FMT Reporters
PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Jan ini.
Presiden Bersatu itu mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang memberi sokongan penuh kepadanya selama beliau menerajui PN sejak ditubuhkan lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya lepada semua barisan kepimpinan PN dan parti anggotanya,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin menerajui gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, ketika ia didaftarkan secara rasmi.
Pengumuman ini susulan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan Adun Sanglang daripada PAS, Shukri Ramli, meletak jawatan menteri besar dan digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari menyifatkan keputusan Muhyiddin tindakan bijak dan tepat kerana PN memerlukan momentum baharu menjelang PRU16.
“Saya yakin PAS akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai pengerusi yang baru. Tidak semestinya presiden parti, tetapi seorang individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN.
“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus lebih kepada gerak kerja selepas ini,” katanya dalam catatan Facebook sambil memuji sikap terbuka Muhyiddin melepaskan jawatan itu.
Semalam, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggesa partinya mengambil alih dan mengetuai PN, dengan menuduh Bersatu bersikap lemah serta mengkhianati rakan gabungan atas kegagalannya mengambil tindakan terhadap lima Adun menarik sokongan terhadap Shukri.
Ahli Parlimen Alor Setar itu dilaporkan berkata, Bersatu sama ada telah hilang kawalan ke atas wakil rakyatnya atau merestui tindakan mereka.
Beliau berkata, tiba masanya PAS mengambil alih PN, dengan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Hadi Awang menjadi pengerusi gabungan itu.
Pelantikan Abu Bakar pada Ahad lalu berlaku selepas lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS dilapor menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis bagi menarik sokongan terhadap Shukri yang melepaskan jawatan menteri besar atas faktor kesihatan, Khamis lalu.
Pelantikan itu disusuli beberapa hantaran di media sosial oleh pemimpin PAS, termasuk Bendahari Agungnya, Iskandar Abdul Samad dan Fadhli yang memberi bayangan berlaku pengkhianatan serta “kawan makan kawan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan