 km. Beberapa lokasi lain turut digegarkan, termasuk Gayo Lues, Bener Meriah, Subulussalam, dan Aceh Jaya dengan magnitud antara 1.2 hingga 4.4, lapor media Antara.

Andi menjelaskan gempa yang berlaku disebabkan aktiviti sesar di darat dan laut Aceh. BMKG terus memantau aktiviti kegempaan di wilayah ini.

Beliau menambah gempa tektonik yang berlaku sejak malam tadi turut meningkatkan aktiviti gunung berapi Bur Ni Telong di Bener Meriah, yang kini berada pada Tahap III (Siaga).

Gelombang letak jawatan berterusan, terbaru pemimpin PN Negeri Sembilan

Malaysiakini 

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan Nazree Yunus mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa esok sebagai tanda solidariti terhadap kepimpinan tertinggi gabungan itu.

Nazree berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan tindakan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Hanifah Abu Baker yang mengumumkan peletakan jawatannya semalam, selain menyokong pendirian Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

"Dengan lafaz bismillah, saya meletakkan jawatan dan taklifan sebagai ketua penerangan Perikatan Nasional Negeri Sembilan berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.

Pemimpin Bersatu lain yang meletakkan jawatan sebelum ini termasuk Azmin Ali (Setiausaha Agung) dan orang kuatnya Afif Bahardin (Setiausaha PN Selangor).

Beberapa pengerusi PN negeri juga dilapor berbuat demikian iaitu, Ahmad Faizal Azumu (Perak), Sahruddin Jamal (Johor) dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak).

Langkah itu dibuat susulan ketegangan dalam PN setelah pemimpin Bersatu Perlis menggulingkan menteri besar Perlis daripada PAS Mohd Shukri Ramli.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Nazree menegaskan bahawa pengundurannya daripada jawatan tersebut tidak akan menghentikan khidmat baktinya kepada masyarakat. 

“Politik partisan adalah platform ibadah semata-mata dan ruang melakukan kebaikan. 

“Maka khidmat bakti untuk ummah dan masyarakat boleh dilaksanakan dalam apa jua bentuk dan lapangan termasuk sama ada dengan berjawatan atau pun tidak,” kata bekas aktivis pelajar dan antirasuah itu.

Bekas pegawai Muhyiddin: PAS jangan terlalu yakin berdiri sendiri

Malaysiakini 

Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, memberi amaran agar PAS tidak terlalu yakin mampu berdiri sendiri tanpa dukungan rakan gabungan, dengan mengingatkan parti itu pernah melalui kitaran naik dan jatuh yang sama dalam sejarah politiknya.

Merujuk Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, Marzuki berkata PAS mencatat kemenangan terbesar ketika itu apabila melonjak daripada tujuh kerusi Parlimen kepada 27 kerusi, mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dan hampir menawan Kedah.

Menurutnya, lonjakan tersebut didorong oleh “pemberontakan Melayu atau Malay revolt” terhadap Barisan Nasional (BN) susulan pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim, yang menyebabkan sokongan orang ramai kepada BN di negeri-negeri majoriti penduduk Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu merosot dengan ketara.

“Orang-orang Melayu pada ketika itu yang bersimpati terhadap nasib Anwar Ibrahim… telah menolak BN.

“Keadaan ini memberikan lonjakan sokongan Melayu kepada PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Marzuki turut menegaskan bahawa penyertaan PAS dalam Barisan Alternatif (BA) bersama Parti Keadilan Nasional (kini PKR) dan DAP telah membuka ruang sokongan baharu kepada PAS di negeri-negeri pantai barat seperti Perak dan Selangor, kawasan yang sebelum itu sukar ditembusi parti berkenaan.

Menurutnya, kerjasama tersebut menyebabkan PAS tidak lagi dilihat sebagai “parti kampung”, sebaliknya mula menampilkan imej lebih progresif dan bersedia diterima masyarakat pelbagai kaum, sekali gus mewujudkan keyakinan bahawa parti itu mampu menjadi kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, keterujaan itu tidak bertahan lama.

Marzuki berkata pengumuman Dokumen Negara Islam oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pada 2001 telah mendorong DAP keluar daripada BA, menyebabkan gabungan itu runtuh.

Akibatnya, PAS tewas di Terengganu dalam PRU 2004, hampir kehilangan Kelantan dan jumlah kerusi Parlimennya merosot kembali kepada tujuh.

“Haji Hadi menjadi menteri besar sepenggal di Terengganu. Ini fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Mengulas situasi semasa, Marzuki melihat PAS sedang mengikuti “trajectory” yang sama selepas mencatat kemenangan terbesar dalam PRU15 hasil penyertaan dalam Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Namun, katanya, hanya kerana Muhyiddin menjunjung titah Raja Perlis dalam isu pelantikan menteri besar, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mendesak beliau berundur sebagai Pengerusi PN.

Menurut Marzuki, PAS seolah-olah merasakan sumbangan parti lain tidak lagi signifikan dan parti itu mampu berdiri sendiri, dengan kes Perlis diletakkan sepenuhnya di bahu Muhyiddin dan Bersatu.

“Tan Sri Muhyiddin orang lama dalam politik… Jika jawatan Perdana Menteri beliau boleh lepaskan, apalah sangat jawatan Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya.

Dia turut mempersoalkan tindakan PAS yang pantas menuntut jawatan pengerusi PN, sedangkan sebelum itu Abdul Hadi sendiri mengeluarkan pandangan bahawa jawatan tidak wajar diberikan kepada mereka yang menuntutnya.

“Yang peliknya, PAS dengan sepantas kilat menuntut jawatan pengerusi Perikatan Nasional.

Adakah fatwa Haji Hadi tidak terpakai kepada PAS?

“Apakah jalan ke hadapan bagi PN?” soalnya.

Marzuki seterusnya menggariskan tiga prasyarat yang perlu dipenuhi PN untuk memenangi PRU16, termasuk meningkatkan sokongan Melayu sehingga 80 hingga 85 peratus, menarik sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus sokongan bukan Melayu, serta memperoleh dukungan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, dia berkata ketiga-tiga prasyarat itu kini kelihatan semakin kabur.

Menurutnya, strategi “hollow-out” Umno semakin sukar apabila trend penyokong Umno mengundi PN mula berpatah balik dalam beberapa pilihan raya kecil, selain kecenderungan PAS menghidupkan semula Muafakat Nasional yang menyebabkan penyokong Umno mempersoalkan keperluan beralih kepada PN.

Dalam masa sama, katanya, pengundi bukan Melayu semakin menjauh apabila PAS dilihat menampilkan dirinya sebagai abang besar dalam PN, manakala parti-parti di Sabah dan Sarawak pula kurang selesa dengan imej Islamis dan konservatif dari Semenanjung.

“Ketakutan kepada green wave kelihatan seperti benar. Matlamat PN untuk menarik sokongan bukan Melayu menjadi semakin sukar.

“Sebelum ini Bersatu dan kepimpinan Muhyiddin menjadi jambatan antara imej konservatif PN dan watak moderat Sabah dan Sarawak. Jambatan ini sedang dibakar.” katanya.

Marzuki menegaskan, meskipun ada yang menyifatkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai langkah pengukuhan PN, persoalan sebenar ialah sama ada gabungan itu benar-benar sedang mengukuh atau sebaliknya.

“Atau adakah PN sedang membunuh angsa yang bertelur emas?” soalnya sambil menggesa pimpinan PN bermuhasabah secara rasional dan objektif, serta tidak mengulangi kesilapan BA yang membawa kepada kekalahan besar PAS dalam PRU 2004.

Semalam, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu selepas lima tahun memimpin PN, sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan.

Sebelum ini, wujud beberapa desakan dan asakan daripada PAS termasuk oleh ketua pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan pengerusi PN diserah kepada parti itu.

Perselisihan hubungan antara PAS dan Bersatu dikatakan tercetus susulan pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Raja Perlis kemudian berkenan melantik Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar yang baharu.

Sumatera Barat kembali ‘tenggelam’

KOSMO
Puluhan rumah terjejas selepas Sungai Batu Busuk melimpah ekoran hujan lebat sejak semalam. - Instagram
JAKARTA – Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Kota Padang, wilayah Sumatera Barat sekali lagi dilanda banjir dengan air setinggi paras pinggang orang dewasa menenggelamkan puluhan rumah, lapor portal berita Padek. 

Hujan lebat semalam menyebabkan Sungai Batu Busuk melimpah sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) dan menjejaskan berpuluh-puluh rumah di kelurahan Kapalo Koto, daerah Pauh. 

Kejiranan Tabiang Banda Gadang di daerah Nanggalo turut dinaiki air dengan dua penduduk telah dipindahkan dari rumah mereka. 

Peningkatan air yang pantas menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai. 

Ketua Karang Taruna, M. Ilham menggesa penduduk untuk meninggalkan kawasan berisiko tinggi dan berpindah ke tempat selamat. 

Ketua Daerah Nanggalo, Amrizal Rengganis menasihati penduduk supaya menjauhkan diri dari tebing sungai susulan arus deras di Sungai Batang Kuranji. 

“Kami menggesa semua penduduk yang melakukan aktiviti di sekitar sungai supaya mengelak atau menjauhkan diri berikutan keadaan cuaca dan hujan lebat di hulu sungai demi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” kata Amrizal.

Sebelum ini, Pusat Gerakan Kecemasan (Pusdalops-PB) Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Kota Padang telah mengeluarkan amaran sekitar pukul 3.52 petang (waktu tempatan) mengenai peningkatan paras air di beberapa sungai utama.

“Laporan dan maklumat sedang diberikan kepada penduduk di sekitar Sungai Batang Kuranji dan Sungai Lubuk Minturun. Sila berjaga-jaga kerana paras air meningkat dengan ketara dan alirannya agak deras,” kata BPBD Kota Padang. – AGENSI

UMNO dalam persimpangan, hidup semula MN atau kekal bersama PH

Gesaan hidup semula MN dijangka dominasi PAU, kata penganalisis

Minderjeet Kaur

Azmi Hassan berkata gesaan Akmal Saleh supaya konvensyen khas diadakan menjelang perhimpunan agung tahunan parti itu berkemungkinan meningkatkan tekanan dalaman.

Pemuda Umno anjur Konvensyen Khas pada 3 Jan depan untuk menentukan sama ada parti patut meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
PETALING JAYA: Gesaan supaya Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dijangka mendominasi perbahasan pada perhimpunan agung tahunan parti itu, bulan depan, menurut penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata gesaan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh untuk mengadakan Konvensyen Khas pada 3 Jan sebelum perhimpunan agung parti, berkemungkinan meningkatkan tekanan dalaman.

“Isu itu akan dibahaskan dan mungkin ada desakan supaya Umno menarik diri daripada kerajaan, manakala MN dibangkitkan sebagai satu pilihan,” katanya kepada FMT.

Akmal mengumumkan Pemuda Umno akan menganjurkan Konvensyen Khas pada 3 Jan bagi menentukan sama ada parti itu patut meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, exco Wanita Umno Nurulhidayah Zahid menasihatkan Akmal tidak memberi sebarang kata dua mengenai hala tuju parti kerana dilihat mampu mewujudkan persepsi berlaku perpecahan dalam parti.

Nurulhidayah yang juga anak Presiden Umno Zahid Hamidi berkata walaupun beliau memahami kebimbangan akar umbi serta peranan sayap pemuda dalam memastikan semakan dan imbangan, naratif ‘kekal atau keluar’ membawa kesan serius.

MN ditubuhkan pada September 2012 yang membabitkan gabungan PAS dan Umno bagi menyatukan pengundi Melayu Islam.

Azmi berkata perwakilan yang menghadiri konvensyen itu berkemungkinan mendesak supaya Umno menarik diri daripada kerajaan dan mempertimbangkan membaiki hubungan dengan PAS untuk menghidupkan semula pakatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kepimpinan tertinggi parti dijangka kekal komited kepada kerajaan perpaduan sehingga PRU16.

“Hanya apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen barulah presiden Umno akan mengatakan sama ada parti itu akan menarik diri dan bergerak solo.”

Tiada faedah abai kerajaan perpaduan

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata MN wujud selepas Umno dan PAS sama-sama menjadi pembangkang selepas PRU14 pada 2018.

“Umno kini bukanlah pembangkang. Jadi kenapa pula mereka mahu mengabaikan Madani untuk menyertai PAS? Tiada insentif nyata.”

Beliau memberi amaran kembalinya Umno ke MN boleh mengecilkan daya tarikan parti itu.

“Umno akan terhad kepada kerusi majoriti Melayu dan malah berisiko menjadi lebih mundur kerana parti itu mungkin kehilangan pendirian sederhana yang selama ini membezakannya daripada PAS,” katanya.

Syaza dan seorang lagi penganalisis, James Chin dari Universiti Tasmania mengingatkan Umno kini memegang beberapa jawatan kanan dalam kerajaan.

Mereka berpendapat jika Zahid kembali bekerjasama dengan PAS, Umno akan diberi peranan lebih rendah.

Syaza berkata ini lebih-lebih lagi jika Bersatu kekal menjadi sekutu utama PAS di dalam Perikatan Nasional (PN).

Syaza berkata desakan untuk kembali kepada MN berkemungkinan datang daripada ahli akar umbi yang cenderung kepada kerjasama politik berhaluan Melayu berbanding peranan Umno kini dalam kerajaan perpaduan.

“Pasti akan ada perbezaan pandangan, khususnya oleh ahli akar umbi yang lebih cenderung memilih MN berbanding Madani.”

Menurutnya, segelintir ahli Umno dan yang berpotensi menjadi calon pilihan raya percaya peluang parti memenangi undi Melayu lebih tinggi jika bekerjasama dengan PAS.

Chin pula berkata ramai ahli akar umbi Umno percaya MN penting bagi memulihkan pengaruh parti.

“Ramai akar umbi Umno percaya mereka perlu menghidupkannya semula untuk memastikan Umno memainkan lebih peranan besar,” katanya.

Beliau turut menambah ramai ahli Umno berpendapat Anwar tidak akan memenangi PRU akan datang.

Parti komponen kerajaan perpaduan bakal mengadakan sesi pemukiman selama dua hari pada 10 dan 11 Jan untuk menyemak semula kemajuan dasar, pelaksanaan manifesto dan menilai sama ada janji mereka ditunaikan secara berkesan kepada rakyat.

Menjelang PRU16: Anwar kekal PM walau BN keluar k'jaan, tapi apa nasib Umno?

Malaysiakini 

Ugutan daripada sesetengah pihak dalam Umno untuk meninggalkan kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Walaupun masih wujud rasa tidak puas hati dalam parti itu susulan tindakan DAP meraikan keputusan pemenjaraan terhadap bekas presiden Umno, Najib Razak, keadaan bagaimanapun tidak memihak kepada Umno.

Pertama, Umno tidak mempunyai kelebihan sekiranya mahu keluar daripada kerajaan dalam masa terdekat sebelum penggal pentadbiran sekarang berakhir.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika ini mendapat sokongan 153 ahli parlimen, dan sekiranya Umno serta BN bersama 30 ahli parlimennya menarik diri, Anwar masih mengekalkan kuasa dengan sokongan 123 ahli parlimen.

Anwar juga boleh mengekalkan kestabilan dalam kerajaan dengan memberikan lebih banyak jawatan menteri kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain rakan sekutu seperti Warisan, PBM dan ahli parlimen bebas yang menyokongnya.

Kedua, BN terikat dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh semua parti kerajaan pada Disember 2022.

Salah satu klausa dalam MoU tersebut mewajibkan semua pihak yang menandatanganinya memastikan ahli parlimen parti masing-masing mengundi menyokong Anwar dan kerajaan dalam undi percaya atau undi belanjawan.

Ahli parlimen yang gagal mematuhi ketetapan itu dianggap telah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat, menurut MoU berkenaan.

Ketiga, harapan Umno untuk kembali berkuasa dengan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) juga dilihat tipis.

Walaupun PAS sempat menyatakan kecenderungan untuk bergerak secara solo atau menghidupkan semula MN semalam, sentimen itu segera kendur selepas Muhyiddin Yassin mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai pengerusi PN.

Situasi itu membuka ruang kepada PAS untuk mengambil alih kepimpinan PN.

Menurut pensyarah bersekutu sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Shukri, sekiranya PAS menerajui PN, parti itu tidak lagi memerlukan Umno atau MN.

Dia turut menegaskan bahawa tindakan meninggalkan kerajaan Madani bukan langkah yang menguntungkan Umno.

"Umno perlu keluar daripada kerajaan dan pada ketika ini, walaupun terdapat suara-suara tidak puas hati, Umno sebenarnya lebih mendapat manfaat dengan berada dalam kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Penganalisis politik Wong Chin Huat turut menyuarakan pandangan yang sama ketika dihubungi.

Dia berkata Umno dan PAS bersaing dalam pasaran pengundi yang sama, dan adalah lebih ideal bagi Umno untuk melemahkan PAS berbanding bekerjasama dengannya.

"Umno akan bertindak bertentangan dengan kepentingan terbaiknya jika menyertai PAS sekarang. Dengan Umno hanya memiliki 26 kerusi berbanding 44 milik PAS, Umno akan terperangkap sebagai rakan junior kepada PAS.

"Walau sejauh mana pemimpin Umno melaungkan sokongan terhadap Najib Razak, mereka bukan bodoh untuk meletakkan parti di bawah kawalan PAS. Mereka tidak mahu menjadi Bersatu 2.0," katanya.

Wong menambah, kelebihan Umno kekal bersama PH adalah jelas kerana selagi PH gagal meraih sokongan Melayu yang lebih besar, gabungan itu memerlukan Umno.

Prestasi politik Umno dilihat merosot sejak 2004.

Ketika itu, Umno menguasai 50 peratus kerusi Parlimen manakala BN hampir menguasai 90 peratus keseluruhan kerusi.

Namun selepas pilihan raya umum lalu, Umno kini hanya mewakili 11.7 peratus daripada jumlah Ahli Parlimen.

Pada masa ini, kepimpinan tertinggi di bawah presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mempertaruhkan sokongan daripada PH untuk memastikan BN terus bertahan, malah berusaha merampas kembali kerusi-kerusi yang hilang.

Bagaimanapun, strategi ini setakat ini memberikan hasil bercampur, apabila BN tersingkir di Kedah pada pilihan raya negeri 2023, manakala penguasaan di Sabah turut merosot dalam pilihan raya bulan lalu.

PH juga mengalami kekalahan teruk di Sabah dengan DAP kehilangan semua kerusinya.

Menjelang PRU16: Desakan kepimpinan Bersatu dirombak akan semakin hebat

Rex Tan

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Azmin Ali sebagai setiausaha agung akan menguatkan desakan agar kepimpinan Bersatu turut dirombak.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, desakan sedemikian ‘logik’ memandangkan tindakan kedua-dua tokoh tersebut seolah-olah menunjukkan mereka telah hilang keyakinan untuk terus menerajui PN.

“Jika mereka tidak cukup bagus untuk PN, apa pula memampukan mereka untuk terus memimpin Bersatu? Saya jangka pergelutan dalaman dan kewujudan puak-puak dalam Bersatu akan semakin memuncak selepas ini,” katanya kepada FMT.

Mengulas mengenai pengganti, Syaza berkata, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin ialah calon paling layak bagi jawatan presiden, memandangkan beliau dianggap ‘lebih diterima’ oleh rakan gabungan, PAS.

Bagaimanapun, katanya, Hamzah akan berdepan tugas mencabar sekiranya memegang teraju utama kerana pengaruh kem Muhyiddin dalam parti masih besar.

Beliau berkata, Hamzah masih perlu menangani isu-isu Bersatu yang lebih runcing, khususnya identiti parti itu sebagai serpihan Umno serta kekurangan sokongan akar umbi.

“Hamzah perlu sokongan meluas dan saya tidak pasti sama ada beliau ada perkara itu,” tambahnya.

“Mungkin ini kerana beliau belum benar-benar diuji, memandangkan Muhyiddin sentiasa dilihat sebagai pemimpin yang lebih popular dalam kalangan ahli parti serta pengundi Melayu.”

Awal hari ini, Muhyiddin mengumumkan akan melepaskan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan ini, susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Azmin kemudian turut meletak jawatan sebagai setiausaha agung PN dan ketua PN Selangor, diikuti oleh beberapa pengerusi PN negeri lain, yang juga pemimpin Bersatu.

Bersatu ‘bergantung’ harap, kekal hubungan baik dengan PAS

Pengarah urusan firma perunding geopolitik Viewfinder Global Affairs, Adib Zalkapli berpendapat, hubungan antara Bersatu dan PAS kini berdepan cabaran yang belum pernah dilihat sebelum ini, walaupun PAS dilihat mempunyai kelebihan dalam situasi tersebut.

Beliau menjangkakan Bersatu akan terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS memandangkan parti itu sangat bergantung kepada jentera dan sokongan PAS dalam pilihan raya.

“Tanpa sokongan daripada PAS, sukar bagi Bersatu untuk mengulangi pencapaiannya pada 2022,” katanya, merujuk kepada kemenangan 31 kerusi Parlimen yang diraih Bersatu pada PRU15.

Suami mati tercekik tembikai

KOSMO
Cerasomma meninggal dunia akibat tercekik tembikai semasa menyertai pertandingan makan buah itu di Sao Paulo. - Newsflash
BRASILIA – Seorang lelaki meninggal dunia disebabkan tercekik ketika menyertai pertandingan makan buah tembikai di sebuah pusat peranginan di Brazil, lapor akhbar Metro UK. 

Carlos Cerasomma, 27, menyertai pertandingan dinamakan  Boca de Melancia itu Resort Sau Pedro Thermas, bandar raya Sao Paulo. 

Peserta perlu makan tembikai dengan pantas tanpa menggunakan tangan di samping membongkokkan badan untuk memakan buah itu dari meja yang rendah.

Dia bersaing dengan tetamu hotel lain untuk memenangi hadiah kentang goreng. 

Isteri mangsa, Kimberly Santos berkata, kakitangan hotel menggalakkan suaminya untuk menghabiskan hirisan tembikai yang terakhir sebelum menyedari dia tidak sedarkan diri. 

Cerasomma dikejarkan ke hospital sebelum doktor mengesahkan bahawa dia meninggal dunia akibat sesak nafas, lapor saluran berita Brazil G1 Globo. 

Sekretariat Keselamatan Awam Sao Paulo dalam satu kenyataan berkata: “Mangsa tercekik dan dibawa ke UPA (Unit Penjagaan Kecemasan) tetapi gagal diselamatkan.

‘Kes itu didaftarkan sebagai kematian mencurigakan di Balai Polis São Pedro,” katanya. – AFP

Seorang maut, 2 cedera diserang sekumpulan lelaki bertopeng

Audrey Dermawan
Tangkap layar video tular
Tangkap layar video tular mengenai serangan di sebuah restoran di Sungai Bakap
NIBONG TEBAL: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata tajam di sebuah restoran di Sungai Bakap, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, mangsa berusia 59 tahun difahamkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Dua lagi individu yang cedera dirawat di hospital berhampiran.

Kumpulan lelaki bertopeng dianggarkan 15 orang didakwa menyerang tiga mangsa ketika mereka sedang makan di dalam premis berkenaan.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti motif di sebalik serangan itu.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial yang menunjukkan mangsa yang cedera, termasuk seorang yang berada dalam keadaan kritikal, dipercayai disebabkan oleh serangan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, ketika dihubungi oleh New Straits Times mengesahkan kejadian.

“Ya, kejadian itu berlaku pada jam 4.30 petang dan kami sedang menyiasatnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dan motif di sebalik serangan itu,” katanya.

PAS, perpaduan ummah dan jaringan gol sendiri di Perlis

Tajuddin Rasdi

Apa pun retorik PAS dalam hal kemelut politik Perlis, ia berjaya menjaring gol sendiri bukan satu atau dua biji tetapi enam biji kesemuanya.

Kemelut politik di Perlis mencerminkan wajah sebenar parti yang menggembar-gemburkan reputasi ‘Islamik’ mereka sebagai wadah perpaduan agama dan kaum. Sebenarnya ia hanyalah fatamorgana yang berpangkal kepada kerakusan kuasa dan kebobrokan nilai politik kemanusiaan rakyat semua.

Dalam PAS mencanangkan ‘kesucian’ mereka daripada rasuah dan nilai ‘kebaratan’ atau liberalism, ia sebenarnya mengharapkan apa yang disebut pemimpin mereka sebagai ‘politik kuetiau goreng’. Sebelum ini ada juga kita ditarbiyahkan oleh seorang ahli PAS tentang ‘politik kepimpinan lembu’ dan ada juga tentang ‘politik monyet dan kambing’. Last-last sekali ia berbalik kepada ‘politik kafir harbi’ menentang parti seperti DAP, yang pernah mereka bersahabat dahulu.

Walau apa pun retorik Parti Islam Se-Malaysia dalam hal kemelut politik Perlis, PAS berjaya menjaring gol sendiri bukan satu atau dua biji tetapi enam biji kesemuanya.

Gol pertama PAS dijaringkan oleh Menteri Besar Shukri Ramli, orang ‘dema’ (loghat Perak untuk dia atau mereka) juga. Shukri terpaksa meletak jawatan apabila geng Bersatu lima orang dengan geng PAS tiga orang menghantar SD kepada istana. Kenapakah mereka berbuat demikian? Wallahualam saya tidak tahu tetapi mungkin ia berkaitan dengan menteri besar dipanggil SPRM untuk menjelaskan isu anak beliau dan dakwaan tuntutan palsu. Saya ingat semua orang berserban dan berjubah serta berselendang hijau semuanya kaki sembahyang dan tidak mengarah ke duniawi tetapi ternyata Iblis lagi hebat pada orang yang declare mereka warak dan di jalan yang benar. Itulah cabaran, kata P Ramlee.

Gol kedua pula apabila pucuk pimpinan tertinggi PAS telah memberhentikan hero-hero ADUN dari PAS tiga orang itu. Saya amat terkejut dengan tindakan PAS yang pantas, drastik dan tegas. Dalam satu hal, ia keputusan yang berani dan terkesan. Tetapi dalam hal lain pula, ia suatu tindakan yang boleh makan diri. Sekarang PAS kehilangan 3 Adun yang berkemungkinan soleh dan berniat baik demi kesejahteraan Perlis.

Apabila PAS memberhentikan ketiga-tiga Adun mereka, secara otomatik PAS hilang tiga kerusi DUN. Ini saya sifatkan gol sendiri nombor tiga. PAS sanggup bertanding di Bintong, Chuping dan Guar Sanji demi mendisiplinkan ahli parti yang tidak senada dengan kepimpinan tanpa banyak cerita. Persoalan cepu emas di sini adakah PAS confident nak rebut balik ketiga-tiga kerusi ini? Dari sembilan kerusi DUN, PAS sekarang hanya tinggal enam saja, hampir sama dengan Bersatu yang ada lima kerusi. Saya meneliti majoriti undi di Chuping dan Bintong, pada hemat saya kedua-dua kerusi ini boleh kuyup sebab jumlah majoriti PAS sedikit saja. Kalau dulu PH dan BN bertelagah tetapi sekarang mereka bekerjasama. BN dan PH menjanjikan vote transferability, itu pun kalau si Akmal Saleh tidak kacau daun.

PAS akan berhadapan dengan the federal government yang akan mengangkut segala lori dan trak maka banyaklah jalan raya akan ditarkan. Penduduk Perlis tiga kawasan itu pun bakal dapat macam-macam berupa beras dan barang keperluan. Wah berkat Ramadhan tiga kerusi ini dikosongkan. Orang Melayu cakap lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Saya kira PAS akan tumbang di dua kerusi Chuping dan Bintong kalau Adun yang diberhentikan join PH-BN dan bertanding semula. Kuasa incumbent yang bertugas dengan baik menyebelahi calon-calon ini.

Janganlah pula orang BN nak ambil dua kerusi ini, biarlah bekas Adun dua orang ni bertanding. Di Guar Sanji saya tak pasti boleh menang tapi kena try lah juga. Kalau PAS tewas di dua DUN, ia hanya ada tujuh kerusi saja manakala Bersatu yang ada 5, PH-BN mungkin dua DUN dan campur satu jadi tiga kerusi. Hai, nampak gaya Bersatu dan PH-BN boleh jadi kamcing meninggalkan PAS yang hanya ada tujuh kerusi.

Gol sendiri keempat paling parah dan memilukan. Walaupun PAS dengan pantas dan yakin serta konfiden menghantar nama-nama calon menteri besar yang baru, istana memohon Muhyiddin Yassin hantar senarai calon juga, sebabnya PAS hanya ada enam kerusi dan Bersatu ada lima kerusi maka dilihat Tuanku sama hebat. Tup-tup Abu Bakar Hamzah dari Bersatu yang dinobatkan sebagai menteri besar. Terbakar orang PAS macam Ahmad Fadhli Shaari yang menulis kawan jadi lawan. Hai, itulah orang Melayu cakap setinggi-tinggi tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Gol kelima adalah keadaan masam-masam manis antara Bersatu dan PAS menjadi terlebih masam. Wan Saiful Wan Jan kata ini bukti Muhyiddin gagal, tetapi apa macam Bersatu yang jadi menteri besar? Itu politik licik seperti politik Azmin Ali.

Gol terakhir adalah dari mulut presiden sendiri apabila memberi kenyataan tentang kenapa kemelut menteri besar terjadi. Beliau ada menyebut-nyebut tentang urusan beberapa projek yang tidak kemas dan bermasalah. Mufti Asri Zainul Abidin bertanya kepada Tuanku sewaktu bersarapan tentang sebutan ini. Tuanku menjawab baginda tidak tahu apa tentang projek-projek yang disebutkan itu, dan berasa kesal kenapa ia tidak disebutkan dengan jelas. Maka akhbar memetik podcast Asri yang beri nasihat kepada ahli politik yang suka sebar-sebar berita kemungkaran tetapi tidak sebut secara rasmi dan jelas. Maka PAS dah jadi bukan best friend istana dalam jaringan gol ini yang ditendang oleh Hadi sendiri.

Saya rasa kalau saya ditawarkan jadi menteri besar Perlis, saya akan tolak sebab PAS dah bengang sangat dengan Bersatu, kawan yang baginya jadi lawan. Laungan perpaduan Melayu, ummah dan sebagainya agak terkubur di Perlis. Bumbung PN bakal rebah ke bumi. Cepat-cepat sikit undang Akmal ke Perlis untuk berunding Muafakat Nasional. Dua-dua Bersatu dan PAS hendakkan kawan baru.

Pemimpin Bersatu: PN tak akan terkubur

Shakira Buang

PN tidak akan berkubur seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya masih berfungsi dengan Bersatu kekal sebagai parti komponen gabungan itu, kata Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurut Tun Faisal, setakat ini tiada sebarang perubahan dasar dibuat dalam PN dan sebarang keputusan penting, termasuk soal jawatan pengerusi, akan dibincangkan secara rasmi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

“PN ada saja, kenapa pula nak terkubur. Bersatu masih komponen PN dan setakat ini belum ada dasar yang berubah.

“Perkara berkaitan jawatan pengerusi PN akan dibawa ke Mesyuarat MT PN untuk diputuskan,” katanya kepada Malaysiakini.

Tun Faisal berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa hubungan Bersatu dengan PAS ketika ini.

Awal hari ini, Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.

Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama Umno, atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.

Peletakan jawatan Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri itu turut disusuli empat pengerusi PN negeri iaitu Faizal Azumu (Perak) Azmin Ali (Selangor), Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) dan Sahruddin Jamal (Johor).

Sementara itu, Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha PN Selangor.

Mengulas lanjut, Tun Faisal turut mempertahankan sikap Muhyiddin dengan berkata Presiden Bersatu itu tidak mengejar jawatan dan sejak awal bersikap terbuka dalam soal pembahagian peranan dalam PN.

Tun Faisal berkata, selepas pilihan raya umum (PRU) ke 15 lalu, Muhyiddin telah menawarkan jawatan utama dalam PN kepada PAS, namun tawaran itu ditolak.

“Selepas PRU15, Tan Sri (Muhyiddin) tawarkan jawatan kepada PAS, termasuk jawatan Ketua Pembangkang, tetapi PAS yang menolak.

“Selepas itu barulah Tan Sri mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan dipersetujui oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pimpinan lain. Ini menunjukkan Tan Sri Muhyiddin tidak mengejar jawatan dan sangat terbuka,” katanya.

PAS terajui PN, kata sumber dari kem Hamzah

Sementara itu, sumber terdekat daripada kem Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin dalam Bersatu berkata PN tidak akan berkubur, sebaliknya akan diterajui oleh PAS.

“Mana ada berkubur. PAS akan kemudi PN,” katanya.

Dia mendakwa Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN selepas ditekan oleh pimpinan PAS dan beberapa pemimpin Bersatu sendiri, termasuk dirinya.

Tekanan itu, katanya, berpunca daripada krisis politik di Perlis yang dianggap memberi kesan buruk kepada PN.

“Tan Sri kena tekan dengan pimpinan PAS dan juga beberapa pimpinan Bersatu, termasuk saya dan seorang lagi pemimpin Bersatu, sebab apa yang berlaku di Perlis ini memang amat memudaratkan PN.

“Akhirnya Tan Sri akur dan saya sendiri terkejut bila dia lepaskan jawatan terus,” katanya kepada Malaysiakini.

Sumber terbabit turut mendakwa majoriti ahli Parlimen PN juga bersetuju dengan peletakan jawatan itu dan tiada usaha serius untuk memujuk Muhyiddin supaya kekal.

“Maknanya majoriti ahli Parlimen PN bersetuju beliau letak jawatan sebagai pengerusi,” katanya.

Dia juga berkata PAS sudah lama bersabar dengan keadaan dalaman PN dan mendakwa Muhyiddin gagal memberikan penjelasan berhubung ketiadaan tindakan terhadap lima Adun Bersatu di Perlis.

“Tan Sri letak jawatan sebab tak dapat jawab kenapa tiada tindakan diambil terhadap lima Adun Bersatu Perlis. Dia kata tak tahu.

“Masa krisis bermula, selepas PRN Sabah, beliau tinggalkan keadaan begitu saja dan pergi ke London,” dakwanya.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut setakat ini belum dijawab secara rasmi oleh Muhyiddin atau pimpinan tertinggi PN.

Menteri ini masih tak serik dengan lambakan pendatang asing

KDN buka tempoh khas mohon kuota pekerja asing mulai 19 Jan
2 mins ago
Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuka tempoh khas untuk menerima permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi 2025, bermula 19 Jan hingga 31 Mac 2026.

KDN memaklumkan, permohonan kuota sedia ada masih diterima sehingga tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini, iaitu 31 Dis 2025.

Menurut KDN dalam kenyataan, tempoh khas itu melibatkan permohonan bagi semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan kerajaan pada 1 Okt 2025, serta mematuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan termasuk permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal.

Semua permohonan yang diterima sepanjang tempoh khas itu akan dibincangkan bersama kementerian menyelia yang terbabit untuk pertimbangan dan tertakluk kepada syarat-syarat penggajian pekerja asing yang lain.

“KDN juga ingin mengingatkan semua majikan agar mengemukakan permohonan secara terus tanpa pengantaraan ejen atau pihak ketiga di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing, KDN,” kata kementerian.

Bagi melancarkan urusan permohonan dalam tempoh khas itu, temu janji hendaklah dibuat terlebih dahulu melalui sistem yang boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN bermula 16 Jan 2026.

“Kemudahan tempoh khas ini diharap dapat membantu majikan mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing secara teratur dan terancang,” kata KDN.

“Langkah ini selaras dengan iltizam Kerajaan Madani untuk terus peka terhadap keperluan industri serta komitmen meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.”

Kalau macam tu bubar sajalah DUN Perlis terserah kepada rakyat nak pilih siapa

Pentadbiran negeri akan terbeban jika exco hanya Bersatu – Speaker
SYED AZLAN SAYID HIZAR

KANGAR – Pentadbiran negeri ini dilihat akan terbeban sekiranya hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu sahaja yang memegang jawatan exco atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK).

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berpendapat, kuota empat dan seorang Menteri Besar dari Bersatu dilihat mencukupi namun ia memberi beban besar kepada mereka.

“Sekiranya hanya lima exco termasuk Menteri Besar dilantik, ia akan memberi bebanan kepada mereka kerana terpaksa menanggung terlalu banyak portfolio dalam mentadbir kerajaan negeri ini.

“Ini kerana mereka bukan hanya bertugas di Perlis namun perlu berulang-alik ke Putrajaya mengikut portfolio mereka dan itu hanya satu contoh daripada pelbagai contoh situasi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai ADUN Pas negeri tidak akan menganggotai jawatan manakala exco sedia ada akan melepaskan jawatan sebagai solidariti kepada mantan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Tambah Rus’sele, dalam keadaan exco menanggung beban tugasan yang tinggi, dibimbangi ia tidak akan melancarkan pentadbiran negeri. – KOSMO! ONLINE

Boikot?? PAS enggan sertai exco Perlis

PAS enggan sertai exco Perlis, sedia terajui PN
Malaysiakini 

PAS mengumumkan pendirian untuk tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Perlis yang bakal dibentuk di bawah kepimpinan Menteri Besar Bersayu yang baru Abu Bakar Hamzah.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil sebagai tanda solidariti susulan peletakan jawatan mantan Menteri Besar sebelum ini Mohd Shukri Ramli.

"PAS tidak akan menganggotai majlis exco yang akan dibentuk oleh menteri besar Perlis yang baru.

"Semua anggota exco sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan menteri besar yang lepas," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun, Ahli Parlimen Kota Bahru itu berkata meskipun menarik diri daripada barisan pentadbiran negeri, PAS tetap komited untuk mengekalkan kelangsungan kerajaan negeri sedia ada.

Jelasnya, sokongan itu diberikan selaras dengan mandat yang telah diperolehi daripada rakyat pada PRU15 yang lalu.

Katanya, PAS juga akan terus menghormati lunas undang-undang dan prinsip demokrasi serta konsep Raja Berperlembagaan dan turut menyatakan ketaatan dan menghormati kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam mengemudi kemaslahatan negeri dan rakyat.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.

Lapan Adun sebelum ini telah mengemukakan akuan bersumpah (SD) kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.

Mohd Shukri, yang juga merupakan Adun Sanglang, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar Perlis pada 25 Dis lalu atas alasan kesihatan.

Susulan itu, PAS kemudian memaklumkan keanggotaan ketiga-tiga Adun berkenaan - Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) - terhenti serta-merta.

Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama ada akan meninggalkan PN dan mencari pakatan baru bersama Umno, atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.

PAS sedia terajui PN

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Takiyuddin memaklumkan bahawa PAS bersedia untuk menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Takiyuddin, berkata hasrat itu bertujuan memperkasa organisasi dan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

"PAS menyeru semua pihak supaya bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN," katanya .

Terdahulu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu.

Selepas lima tahun memimpin PN, bekas perdana menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepadanya sepanjang memimpin gabungan tersebut.

Muhyiddin memegang jawatan itu sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh PN didaftarkan secara rasmi.

"Saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.

Selain Bersatu, parti utama yang berada dalam gabungan PN adalah PAS dan Gerakan.

Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada PAS termasuk oleh ketua pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan pengerusi PN diberi kepada parti mereka.

Warga asing dah main pistol kat Malaysia? Berat ni

Lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah miliki pistol
Nur Izzati Mohamad
Aung Soe, 39, mengaku tidak bersalah memiliki sepucuk pistol ketika berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth. – Foto NSTP
BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa permit.

Tertuduh, Aung Soe, 39, memohon kesnya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Roslan Hamid.

Lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver 0.38 dengan tiada nombor siri, selain tidak mempunyai permit atau lesen sah, dengan senjata api terbabit diperoleh semasa melakukan kesalahan dadah.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bengkel kontena di Lorong Perusahaan Baru, Perai pada jam 12.10 pagi, 21 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara kurang 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.

Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan berkaitan kes peluru, dadah dan kesalahan imigresen di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

Majistret Roshayati Radellah menetapkan 23 Februari tahun depan bagi kehadiran jurubahasa Myanmar.

Tuduh Mujahid sokong LGBT akhirnya SUA Pas, Takiyuddin mohon maaf

Malaysiakini 
story-image
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada bekas menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa sebagai antara penyelesaian saman fitnah yang difailkan oleh Mujahid.

Pada satu kenyataan bersama hari ini, kedua pihak berkata mereka memutuskan untuk menyelesaikan perkara itu selepas mempertimbangkan kos prosiding mahkamah, selain mengambil kira “terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan/atau penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.”

Menurut kenyataan itu, Takiyuddin memohon maaf kepada Mujahid berhubung satu hantaran Facebook PAS yang diterbitkan pada 16 Oktober 2022, ketika dia menjalankan tugas sebagai setiausaha agung parti.

Sebagai balasan, Mujahid menarik balik saman tersebut tanpa sebarang perintah kos dan tanpa kebenaran untuk memfailkan semula saman berkenaan.

“Kedua-dua pihak berharap agar penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia,” kata kenyataan itu.

Mujahid memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira dua bulan selepas hantaran Facebook berkenaan diterbitkan, pada 15 Disember 2022.

Takiyuddin dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes itu, atas kapasiti dia sebagai setiausaha agung PAS.

Kes itu didengar di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.

Bekas menteri itu mendakwa Takiyuddin atau PAS secara berniat jahat memuat naik hantaran dalam talian berkenaan dengan tujuan menjejaskan maruahnya, menerusi dakwaan kononnya dia menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Hantaran itu turut memberi gambaran Mujahid, ketika memegang jawatan menteri agama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, telah membenarkan, menyokong dan menerima komuniti LGBT.

Mujahid menegaskan sepanjang tempoh dia memegang jawatan tersebut, dia tidak pernah pada bila-bila masa menghalang pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap aktivis LGBT atau individu yang terlibat dalam aktiviti LGBT.

Sehingga laporan ini ditulis, hantaran Facebook berkenaan masih kelihatan di laman Facebook rasmi PAS.

PN semakin berantakan

Faisal Azumu lepas jawatan pengerusi PN Perak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu melepaskan jawatan pengerusi Perikatan Nasional Perak, susulan peletakan jawatan ketuanya, Muhyiddin Yassin, sebagai pengerusi gabungan.

Perletakan jawatan beliau akan berkuat kuasa 1 Jan 2026.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Muhyiddin memimpin PN sejak 7 Ogos 2020, ketika gabungan itu didaftarkan secara rasmi.

Pemimpin PAS cabar Mufti Perlis demi mempertahankan 'Lafaz baiah Pas'

Lafaz baiah Pas: Mufti Perlis dicabar tunjukkan perkara ‘memalukan’
Harapandaily

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menepis dakwaan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bahawa wujudnya lafaz baiah dan sumpah daripada parti itu yang menuntut pemimpinnya menceraikan isteri, jika berlaku perlanggaran.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas berkenaan turut berkongsikan teks lafaz baiah dan sumpah itu di akaun Facebook.

Berdasarkan muat naik teks itu dilihat tiada pernyataan yang menuntut mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya menceraikan isteri, jika melompat ke parti lain.

Justeru, Mohd Syahir yang pernah disindir netizen susulan pantun pelik, “Ruh, ruh, ruh; Neh,neh, neh” ketika berdebat dengan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli itu mencabar Mohd Asri menunjukkan perkara yang didakwa ‘memalukan’ di dalam teks lafaz tersebut.

“Kepada SS Mufti (1), tunjukkan di mana perkara yang ‘memalukan’ di dalam teks lafaz baiah dan sumpah ini? Tiada di Perlis.

“Kita diajar, jangan diadakan perkara yang tiada. Tabayyun, laisa ‘Tibayyun’,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Mohd Asri mengkritik sumpah baiah yang dikenakan sebuah parti politik yang diketahui umum merujuk kepada Pas mengenai situasi politik di Perlis.

“Timbul isu di Perlis tentang sumpah baiah yang menceraikan isteri. Kamu berpolitik mempertaruhkan isteri.

“Ini adalah asas bagi pembinaan masyarakat, tapi belum lagi memerintah kita mempertaruhkan isteri kita.

“Ini sesuatu yang serius. Saya mohon maaf kepada teman-teman daripada parti tertentu, tetapi ini sesuatu yang tidak wajar dan memalukan,” kata Mohd Asri.

Akhirnya: Muhyiddin letak jawatan pengerusi PN mulai 1 Jan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Jan ini.

Presiden Bersatu itu mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang memberi sokongan penuh kepadanya selama beliau menerajui PN sejak ditubuhkan lima tahun lalu.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya lepada semua barisan kepimpinan PN dan parti anggotanya,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin menerajui gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, ketika ia didaftarkan secara rasmi.

Pengumuman ini susulan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan Adun Sanglang daripada PAS, Shukri Ramli, meletak jawatan menteri besar dan digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari menyifatkan keputusan Muhyiddin tindakan bijak dan tepat kerana PN memerlukan momentum baharu menjelang PRU16.

“Saya yakin PAS akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai pengerusi yang baru. Tidak semestinya presiden parti, tetapi seorang individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN.

“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus lebih kepada gerak kerja selepas ini,” katanya dalam catatan Facebook sambil memuji sikap terbuka Muhyiddin melepaskan jawatan itu.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggesa partinya mengambil alih dan mengetuai PN, dengan menuduh Bersatu bersikap lemah serta mengkhianati rakan gabungan atas kegagalannya mengambil tindakan terhadap lima Adun menarik sokongan terhadap Shukri.

Ahli Parlimen Alor Setar itu dilaporkan berkata, Bersatu sama ada telah hilang kawalan ke atas wakil rakyatnya atau merestui tindakan mereka.

Beliau berkata, tiba masanya PAS mengambil alih PN, dengan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Hadi Awang menjadi pengerusi gabungan itu.

Pelantikan Abu Bakar pada Ahad lalu berlaku selepas lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS dilapor menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis bagi menarik sokongan terhadap Shukri yang melepaskan jawatan menteri besar atas faktor kesihatan, Khamis lalu.

Pelantikan itu disusuli beberapa hantaran di media sosial oleh pemimpin PAS, termasuk Bendahari Agungnya, Iskandar Abdul Samad dan Fadhli yang memberi bayangan berlaku pengkhianatan serta “kawan makan kawan”.

Mufti Perlis balun pemimpin PAS

Asri: Apakah agama yang kamu perjuangkan selama ini?

Malaysiakini 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin membidas pihak yang mempertikai pendiriannya berhubung krisis politik di Perlis, khususnya selepas dia meminta pemimpin politik memberi penjelasan terhadap dakwaan yang dibuat tanpa disertakan bukti.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara langsung, kenyataan Mohd Asri dipercayai ditujukan kepada pemimpin PAS yang mengkritiknya kerana didakwa mencampuri urusan politik negeri berkenaan.

Mohd Asri mempertahankan pendiriannya sambil mempersoalkan percanggahan sikap segelintir pihak yang sebelum ini menegaskan agama dan politik tidak boleh dipisahkan, namun kini menolak tegurannya atas alasan beliau seorang mufti.

"Apabila saya kata: "Jika buat tuduhan, nyatakan bukti supaya tiada yang menjadi mangsa". Kamu kata: "Mufti cakap agama sahaja, jangan cakap hal politik. Kalau nak cakap, sila masuk bertanding."

"Semalam kamu kata agama dan politik tidak boleh berpisah. Kamu kata: "sesiapa yang memisahkan agama dan politik maka dia menjadi kafir". Maka dalam sejarah kamu, begitu ramai yang telah menjadi mangsa kafir mengkafir atas teori tersebut.

"Hari ini lain pula bunyinya. Kemudian, larangan membuat tuduhan tanpa bukti itukan larangan agama? Sudah berapa kali kamu ubah agama kerana kehendak politik kamu? Apakah agama yang kamu perjuangkan selama ini," tulisnya pada satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Mohd Asri meminta Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendedahkan projek yang didakwa menjadi punca kepada krisis politik di negeri itu.

Pada 26 Dis lalu, Malaysiakini melaporkan isu melibatkan beberapa projek di Perlis antara faktor yang mencetuskan krisis politik sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Mengulas perkara itu, Abdul Hadi pada satu sidang media di Marang hari ini mendakwa terdapat banyak projek besar di negeri berkenaan yang tidak mematuhi peraturan.

"Projek banyak sangat. Projek tak ikut peraturan pula, salah. Di sebaliknya ada rasuah, di sebaliknya ada macam-macam.

“Dia (Shukri) tak boleh ikut. Saya tak perlu sebutlah siapa dia.

"Jadi bila kuat tekanan, kita terpaksa bertindaklah,” kata Abdul Hadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok yang juga Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Syahir Sulaiman tampil menjawab kritikan Mohd Asri terhadap PAS.

Merujuk laporan media mengenai kritikan mufti berkenaan terhadap Abdul Hadi, Syahir mengingatkan Mohd Asri supaya tidak mengungkap perkara yang tidak dinyatakan secara jelas.

"Kepada SS Mufti, dengan penuh hormat, jika berpayung di luar pagar, jangan terkena tempias hujannya.

"Jika meninjau halaman (projek) di pasiran, jangan terkena debu kotorannya. Kita diajar, jangan diungkap perkara yang tidak diungkap," tulisnya.

Bapa maut leraikan anak bergaduh

KOSMO
Seorang lelaki menangis ketika ambulans tiba di rumah mangsa. - Istimewa
JAKARTA – Seorang bapa di Muna, wilayah Sulawesi Tenggara maut akibat terjatuh ketika cuba meleraikan pergaduhan dua anak lelakinya, lapor laman berita Detik semalam.

Ketua Perhubungan Awam Polis Muna, Inspektor Pertama Jufri berkata, kejadian berlaku Jumaat lalu sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan).

“Kejadian tular di media sosial menyebut bahawa mangsa dipukul salah seorang anaknya. 

“Namun, selepas siasatan, pegawai polis mendapati bahawa mangsa meninggal dunia akibat terjatuh ketika cuba meleraikan pergaduhan anak-anaknya,” kata Jufri.

Tambah Jufri, mangsa yang berusia 43 tahun berusaha meleraikan pergaduhan dua anak lelakinya, namun dia tidak berdaya.

“Dia kemudian terjatuh ke atas tanah, menyebabkan mulutnya berbuih. 

“Mangsa dikejarkan ke hospital sebelum dia disahkan meninggal dunia,” kata Jufri. 

Kes itu masih disiasat, manakala punca pergaduhan masih belum dikenal pasti. – AGENSI

Mayat lelaki ditemui dalam kedai kosong selepas bau mencurigakan

Safwan Sawi

TAWAU: Bau kurang menyenangkan membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah kedai kosong di Batu 15, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.

Lelaki berkenaan dipercayai seorang gelandangan dan penemuan mayat itu disedari orang awam sebelum laporan dibuat kepada pihak polis kira-kira jam 11 pagi bagi tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.

“Siasatan awal mendapati mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan meniarap dan berbantal, dipercayai sedang tidur ketika meninggal dunia.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan si mati,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, anggaran awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai telah berada di lokasi itu kira-kira seminggu sebelum ditemui.

“Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Tawau sebelum mayat dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.

Jem gila!!! Pecah rekod! 21 jam Kuala Perlis ke KL

KOSMO!

PETALING JAYA – Perjalanan pulang ke ibu negara selepas tamat cuti umum Hari Krismas dan hujung minggu semalam mencatatkan situasi luar biasa apabila seorang pengguna jalan raya mendakwa mengambil masa sehingga 21 jam untuk tiba dari Kuala Perlis ke Kuala Lumpur.

Pengguna, Haasharii mendakwa dia bertolak dari Kuala Perlis pada pukul 2 petang dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi keesokan harinya.

“Sungai Petani ke Kuala Lumpur, 2 petang, semalam sampai 11 pagi tadi. Beberapa kali berhenti di Rehat dan Rawat (R&R) sebab sakit kaki, kena gaut bila tahan kereta manual lama sangat dalam jem,” katanya.

Selain itu, ramai pengguna lain turut tampil berkongsi tempoh perjalanan masing-masing yang jauh melebihi kebiasaan, khususnya di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Ieda Jaffar menyatakan perjalanan dari Pagoh, Johor ke Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira enam jam, sedangkan kebiasaannya hanya sekitar dua jam setengah.

“Enam jam juga dari Pagoh ke Kuala Lumpur,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, Athirah Halim pula memberitahu dia bertolak dari Johor Premium Outlets (JPO), Kulai pada pukul 3 petang dan tiba di Shah Alam sekutar 11.30 malam akibat pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Bukan itu sahaja, kesesakan turut dirasai di laluan Pantai Timur apabila seorang pengguna, Aiiriill memaklumkan perjalanan dari Kedah ke Kuantan mengambil masa sehingga 10 jam.

“Sepuluh jam dari Kedah ke Kuantan,” katanya.

Seorang lagi pengguna mendakwa perjalanan dari Senai, Johor ke Taiping, Perak mengambil masa sekitar 11 jam hingga menyebabkan kaki bengkak akibat terlalu lama memandu.

“Dari siang semalam dari Gua Musang, Kelantan. Ini dah pagi. 15 jam baru sampai Selangor,“ kongsi Zakiah.

“Dari Kota Bharu gerak pukul 9 pagi sampai Subang pukul 12.10 tengah malam,” kata Nasir Nazri. – KOSMO! ONLINE

SPRM rakam keterangan bekas menteri disyaki terima rasuah RM5 juta, Lamborghini

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan seorang bekas menteri yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM5 juta serta kereta mewah melibatkan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.

Menurut sumber, SPRM mendapat makluman bahawa menteri itu telah menerima wang daripada satu syarikat pemaju, manakala kereta mewah berjenama Lamborghini diterima daripada satu syarikat pembuat papan iklan.

“Bekas menteri berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi dirakam keterangan dan siasatan sedang diperingkat untuk mengesan punca pembayaran kereta mewah berkenaan.

“Bagi kes tanah pula, siasatan awal mendapati tanah-tanah yang sebelum ini digazetkan untuk pembinaan surau telah dipindah milik kepada satu syarikat proksi,” katanya.

Keterangan turut dirakam daripada 16 saksi, terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemilik syarikat, bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berhubung kes itu.

“Buat masa ini tiada sebarang sitaan aset atau pembekuan akaun dilakukan,” katanya.

Warga emas maut, kereta ditusuk besi di tapak projek kabel

Zuhainy Zulkiffli
Warga emas maut selepas kereta yang dipandunya ditusuk sebatang besi, dalam kejadian di Jalan Thean Teik, Ayer Itam dekat sini. FOTO NSTP
GEORGE TOWN: Warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas ke tapak yang ditutup bagi kerja pemasangan kabel elektrik sebelum ditusuk sebatang besi di Jalan Thean Teik, Ayer Itam, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Lim Soon Teik, 67, yang tinggal di Paya Terubong, parah pada bahagian muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Toyota Vios dipandu mangsa didakwa memasuki laluan yang ditutup bagi pemasangan kabel elektrik itu menyebabkan kenderaan terbabit terperosok ke dalam lubang.

Sebatang besi kemudian dikatakan menusuk dari bahagian bawah hingga menembusi bumbung kereta mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake ketika dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian tidak lama lagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 9.37 pagi.

Katanya, kerja penyelamatan membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong diketuai Komander Operasi Zurizan Mohd Yusof.

“Tugas mengeluarkan mangsa dilakukan pasukan penyelamat sebelum kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 11.05 pagi,” katanya.

Rumah jagaan hangus, 16 warga emas maut

KOSMO!
ANGGOTA keselamat berada di lokasi kebakaran rumah jagaan warga emas di Manado, Sulawesi. – Instagram#Manado
JAKARTA – Lebih 12 orang terkorban dalam kebakaran sebuah rumah jagaan warga emas di Pulau Sulawesi, manakala tiga yang lain cedera, kata seorang pegawai tempatan hari ini.

Pasukan bomba menerima laporan kebakaran pukul 8.31 malam semalam melibatkan rumah jagaan di ibu negeri wilayah Sulawesi Utara, Manado, kata ketua agensi bomba dan penyelamat tempatan, Jimmy Rotinsulu.

“Terdapat 16 kematian, manakala tiga lagi mangsa cedera,” katanya kepada AFP.

Kebanyakan mayat mangsa ditemui di dalam bilik mereka, kata Jimmy, sambil menambah, ramai penghuni warga emas  sedang berehat di bilik masing-masing ketika kebakaran berlaku.

Pihak berkuasa berjaya memindahkan 12 orang dengan semua mereka tidak cedera.

Rakaman stesen  penyiar tempatan, Metro TV menunjukkan api menjulang di rumah jagaan itu, sementara penduduk tempatan membantu memindahkan seorang warga emas.

Kebakaran maut bukan sesuatu luar biasa di Indonesia, negara Asia Tenggara yang terdiri daripada 17,000 pulau.

Bulan ini, kebakaran memusnahkan sebuah bangunan pejabat tujuh tingkat di  Jakarta, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh.

Pada tahun 2023, sekurang-kurangnya 12 orang maut di timur negara itu dalam kejadian  letupan di sebuah loji pemprosesan nikel. – AFP 

Menjelang PRU16: Pas – Bersatu talak tiga?

 K PRAGALATH

Dewan Pemuda Pas Tasek Gelugor mahu Pas Pusat menjatuhkan talak tiga siasahnya ke atas Bersatu di semua peringkat.

Sayap pemuda tersebut juga mahu tindakan diambil ke atas semua lantikan ahli Bersatu di negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Ketua Pemuda Pas Tasek Gelugor Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar turut menggesa pimpinan partinya bertanding dan merampas semula semua kerusi parlimen dan DUN yang telah dimenangi Bersatu di bawah logo PN dan Pas.

“Tindakan ini adalah wajar dan adil untuk dipertimbangkan susulan tindakan khianat dan tikam belakang oleh Bersatu di peringkat pusat dan Perlis yang berkomplot untuk menumbangkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

“Bersatu ternyata sebuah parti yang hanya tahu mengambil kesempatan terhadap kekuatan dan keikhlasan Pas. Bersatu hanya tahu menumpang dan menunggang slogan penyatuan ummah untuk kepentingan dan keuntungan politik semata-mata.

“Sudah tiba masanya Pas tegas dan berani untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu atas sebab pengkhianatan ini. Ini bukan kali pertama, malah sudah berkali-kali namun Pas tetap berjiwa besar untuk mempertahankan agenda besar penyatuan ummah.

“Bersatu tidak pernah ikhlas dan menghargai persahabatan ini. Ternyata Pas hanya dilihat sebagai batu loncatan semata-mata untuk memenangi pilihan raya dan meraih laba politik.

“Oleh yang demikian, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor mewakili suara akar umbi di semua peringkat untuk menggesa Pas Pusat membuat keputusan tegas dan tuntas bagi memutuskan hubungan dengan Bersatu serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Gesaan ini sebahagian daripada rasa tidak puas hati Pas terhadap Bersatu susulan krisis politik di Perlis.

Negeri yang sebelum ini diketuai oleh Shukri daripada kini dipimpin oleh Bersatu.

Krisis bermula apabila lapan daripada Adun menyerahkan akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Shukri.

Lima daripada lapan itu adalah anggota Bersatu.

Menjelang PRU16: PAS akan bincang kesan politik Perlis, kerjasama Bersatu

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: PAS akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan kesan isu politik di Perlis termasuk kerjasama dengan Bersatu, kata Naib Presiden Mohd Amar Abdullah.

Amar berkata isu berkenaan masih belum dibincangkan secara rasmi memandangkan pelantikan Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar menggantikan Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS baru berlaku semalam.

“Saya percaya mungkin akan ada mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan apa yang berlaku di Perlis.

“Tindakan susulan parti akan putuskan,” katanya apabila diminta mengulas sama ada PAS akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan perkembangan politik di Perlis.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada satu majlis di Lembah Pantai.

Kemelut menteri besar Perlis bermula apabila lapan Adun Perikatan Nasional (PN) menyerahkan akuan berkanun yang memaklumkan mereka tidak lagi menyokong Shukri, termasuk tiga dari PAS iaitu
Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji), menyebabkannya mereka terhenti keahlian.

Selain Abu Bakar, Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Shukri meletak jawatan menteri besar Perlis pada Khamis, atas faktor kesihatan.

Amar turut mempersoalkan bagaimana Bersatu tidak mengetahui lima Adun daripada parti itu menarik sokongan terhadap Shukri.

“Kalau betul tak ada arahan, maknanya lima orang ini sudah langgar mandat parti,” katanya mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu pada Sabtu berkata tiada arahan dikeluarkan kepada lima Adun Bersatu untuk menarik balik sokongan terhadap Shukri.

Menurutnya, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon menteri besar daripada parti itu selepas menerima titah daripada Istana Perlis.

Amar turut mengulangi pendirian PAS yang tidak boleh menerima tindakan sedemikian sambil menegaskan: “Itu bukan setia kawan. Kita tak ambil kesempatan atas masalah kawan. Jangan tengok kawan lemas, biar lemas. Kita kena tolong,” katanya.

Menurutnya, kekecewaan disuarakan pemimpin PAS di media sosial usai pelantikan Abu Bakar sebagai perkara biasa yang terpulang kepada orang ramai membuat kesimpulan.

“Baik luahkan dari simpan dalam hati. Kalau simpan lagi masalah,” katanya yang membuat hantaran ‘Apakah retak menanti belah’ di Facebook.

“Terpulang kepada masing-masing nak tafsir macam mana.”

Lelaki tikam mati 9 orang termasuk 5 kanak-Kanak di Suriname

Hmetro online

PARAMARIBO: Sembilan orang termasuk lima kanak-kanak maut dalam satu serangan tikaman di ibu negara Suriname, Paramaribo, pada awal pagi Ahad. Polis mengesahkan suspek, seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, telah ditahan selepas ditembak di bahagian kaki ketika cuba menyerang anggota keselamatan.

Menurut kenyataan polis, serangan berlaku di sebuah kediaman di Hadji Iding Soemitaweg. Antara mangsa yang terbunuh ialah empat anak suspek sendiri. Seorang kanak-kanak dan seorang dewasa turut cedera parah dan kini dirawat di hospital.

Media tempatan melaporkan, insiden bermula selepas suspek bertengkar dengan isterinya melalui telefon sebelum menikam anak perempuannya berusia 11 tahun sebanyak 44 kali di dapur rumah mereka.

“Seorang lelaki telah membunuh empat dewasa dan lima kanak-kanak menggunakan objek tajam di sebuah kediaman. Mangsa lain yang cedera parah telah dibawa ke hospital,” kata polis dalam kenyataan rasmi.

Presiden Jennifer Geerlings-Simons menyatakan rasa dukacita di laman Facebook beliau, “Pada saat keluarga dan sahabat sepatutnya bersama, kita berdepan realiti pahit bahawa seorang bapa sanggup mengambil nyawa anak-anaknya sendiri dan dalam masa sama membunuh jiran tetangga. Saya mengucapkan takziah dan mendoakan kekuatan kepada semua yang sedang berkabung.”

Pejabat Presiden turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menanggung kos pengebumian serta menyediakan bantuan profesional kepada keluarga mangsa.

Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof, yang melawat bekas tanah jajahan itu pada November lalu, dilaporkan telah menyampaikan ucapan takziah secara peribadi kepada rakyat Suriname atas tragedi berdarah tersebut. – AFP