Harapandaily
Pertukaran kepimpinan kerajaan negeri Perlis yang menyaksikan jawatan Menteri Besar kini diterajui Bersatu disifatkan sebagai akibat kegagalan Pas mengurus krisis dalaman secara berhemah sejak awal.
Aktivis politik, Najib Bakar berpendapat kemelut Perikatan Nasional (PN) itu berpunca daripada keengganan Pas mengambil tindakan awal menukar Menteri Besar terdahulu walaupun desakan sudah lama kedengaran.
Menurutnya, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mempertikaikan perkembangan tersebut juga dianggap sebagai satu bentuk tuduhan yang tidak wajar dan mencetuskan persepsi negatif.
“Dah lama bunyi diminta Menteri Besar sebelum ini berhenti. Ya lah, ada kes anak dia yang menggunakan nama istana.
“Kes tu dengarnya memang kuat dan boleh lekat,” katanya.
Beliau turut menyebut tentang tindakan mempersoal mengapa bekas Menteri Besar terbabit tidak dikurniakan gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Raja Perlis pada Mei lalu.
Najib menyifatkan hal itu tidak seharusnya dijadikan polemik dalam keadaan anak pemimpin tersebut sedang berdepan kes yang mencemar nama istana.
Situasi menjadi lebih rumit, katanya, apabila anak Menteri Besar itu juga merupakan menantu kepada Presiden Pas sendiri.
“Tengok, akibat Presiden Pas nak pertahan besan dia MB Shukri tu, Pas hilang jawatan Menteri Besar, dapat pada Bersatu,” ujarnya.
Oleh sebab itu, Najib berpendapat jika Pas mengambil langkah awal menukar Mohd Shukri dengan calon lain dalam kalangan ADUN Pas sendiri, krisis politik Perlis dapat diselesaikan lebih awal tanpa perlu melalui episod akuan bersumpah (SD) dan pergolakan berpanjangan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan