Rex Tan
PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Azmin Ali sebagai setiausaha agung akan menguatkan desakan agar kepimpinan Bersatu turut dirombak.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, desakan sedemikian ‘logik’ memandangkan tindakan kedua-dua tokoh tersebut seolah-olah menunjukkan mereka telah hilang keyakinan untuk terus menerajui PN.
“Jika mereka tidak cukup bagus untuk PN, apa pula memampukan mereka untuk terus memimpin Bersatu? Saya jangka pergelutan dalaman dan kewujudan puak-puak dalam Bersatu akan semakin memuncak selepas ini,” katanya kepada FMT.
Mengulas mengenai pengganti, Syaza berkata, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin ialah calon paling layak bagi jawatan presiden, memandangkan beliau dianggap ‘lebih diterima’ oleh rakan gabungan, PAS.
Bagaimanapun, katanya, Hamzah akan berdepan tugas mencabar sekiranya memegang teraju utama kerana pengaruh kem Muhyiddin dalam parti masih besar.
Beliau berkata, Hamzah masih perlu menangani isu-isu Bersatu yang lebih runcing, khususnya identiti parti itu sebagai serpihan Umno serta kekurangan sokongan akar umbi.
“Hamzah perlu sokongan meluas dan saya tidak pasti sama ada beliau ada perkara itu,” tambahnya.
“Mungkin ini kerana beliau belum benar-benar diuji, memandangkan Muhyiddin sentiasa dilihat sebagai pemimpin yang lebih popular dalam kalangan ahli parti serta pengundi Melayu.”
Awal hari ini, Muhyiddin mengumumkan akan melepaskan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan ini, susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Azmin kemudian turut meletak jawatan sebagai setiausaha agung PN dan ketua PN Selangor, diikuti oleh beberapa pengerusi PN negeri lain, yang juga pemimpin Bersatu.
Bersatu ‘bergantung’ harap, kekal hubungan baik dengan PAS
Pengarah urusan firma perunding geopolitik Viewfinder Global Affairs, Adib Zalkapli berpendapat, hubungan antara Bersatu dan PAS kini berdepan cabaran yang belum pernah dilihat sebelum ini, walaupun PAS dilihat mempunyai kelebihan dalam situasi tersebut.
Beliau menjangkakan Bersatu akan terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS memandangkan parti itu sangat bergantung kepada jentera dan sokongan PAS dalam pilihan raya.
“Tanpa sokongan daripada PAS, sukar bagi Bersatu untuk mengulangi pencapaiannya pada 2022,” katanya, merujuk kepada kemenangan 31 kerusi Parlimen yang diraih Bersatu pada PRU15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan