Gesaan hidup semula MN dijangka dominasi PAU, kata penganalisis
Minderjeet Kaur
Azmi Hassan berkata gesaan Akmal Saleh supaya konvensyen khas diadakan menjelang perhimpunan agung tahunan parti itu berkemungkinan meningkatkan tekanan dalaman.
Pemuda Umno anjur Konvensyen Khas pada 3 Jan depan untuk menentukan sama ada parti patut meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
PETALING JAYA: Gesaan supaya Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dijangka mendominasi perbahasan pada perhimpunan agung tahunan parti itu, bulan depan, menurut penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata gesaan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh untuk mengadakan Konvensyen Khas pada 3 Jan sebelum perhimpunan agung parti, berkemungkinan meningkatkan tekanan dalaman.
“Isu itu akan dibahaskan dan mungkin ada desakan supaya Umno menarik diri daripada kerajaan, manakala MN dibangkitkan sebagai satu pilihan,” katanya kepada FMT.
Akmal mengumumkan Pemuda Umno akan menganjurkan Konvensyen Khas pada 3 Jan bagi menentukan sama ada parti itu patut meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, exco Wanita Umno Nurulhidayah Zahid menasihatkan Akmal tidak memberi sebarang kata dua mengenai hala tuju parti kerana dilihat mampu mewujudkan persepsi berlaku perpecahan dalam parti.
Nurulhidayah yang juga anak Presiden Umno Zahid Hamidi berkata walaupun beliau memahami kebimbangan akar umbi serta peranan sayap pemuda dalam memastikan semakan dan imbangan, naratif ‘kekal atau keluar’ membawa kesan serius.
MN ditubuhkan pada September 2012 yang membabitkan gabungan PAS dan Umno bagi menyatukan pengundi Melayu Islam.
Azmi berkata perwakilan yang menghadiri konvensyen itu berkemungkinan mendesak supaya Umno menarik diri daripada kerajaan dan mempertimbangkan membaiki hubungan dengan PAS untuk menghidupkan semula pakatan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpendapat kepimpinan tertinggi parti dijangka kekal komited kepada kerajaan perpaduan sehingga PRU16.
“Hanya apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen barulah presiden Umno akan mengatakan sama ada parti itu akan menarik diri dan bergerak solo.”
Tiada faedah abai kerajaan perpaduan
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata MN wujud selepas Umno dan PAS sama-sama menjadi pembangkang selepas PRU14 pada 2018.
“Umno kini bukanlah pembangkang. Jadi kenapa pula mereka mahu mengabaikan Madani untuk menyertai PAS? Tiada insentif nyata.”
Beliau memberi amaran kembalinya Umno ke MN boleh mengecilkan daya tarikan parti itu.
“Umno akan terhad kepada kerusi majoriti Melayu dan malah berisiko menjadi lebih mundur kerana parti itu mungkin kehilangan pendirian sederhana yang selama ini membezakannya daripada PAS,” katanya.
Syaza dan seorang lagi penganalisis, James Chin dari Universiti Tasmania mengingatkan Umno kini memegang beberapa jawatan kanan dalam kerajaan.
Mereka berpendapat jika Zahid kembali bekerjasama dengan PAS, Umno akan diberi peranan lebih rendah.
Syaza berkata ini lebih-lebih lagi jika Bersatu kekal menjadi sekutu utama PAS di dalam Perikatan Nasional (PN).
Syaza berkata desakan untuk kembali kepada MN berkemungkinan datang daripada ahli akar umbi yang cenderung kepada kerjasama politik berhaluan Melayu berbanding peranan Umno kini dalam kerajaan perpaduan.
“Pasti akan ada perbezaan pandangan, khususnya oleh ahli akar umbi yang lebih cenderung memilih MN berbanding Madani.”
Menurutnya, segelintir ahli Umno dan yang berpotensi menjadi calon pilihan raya percaya peluang parti memenangi undi Melayu lebih tinggi jika bekerjasama dengan PAS.
Chin pula berkata ramai ahli akar umbi Umno percaya MN penting bagi memulihkan pengaruh parti.
“Ramai akar umbi Umno percaya mereka perlu menghidupkannya semula untuk memastikan Umno memainkan lebih peranan besar,” katanya.
Beliau turut menambah ramai ahli Umno berpendapat Anwar tidak akan memenangi PRU akan datang.
Parti komponen kerajaan perpaduan bakal mengadakan sesi pemukiman selama dua hari pada 10 dan 11 Jan untuk menyemak semula kemajuan dasar, pelaksanaan manifesto dan menilai sama ada janji mereka ditunaikan secara berkesan kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan