Malaysiakini
Beberapa pemimpin PAS hari ini menyampaikan pesanan yang membayangkan hubungan parti itu dengan Bersatu semakin meruncing.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama mahupun parti secara khusus, pesanan itu dibuat selepas pelantikan Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar yang baru, menggantikan Mohd Shukri Ramli daripada PAS.
“Kawan makan kawan, bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
“Terima kasih kerana mengajar kami erti kawan. Akan diingati sampai bila-bila,” kata Afnan Hamimi Taib Azamudden pula.
Bekas naib presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah pula membangkitkan persoalan kemungkinan perpecahan dua parti utama PN tersebut.
“Apakah retak menanti belah?” soalnya ringkas.
Politik di Perlis bergolak ekoran usaha menyingkirkan Mohd Shukri sebagai menteri besar melalui tindakan lapan Adun - tiga daripada PAS dan lima daripada Bersatu.
Abu Bakar Hamzah dan Mohd Shukri Ramli
Lapan Adun terbabit juga dikatakan telah mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.
Mohd Shukri, yang juga merupakan Adun Sanglang, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar Perlis pada 25 Dis lalu.
PAS pula memaklumkan keanggotaan ketiga-tiga Adun berkenaan - Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) - terhenti serta-merta.
‘Boleh usahakan lawan jadi kawan’
Sementara itu, menyambut hantaran Ahmad Fadhli, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyatakan perkembangan di Perlis itu boleh membawa kepada kerjasama semula antara dua parti itu.
“Kawan makan kawan. Kawan jadi lawan.
“Tetapi insyaAllah, kita boleh usahakan lawan jadi kawan,” katanya yang turut menandakan Ahmad Fadhli dalam hantarannya.
Akmal sememangnya antara pemimpin Umno yang mempersoalkan kerjasama BN dengan PH, terbaru selepas kenyataan Anggota Parlimen DAP Yeo Bee Yin berhubung keputusan mahkamah menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menjalankan hukuman tahanan rumah.
Hari ini juga, dia mengumumkan Pemuda Umno akan mengadakan konvensyen khas membincangkan persoalan sama ada parti itu perlu kekal atau keluar daripada kerajaan Madani.
Senada dengan Akmal adalah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang membangkitkan semula kerjasama PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional beberapa tahun lalu.
Dia berkata PAS sentiasa terbuka jika ada anggota Umno yang ingin bekerjasama dengan parti itu, walaupun masih kekal dalam Umno.
“Walaupun mereka masih dalam Umno, berorganisasi dalam Umno dan ketua mereka pemimpin Umno, kita percaya khususnya orang Umno di Sik yang celik dan cerdik akan tahu siapa yang hendak diundi.
“Dalam PRU16 nanti, saya yakin mereka akan bersama PAS,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sik, dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebooknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan