FMT Reporters
Kejadian berlaku ketika dua anggota polis cuba menenangkan suspek yang menumbuk rakan sekerjanya di Alor Setar.

Video tular seorang wanita yang menunjukkan isyarat jari tengah dan meludah ke arah anggota polis dalam satu kejadian di Alor Setar.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita di Alor Setar, Kedah kerana menunjukkan isyarat lucah dan meludah ke arah seorang anggota polis dalam satu kejadian petang tadi.
Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata polis menerima laporan pada 1.11 petang mengenai seorang individu dipercayai kurang siuman yang menumbuk seorang pekerja di premis sebuah syarikat di Mergong, Alor Setar.
Menurutnya, setibanya di lokasi, dua anggota polis cuba menenangkan keadaan selepas mendapati wanita tersebut, yang merupakan pekerja di syarikat berkenaan membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
“Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dengan meninggikan suara, memaki hamun anggota polis serta menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang daripada mereka.
“Suspek turut membaling MyKad miliknya dan meludah ke arah anggota berkenaan sebanyak dua kali, serta meludah ke arah beberapa rakan sekerja yang turut berada di lokasi.
“Suspek juga mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam. Kejadian itu telah dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata wanita itu kemudiannya ditahan pada 2.30 petang dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar esok bagi permohonan reman.
Kes disiasat mengikut kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas, dengan sengaja menyinggung perasaan penganut mana-mana agama, dan mengaibkan kehormatan dengan membuat isyarat tidak senonoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan