Harapandaily
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengingatkan supaya sejarah politik lampau dijadikan pengajaran sebelum sebarang cadangan melibatkan penyertaan Pas dalam Kerajaan Perpaduan dipertimbangkan.
Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda, berkata beliau tertarik dengan cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang menyarankan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, beliau menegaskan rekod politik Pas menunjukkan corak yang sering mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam gabungan.
Menurutnya, pengalaman bermula daripada Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat sehingga Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan hampir semua gabungan yang disertai Pas berakhir dengan konflik dalaman, percanggahan keputusan serta perubahan haluan politik.
“Antara episod yang masih segar dalam ingatan ialah keengganan Pas menerima cadangan untuk menamakan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor, satu langkah yang hampir mencetuskan krisis politik besar di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, corak politik Pas yang sukar menerima konsensus serta kerap bertembung dengan rakan gabungan wajar dijadikan iktibar sebelum sebarang langkah baharu diambil.
Kestabilan politik
Dalam pada itu, Fadhli memuji kepimpinan Datuk Seri Anwar yang disifatkan berjaya membawa kestabilan politik negara selepas tempoh ketidaktentuan susulan Langkah Sheraton pada 2020 yang melibatkan Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Pas.
Katanya, kestabilan tersebut telah mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi negara, mengukuhkan nilai ringgit sebagai antara mata wang paling stabil di Asia serta mengekalkan kadar inflasi pada tahap rendah.
“Ironinya, selepas usaha Perikatan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan gagal, gabungan itu sendiri berdepan perpecahan dalaman sehingga menyaksikan pemimpin utama mereka meletakkan jawatan,” ujarnya.
Mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa kemasukan Pas ke dalam Kerajaan Perpaduan mungkin menjejaskan kedudukan AMANAH, beliau menegaskan parti itu berdiri atas asas yang kukuh, berprinsip dan konsisten.
“AMANAH yang pernah diperkecilkan suatu ketika dahulu bukan sahaja kekal, malah telah menyambut ulang tahun sedekad penubuhannya pada tahun lalu,” katanya.
Menurut Fadhli, AMANAH akan terus menyinar dengan pendekatan RAHMAH serta kekal sebagai rakan yang ikhlas, konstruktif dan bertanggungjawab dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.
“AMANAH yang pernah diperkecilkan suatu ketika dahulu bukan sahaja kekal, malah telah menyambut ulang tahun sedekad penubuhannya pada tahun lalu.
“AMANAH akan terus menyinar dengan pendekatan RAHMAH, dan sebagai rakan yang ikhlas, konstruktif serta bertanggungjawab, akan terus berganding bahu dan bekerja keras dalam satu kesatuan yang utuh di bawah payung Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.
“Kekuatan AMANAH tidak bergantung kepada siapa yang masuk atau keluar daripada kerajaan, tetapi pada nilai, konsistensi dan komitmen terhadap rakyat,” kata beliau.
Sehubungan itu, Fadhli secara peribadi mengalu-alukan cadangan yang dibangkitkan oleh AMK Selangor, namun menegaskan agar pengalaman dan sejarah lalu tidak dilupakan.
“Politik menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan kejujuran dalam membina kepercayaan bersama. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar,” tambah beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan