"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau bukan Presiden Pas terajui, apa jadi pada PN?

Harapandaily

Perikatan Nasional (PN) berdepan risiko sukar untuk terus bertahan jika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak dinamakan sebagai Pengerusi gabungan itu, kata penganalisis, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Beliau berkata, struktur kepimpinan PN yang termaktub dalam perlembagaannya sendiri menjadikan kedudukan Pengerusi sebagai faktor kritikal kepada kelangsungan dan keberkesanan gabungan berkenaan.

“Jika bukan Tan Sri Haji Hadi menjadi Pengerusi PN, saya tidak nampak jalan untuk gabungan tersebut bertahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menjelaskan, mengikut Perlembagaan PN, presiden parti-parti komponen secara automatik akan memegang jawatan Timbalan Pengerusi.

Keadaan ini, jelasnya, mewujudkan dilema hierarki dan autoriti sekiranya Pengerusi PN bukan seorang tokoh yang mempunyai kuasa eksekutif jelas dalam parti sendiri.

Beliau berpandangan, Abdul Hadi mungkin tidak mempunyai masalah untuk berada dalam kedudukan sebagai timbalan kepada pemimpin Pas yang secara hierarki parti berada di bawahnya.

Namun, persoalan besar timbul apabila melibatkan presiden parti komponen lain, khususnya Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Adakah presiden parti anggota lain mampu bekerja di bawah seorang Pengerusi PN yang dalam partinya sendiri pun tidak mempunyai kuasa eksekutif yang mencukupi?” soal beliau.

Sangat mencabar

Menurut Dr Yusri, situasi sedemikian bukan sahaja janggal, malah amat sukar untuk dioperasikan dalam realiti politik semasa, walaupun secara teori ia kelihatan boleh dilaksanakan.

“Secara teori mungkin nampak ok, tetapi dari segi praktikalnya sangat mencabar,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Abdul Hadi mengesahkan Pas akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Mahiaddin sebagai pengerusi berkuat kuasa semalam.

Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, mesyuarat mengenai calon pengerusi PN baharu akan berlangsung minggu depan yang dijangka turut dihadiri pemimpin Bersatu.

“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menyatakan bahawa Pas mempunyai ramai calon dalam kalangan agamawan mahupun teknokrat.

Ditanya kemungkinan beliau akan menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran.

Tiada ulasan: