"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jemput PAS sertai k'jaan perpaduan: Exco Pemuda Amanah sanggah AMK

Malaysiakini 

Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminolhuda mengingatkan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan (PH) agar berhati-hati dalam menjemput PAS menyertai kerjaaan perpaduan.

Fadhli mengulas cadangan Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq yang menggesa PAS meninggalkan Bersatu dalam Perikatan Nasional dan meyertai kerajaan perpaduan.

Fadhli berkata, walaupun dia secara peribadi mengalu-alukan cadangan berkenaan, dia menggesa agar sekutu mereka itu tidak melupakan pengalaman dan sejarah lalu.

"Suka saya ingatkan sejarah politik negara menunjukkan PAS sering menjadi punca ketegangan dan perpecahan dalam gabungan yang mereka sertai," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fadhli memetik gabungan yang pernah disertai PAS termasuk Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, selain gabungan semasa Perikatan Nasional, yang menurutnya hampir semuanya berakhir dengan konflik dalaman, percanggahan keputusan dan pertukaran arah politik.

"Corak politik sebegini, yang sukar menerima konsensus dan sering bertembung dengan rakan sendiri, wajar dijadikan pengajaran sebelum sebarang langkah ke hadapan dipertimbangkan," kata pemimpin Pemuda Amanah itu.

Semalam, Muhammad Iman membuat gesaan agar PAS meninggalkan Bersatu dan menyertai kerajaan perpaduan di tengah-tengah ketegangan terbuka yang semakin memuncak antara PAS dan Bersatu di dalam PN.

Pemimpin AMK Selangor itu menyifatkan Bersatu lebih mengutamakan agenda kuasa berbanding semangat setiakawan dalam gabungan PN.

Sebelum ini, Pemuda PAS Selangor Sukri Omar turut mendesak kepimpinan PAS Pusat supaya memutuskan hubungan dengan Bersatu, atas alasan kerjasama sedia ada tidak membawa manfaat kepada perjuangan parti itu.

Ketua Pemuda PAS Selangor berkata sudah tiba masanya PAS beralih arah dan bekerjasama dengan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, demi kestabilan politik.

“Penyertaan PAS ke dalam barisan kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai satu kekalahan politik, sebaliknya satu tindakan berjiwa besar sebagai sebuah parti yang telah berusia hampir 75 tahun,” kata Sukri.

Sementara itu, Fadhli menepis kebimbangan bahawa kemasukan PAS ke dalam kerajaan perpaduan mungkin memberi kesan kepada kedudukan Amanah.

Menurutnya, pengalaman dan perjalanan politik Amanah sendiri menunjukkan parti ini berdiri atas asas yang kukuh, berprinsip dan konsisten.

"Kekuatan Amanah tidak bergantung kepada siapa yang masuk atau keluar daripada kerajaan, tetapi pada nilai, konsistensi dan komitmen terhadap rakyat," katanya.

Tiada ulasan: