Wanita, teman lelaki ditahan cuba bunuh suami demi tuntutan insurans
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wanita ditahan bersama teman lelakinya selepas dipercayai bersekongkol untuk membunuh suaminya berkait tuntutan insurans dicarum lelaki terbabit.
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata mereka ditahan pada 22 Disember lalu, sehari selepas kejadian yang berlaku di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru.
Menurutnya, suspek lelaki dipercayai menekup muka mangsa menggunakan bantal hingga menyebabkannya sukar bernafas ketika sedang tidur.
“Mangsa lelaki tempatan berusia 47 tahun cuba dibunuh oleh seorang lelaki dipercayai teman lelaki isterinya. Siasatan lanjut mendapati isteri mangsa membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah ketika dia sedang tidur.
“Wanita terbabit turut memegang kaki mangsa bagi membantu teman lelakinya menekup muka hingga sesak nafas. Mangsa bergelut dan berjaya melepaskan diri manakala kedua-dua suspek sempat melarikan diri sebelum ditahan,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.
Selain itu, Sohaimi berkata siasatan lanjut juga mendapati isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai jumlah wang dan syarikat insurans dicarum oleh mangsa dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum kejadian.
Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Arahan untuk menuduh isteri mangsa dan teman lelakinya sudah diperoleh dan mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen esok (hari ini) ,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan