Shakira Buang
PN tidak akan berkubur seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya masih berfungsi dengan Bersatu kekal sebagai parti komponen gabungan itu, kata Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Menurut Tun Faisal, setakat ini tiada sebarang perubahan dasar dibuat dalam PN dan sebarang keputusan penting, termasuk soal jawatan pengerusi, akan dibincangkan secara rasmi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
“PN ada saja, kenapa pula nak terkubur. Bersatu masih komponen PN dan setakat ini belum ada dasar yang berubah.
“Perkara berkaitan jawatan pengerusi PN akan dibawa ke Mesyuarat MT PN untuk diputuskan,” katanya kepada Malaysiakini.
Tun Faisal berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa hubungan Bersatu dengan PAS ketika ini.
Awal hari ini, Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.
Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama Umno, atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.
Peletakan jawatan Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri itu turut disusuli empat pengerusi PN negeri iaitu Faizal Azumu (Perak) Azmin Ali (Selangor), Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) dan Sahruddin Jamal (Johor).
Sementara itu, Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha PN Selangor.
Mengulas lanjut, Tun Faisal turut mempertahankan sikap Muhyiddin dengan berkata Presiden Bersatu itu tidak mengejar jawatan dan sejak awal bersikap terbuka dalam soal pembahagian peranan dalam PN.
Tun Faisal berkata, selepas pilihan raya umum (PRU) ke 15 lalu, Muhyiddin telah menawarkan jawatan utama dalam PN kepada PAS, namun tawaran itu ditolak.
“Selepas PRU15, Tan Sri (Muhyiddin) tawarkan jawatan kepada PAS, termasuk jawatan Ketua Pembangkang, tetapi PAS yang menolak.
“Selepas itu barulah Tan Sri mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan dipersetujui oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pimpinan lain. Ini menunjukkan Tan Sri Muhyiddin tidak mengejar jawatan dan sangat terbuka,” katanya.
PAS terajui PN, kata sumber dari kem Hamzah
Sementara itu, sumber terdekat daripada kem Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin dalam Bersatu berkata PN tidak akan berkubur, sebaliknya akan diterajui oleh PAS.
“Mana ada berkubur. PAS akan kemudi PN,” katanya.
Dia mendakwa Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN selepas ditekan oleh pimpinan PAS dan beberapa pemimpin Bersatu sendiri, termasuk dirinya.
Tekanan itu, katanya, berpunca daripada krisis politik di Perlis yang dianggap memberi kesan buruk kepada PN.
“Tan Sri kena tekan dengan pimpinan PAS dan juga beberapa pimpinan Bersatu, termasuk saya dan seorang lagi pemimpin Bersatu, sebab apa yang berlaku di Perlis ini memang amat memudaratkan PN.
“Akhirnya Tan Sri akur dan saya sendiri terkejut bila dia lepaskan jawatan terus,” katanya kepada Malaysiakini.
Sumber terbabit turut mendakwa majoriti ahli Parlimen PN juga bersetuju dengan peletakan jawatan itu dan tiada usaha serius untuk memujuk Muhyiddin supaya kekal.
“Maknanya majoriti ahli Parlimen PN bersetuju beliau letak jawatan sebagai pengerusi,” katanya.
Dia juga berkata PAS sudah lama bersabar dengan keadaan dalaman PN dan mendakwa Muhyiddin gagal memberikan penjelasan berhubung ketiadaan tindakan terhadap lima Adun Bersatu di Perlis.
“Tan Sri letak jawatan sebab tak dapat jawab kenapa tiada tindakan diambil terhadap lima Adun Bersatu Perlis. Dia kata tak tahu.
“Masa krisis bermula, selepas PRN Sabah, beliau tinggalkan keadaan begitu saja dan pergi ke London,” dakwanya.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut setakat ini belum dijawab secara rasmi oleh Muhyiddin atau pimpinan tertinggi PN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan