"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: Pas – Bersatu talak tiga?

 K PRAGALATH

Dewan Pemuda Pas Tasek Gelugor mahu Pas Pusat menjatuhkan talak tiga siasahnya ke atas Bersatu di semua peringkat.

Sayap pemuda tersebut juga mahu tindakan diambil ke atas semua lantikan ahli Bersatu di negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Ketua Pemuda Pas Tasek Gelugor Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar turut menggesa pimpinan partinya bertanding dan merampas semula semua kerusi parlimen dan DUN yang telah dimenangi Bersatu di bawah logo PN dan Pas.

“Tindakan ini adalah wajar dan adil untuk dipertimbangkan susulan tindakan khianat dan tikam belakang oleh Bersatu di peringkat pusat dan Perlis yang berkomplot untuk menumbangkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

“Bersatu ternyata sebuah parti yang hanya tahu mengambil kesempatan terhadap kekuatan dan keikhlasan Pas. Bersatu hanya tahu menumpang dan menunggang slogan penyatuan ummah untuk kepentingan dan keuntungan politik semata-mata.

“Sudah tiba masanya Pas tegas dan berani untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu atas sebab pengkhianatan ini. Ini bukan kali pertama, malah sudah berkali-kali namun Pas tetap berjiwa besar untuk mempertahankan agenda besar penyatuan ummah.

“Bersatu tidak pernah ikhlas dan menghargai persahabatan ini. Ternyata Pas hanya dilihat sebagai batu loncatan semata-mata untuk memenangi pilihan raya dan meraih laba politik.

“Oleh yang demikian, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor mewakili suara akar umbi di semua peringkat untuk menggesa Pas Pusat membuat keputusan tegas dan tuntas bagi memutuskan hubungan dengan Bersatu serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Gesaan ini sebahagian daripada rasa tidak puas hati Pas terhadap Bersatu susulan krisis politik di Perlis.

Negeri yang sebelum ini diketuai oleh Shukri daripada kini dipimpin oleh Bersatu.

Krisis bermula apabila lapan daripada Adun menyerahkan akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Shukri.

Lima daripada lapan itu adalah anggota Bersatu.

Tiada ulasan: